Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

SPRM melumpuhkan sindiket penyeludupan yang didalangi oleh pegawai kanan ATM yang beroperasi di selatan tanah air melalui Ops Sohor dengan penahanan lima pegawai tentera dan lima orang awam. FOTO Ihsan SPRM
Kuala Lumpur: Leftenan Kolonel dan Kapten antara lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mendalangi sindiket penyeludupan barangan larangan seperti dadah, rokok serta barangan lain.
Sumber berkata, kesemua mereka bertugas di bahagian perisikan ATM.
"Setakat ini, mereka yang ditahan terdiri daripada pegawai kanan berpangkat Leftenan Kolonel dan Kapten serta lain-lain pangkat," katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar ketika dihubungi memaklumkan sedia bekerjasama dengan SPRM.
Harian Metro hari ini melaporkan SPRM melumpuhkan sindiket penyeludupan yang didalangi oleh pegawai kanan ATM yang beroperasi di selatan tanah air melalui Ops Sohor.
Operasi itu dijalankan oleh Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).
Menurut sumber, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 30 sehingga 55 tahun ditangkap di sekitar Lembah Klang sejak operasi dilancarkan pada jam 6.30 pagi tadi.
"Pegawai kanan itu dari bahagian perisikan ATM termasuk dua bekas anggota ATM daripada bahagian sama.
"Mereka ditugaskan memantau dan mengekang aktiviti penyeludupan, namun dipercayai bersekongkol dengan sindiket sejak lima tahun lalu dan disyaki mengumpulkan hasil rasuah sebanyak lebih RM3 juta," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan