"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PBB sudah tidak relevan

Raja Bahrin kritik PBB: Bertindak untuk minyak, bukan nyawa
Harapandaily

Seorang pemimpin politik menyelar tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang dilihat lebih cenderung melindungi kepentingan ekonomi global berbanding nyawa manusia dalam konflik antarabangsa semasa.

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Raja Bahrin Shah berkata cadangan untuk menggunakan kekerasan bagi membuka Selat Hormuz membuktikan keutamaan diberikan kepada aliran minyak dan gas berbanding krisis kemanusiaan.

Menurutnya, tindakan itu dibuat selepas beberapa minggu konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran yang telah menjejaskan kestabilan serantau.

Sebaliknya, beliau berkata penderitaan rakyat di Gaza yang berlarutan sekian lama gagal mendapat perhatian setimpal daripada badan antarabangsa itu.

“Lebih dua juta rakyat Gaza menderita akibat kebuluran, penyakit dan serangan berterusan, namun tiada usaha bermakna untuk membuka laluan bantuan kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Raja Bahrin turut mempersoalkan peranan UNSC yang menurutnya sering terhalang oleh penggunaan kuasa veto, khususnya oleh Amerika Syarikat.

Katanya, keadaan itu menjadikan badan berkenaan dilihat tidak berdaya dalam menangani konflik yang melibatkan kepentingan kuasa besar dunia.

Beliau juga mendakwa tiada resolusi tegas dibentangkan bagi menangani perang yang didakwanya tidak sah terhadap Iran, termasuk serangan ke atas kemudahan awam.

Dalam masa sama, tindakan Iran menyekat laluan di Selat Hormuz disifatkannya sebagai reaksi terhadap tekanan dan serangan yang dihadapi negara itu.

Mengulas lanjut, Raja Bahrin berkata perkembangan semasa menunjukkan dunia semakin bergerak ke arah sistem multipolar dan tidak lagi menerima dominasi satu kuasa tunggal.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan relevansi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu jika badan itu terus gagal bertindak secara adil dalam isu melibatkan nyawa manusia.

Tiada ulasan: