"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki tinggal bayi di kaunter pertanyaan hospital

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
SEORANG bayi lelaki ditinggalkan di kaunter pertanyaan sebuah hospital swasta di Johor Bahru. FOTO Ihsan JKM
SEORANG bayi lelaki ditinggalkan di kaunter pertanyaan sebuah hospital swasta di Johor Bahru. FOTO Ihsan JKM
Johor Bahru: Seorang lelaki meninggalkan bayi lelaki dianggarkan berusia lima hari di kaunter pertanyaan sebuah hospital swasta di sini, 18 Disember lalu, selepas mendapati hospital berkenaan tidak lagi menyediakan khidmat pelindung 'baby hatch'.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru Adnan Md Yassin berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan bayi itu daripada Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Beliau berkata, bayi berkenaan dirujuk ke HSA selepas dibawa polis untuk rawatan.

Menurutnya, berdasarkan laporan polis pada 19 Disember lalu, pengadu membuat laporan selepas seorang lelaki meninggalkan kanak-kanak di kaunter pertanyaan di sebuah hospital swasta pada jam 8.30 pagi, sehari sebelum itu.

Katanya, pengurusan hospital itu kemudian menempatkan bayi terbabit di Taska pusat perubatan itu kerana menjangka warisnya akan tampil menuntutnya.

"Bagaimanapun, selepas tidak dituntut, bayi itu dirujuk kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Hasil semakan dengan polis, pelaku itu dapat dikesan dan dikenal-pasti sebagai bekas majikan kepada ibu kandung bayi.

"Difahamkan, ibu kandung bayi itu meminta bantuan lelaki terbabit untuk menempatkannya di Baby Hatch di hospital berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau, lelaki itu buntu selepas mendapati perkhidmatan itu tidak lagi disediakan oleh hospital.

"Lelaki itu kemudiannya meninggalkan bayi di kaunter pertanyaan hospital sebelum beredar," katanya.

Adnan berkata, hasil pemeriksaan fizikal dan perkembangan bayi, pegawai perubatan menganggarkan bayi itu berusia lima hari ketika dirujuk kepada HSA dan kini berusia kira-kira enam minggu.

"JKM mengklasifikasikan bayi itu sebagai memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

"JKM juga memohon perintah di bawah Subseksyen 30(7) Akta Kanak-Kanak 2001 dan bayi berkenaan ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Johor bagi membolehkan kami menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Adnan berkata, bayi berkenaan dinamakan sebagai Kaisar Aryan.

Menurutnya, pihaknya berharap waris bayi berkenaan tampil menghubungi JKM bagi membincangkan masa depannya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan waris bayi itu diharap dapat menghubungi Pelindung JKM di talian 07-2230606 atau 07-2232607.

Tiada ulasan: