"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KDN disaran sekolahkan polis

 Malaysiakini 

Seorang bekas ahli parlimen PKR menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), serta Ketua Polis Negara (IGP) Razarudin Husain, supaya “menyekolahkan” pasukan polis bahawa permit tidak lagi diperlukan untuk perhimpunan.

Bekas ahli parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata ini kerana mengikut Akta Perhimpunan Aman - yang digubal 12 tahun lalu - penganjur demonstrasi hanya perlu memaklumkan polis terlebih dahulu sebelum berhimpun.

Pada asalnya, ia adalah 10 hari tetapi kemudiannya disingkatkan kepada lima hari pada 2019.

“Sudah tiba masa polis membiasakan diri dengan Akta tersebut.

“KDN dan IGP mesti memperbetulkan polis dan memastikan rakyat dapat melaksanakan hak dan kebebasan mereka.

“Saya juga mengesyorkan agar polis dilatih semula cara menangani perhimpunan serta mempunyai pemahaman lebih lengkap tentang erti hak asasi dalam masyarakat demokratik,” kata Maria dalam satu kenyataan semalam.

Dia mengulas tentang keengganan polis menerima notis Jawatankuasa penganjuran Women’s March Malaysia (WMMY) 2024 yang dijadualkan di Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Menurut jawatankuasa itu, mereka telah berusaha empat kali, pada 2 dan 3 Mac, untuk menyerahkan notis kepada polis tetapi gagal.

Penganjur berkata mereka akan berjumpa dengan pihak  polis sekali lagi hari ini untuk menyerahkan notis itu.

Maria - yang mengetuai dua perhimpunan Bersih sebelum ini - berkata tindakan polis tidak boleh diterima.

Sejak Akta Perhimpunan Aman diperkenalkan, polis terus berpegang bahawa penganjur perlu mendapatkan "permit" sebelum boleh berhimpun.

Kebebasan untuk berhimpun termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: