Malaysiakini
Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Tajuddin Rasdi, menyuarakan kritikan keras terhadap Umno, mempersoalkan sikap membisu parti itu berhubung ‘parti yeye’.
Dalam kenyataan hari ini, ahli akademik itu mempersoalkan mengapa pihak yang menggelarkan diri sebagai “pejuang moral dan maruah” tidak bersuara menentang apa yang disifatkannya sebagai budaya hedonistik dalam angkatan tentera, walaupun ia hampir keseluruhannya terdiri daripada orang Melayu dan Islam.
Dia turut menyasarkan kritikannya terhadap Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, dengan menyifatkan sikap membisu Akmal begitu ketara berhubung isu tersebut.
“Di manakah pejuang moral dan maruah Melayu dan Islam daripada Umno dalam isu ‘parti yeye’ yang melanda angkatan tentera kita?
“Angkatan tentera kita hampir keseluruhannya terdiri daripada orang Melayu dan Islam, maka mereka memerlukan panduan moral yang betul daripada tokoh seperti Akmal,” katanya secara sinis dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.
Tajuddin membandingkan reaksi hambar terhadap perkara itu dengan bantahan hebat berhubung kesilapan Jalur Gemilang sebelum ini.
“Mengapa kesilapan bendera yang kecil oleh (segelintir orang) Cina mencetuskan kemarahan besar, namun rasuah dan perlakuan tidak bermoral dalam angkatan tentera disambut dengan kesunyian yang memekakkan telinga?” soalnya.
Tajuddin membayangkan pertimbangan politik mungkin menjadi punca kepada perbezaan reaksi tersebut.
“Adakah pejuang Melayu dan Islam takut kepada bank undi pos tentera?
“Atau adakah moral dan maruah Islam serta Melayu bersifat bermusim, muncul hanya menjelang tahun pilihan raya?” soalnya.
Susulan penularan satu video di media sosial, angkatan tentera menerima kecaman selepas didakwa menganjurkan parti melibatkan minuman beralkohol dan peneman wanita di dalam kem tentera, yang digelar sebagai “parti yeye”.
Antara video yang tular didakwa dirakam di dewan mes pegawai dalam pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di Selangor.
Ada yang turut mendakwa pegawai berpangkat rendah dipaksa menyediakan minuman beralkohol serta wanita dari luar untuk pegawai atasan mereka.
Susulan itu, Kementerian Pertahanan mengarahkan siasatan dijalankan.
Kepimpinan tertinggi TUDM turut mengeluarkan amaran keras kepada para pegawainya.
Panglima Tentera Udara, Jen Muhamad Norazlan Aris, berkata siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati bertanggungjawab, termasuk pemberhentian daripada perkhidmatan sekiranya bersalah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan