"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami isteri maut kemalangan, tercampak dalam gaung

Recqueal Raimi
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan berhampiran Kampung Kapa, Tamparuli di Jalan Tamparuli – Ranau. – Foto NSTP
TAMPARULI: Pasangan suami isteri maut akibat tercampak ke dalam gaung selepas motosikal ditunggang mereka bertembung pacuan empat roda berhampiran Kampung Kapa di Jalan Tamparuli – Ranau, hari ini.

Kejadian berlaku jam 3.20 petang itu, mangsa lelaki dikenali Mustofa, 44, warga Indonesia yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dan dibonceng isterinya, Nur Shilla Abdullah, 37, warga tempatan, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan awal mendapati pemandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger Raptor, seorang lelaki menghala ke arah Kota Kinabalu dari Ranau.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, pemandu itu cuba memintas kenderaan di hadapan mereka namun bertembung dengan motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri di laluan bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, pasangan suami isteri tercampak ke gaung dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dihubungi.

Menurut Noraidin, motosikal mangsa terseret di bawah pacuan empat roda hingga ke bahu kanan jalan.

Pemandu berkenaan didapati mengalami luka di tangan kanan dan lelaki penumpang pikap itu tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum dibawa ke hospital Tuaran untuk pemeriksaan lanjut.

“Mayat kedua-dua mangsa pula dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tuaran bagi tujuan bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tiada ulasan: