FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis mereman ibu kepada remaja berusia 16 tahun dipercayai mangsa rogol bapa tirinya selepas mendakwa turut diperkosa seorang buruh berusia 18 tahun.
Ketua Polis Kemaman Hanyan Ramlan, berkata polis menahan wanita itu kira-kira 7 petang semalam susulan siasatan awal.
“Berdasarkan laporan, mangsa mendakwa dirogol lelaki berusia 18 tahun beberapa minggu lalu dan bapa tirinya yang berusia 32 tahun disyaki menjadi dalang kes tersebut.
“Bagaimanapun, selepas siasatan lanjut dilakukan, mangsa turut mendakwa dia pernah dirogol bapa tirinya itu di kediamannya sebelum ini,” katanya menurut Sinar Harian.
Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin membenarkan permohonan reman selama tujuh hari ke atas wanita berusia 43 tahun itu bermula Ahad hingga Sabtu depan.
Hanyan berkata, ibu kandung mangsa ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
“Kita akan melihat sama ada terdapat penglibatan ibu mangsa dalam kes ini dan akan menyiasat sekiranya wujud pengabaian terhadap mangsa mengikut Seksyen 3 AKKSTKK,” katanya.
Beliau berkata, siasatan dibuat selepas mangsa bersama kakaknya berusia 19 tahun tampil membuat laporan di balai polis.
Katanya, mangsa yang merupakan anak ketiga daripada lima adik beradik telah dihantar ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan lanjut.
Selain ibu mangsa, buruh dan bapa tirinya juga direman seminggu bermula hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan