"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis buru suspek utama kes penemuan mayat dengan 12 kesan tikaman

Ahmad Hasbi
Rakaman CCTV yang memaparkan suspek utama dilihat masuk ke pangsapuri mangsa yang ditemui maut dengan 12 kesan tikaman di Mantin, di sini, pagi 30 Disember tahun lalu. – Foto PDRM
NILAI: Polis sedang memburu suspek utama kes penemuan mayat lelaki dengan kesan 12 tikaman di sebuah unit pangsapuri di Mantin, di sini, pagi 30 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, suspek dikatakan bertanyakan unit rumah mangsa, sebelum memasuki kawasan pangsapuri dan keluar kira-kira tiga jam kemudian.

“Suspek dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan masuk pangsapuri berkenaan dalam keadaan memakai pelitup muka dan baju panas ‘hoodie’ menutup kepala.

“Lelaki itu dikatakan bertanya alamat rumah mangsa kepada pengawal keselamatan di pondok pintu masuk yang mana ia turut dirakam CCTV pada tengah malam 28 Disember lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, polis percaya lelaki berkenaan adalah suspek utama dalam kejadian itu, manakala dua lelaki iaitu teman serumah mangsa yang ditahan sebelum ini untuk membantu siasatan.

“Hasil soal siasat mendapati rumah berkenaan disewa mangsa bersama dua rakannya yang ditahan sebelum ini. Kejadian dipercayai berlaku pada tengah malam 28 Disember dan mayat hanya ditemui pada pagi 30 Disember.

“Malah, kami difahamkan, rumah berkenaan dijadikan tempat untuk melakukan kegiatan songsang sesama jantina,” katanya.

Mengulas mengenai dua suspek yang ditahan sebelum ini, beliau berkata, reman kedua-dua lelaki berkenaan akan tamat esok dan pihaknya akan membuat permohonan sambung reman.

Justeru ulas beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek utama ini supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di IPD Nilai atau balai polis berhampiran.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membabitkan kes bunuh.

Media pada 31 Disember tahun lalu melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, seorang lelaki ditemui maut dengan 12 kesan tikaman pada badan di Pangsapuri Damai Ria, Mantin.

Tiada ulasan: