"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki disyaki mabuk cuba rampas senjata polis di Dato' Keramat

Shahrin Aizat Noorshahrizam

Seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan awal pagi tadi selepas cuba meragut senjata api ketika bertengkar dengan salah seorang anggota polis.

Mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini, Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad, berkata lelaki terbabit mendakwa ingin bertemu "rakannya " di Balai Polis Dato' Keramat.

Bagaimanapun anggota polis yang bertugas di situ tidak memberi kebenaran kerana suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.

Larangan itu, katanya, membawa kepada pertengkaran di antara mereka.

Hamzah berkata lelaki terbabit bukannya menceroboh balai polis berkenaan untuk cuba merampas senjata api sebaliknya mendakwa mahu bertemu seorang rakan di situ.

“Berlaku sedikit pertengkaran apabila salah seorang petugas cuba menghalangnya daripada memasuki balai polis,” katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Berdasarkan laporan polis yang dilihat Malaysiakini, lelaki berkenaan mengalami kecederaan ringan akibat pertengkaran itu dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Polis turut merampas topi keledar milik lelaki terbabit bagi membantu siasatan.

Awal hari ini, akhbar Cina Sin Chew Daily melaporkan seorang lelaki menceroboh Balai Polis Dato' Keramat dalam cubaan untuk merampas "submachine gun".

Kejadian itu berlaku hanya beberapa hari selepas dua anggota polis maut dan seorang lagi cedera dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.

Tiada ulasan: