Bukan suatu yang memeranjatkan apabila Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, meluahkan reaksi kecewanya terhadap tindakan para pemimpin DAP memijak poster tiga wakil rakyat Perak yang ‘melompat parti’. Sebagai seorang yang diketahui kerap ‘melompat’, perkongsian perasaan antara Ibrahim dengan tiga ‘wakil lompat’ itu tidak sukar dimengertikan.
Bahkan, andaikata ada satu anugerah dinamakan ‘Raja Katak’ yang dikhususkan untuk menobatkan seorang jaguh lompat parti di negara ini, maka antara ahli politik paling berkemungkinan merangkul anugerah itu ialah Ibrahim sendiri. Justeru, kebimbangan beliau atas kemungkinan poster miliknya sendiri bakal diperlakukan sepertimana tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak itu turut mewajarkan Ibrahim mengecam tindakan DAP itu.
“Ini (memijak poster) perbuatan hilang akal dan desperado untuk tunjukkan kemarahan berikutan tindakan tiga wakil rakyat lompat parti. Ini mengecewakan kerana (DAP) telah bertindak seolah-olah menidakkan hak asasi dan demokrasi mereka (tiga wakil rakyat tersebut),” kata Ibrahim, sepertimana dipetik sebuah tabloid harian, Isnin (30 November) lalu.
Beliau mengulas tindakan para delegasi Konvensyen DAP Negeri Perak di Ipoh, Ahad lalu yang memijak poster tiga Adun Pakatan Rakyat (Pakatan) yang keluar parti awal Februari lalu hingga membuka laluan Barisan Nasional (BN) merampas kuasa di negeri berkenaan.
Beliau mengulas tindakan para delegasi Konvensyen DAP Negeri Perak di Ipoh, Ahad lalu yang memijak poster tiga Adun Pakatan Rakyat (Pakatan) yang keluar parti awal Februari lalu hingga membuka laluan Barisan Nasional (BN) merampas kuasa di negeri berkenaan.
Tiga Adun terbabit ialah Hee Yit Foong (DAP-Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Parti Keadilan Rakyat (Keadilan)-Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Keadilan-Changkat Jering). Pada konvensyen DAP hujung minggu lalu, poster ketiga-tiga mereka dihampar di lantai pintu masuk dewan untuk dipijak setiap delegasi.
Media malah melaporkan beberapa pemimpin tertinggi DAP turut melayan permintaan jurugambar untuk beraksi memijak poster berkenaan. Tindakan itu jelas menghangatkan hati Ibrahim.
“Kalau saya di tempat mereka (tiga Adun), pasti kecewa jika diperlakukan serupa.... ini biadab dan kurang ajar. Kalau beginilah cara DAP bertindak, mereka tidak layak memerintah negara,” hamburnya.
Difahamkan tindakan DAP itu adalah sebagai gimik protes terhadap tiga ahli politik tidak bertanggungjawab dan menipu rakyat itu. Tindakan mereka ‘melompat’ parti dan mengisytiharkan pendirian sebagai Adun Bebas yang menyokong BN dianggap satu penghinaan terhadap demokrasi. Ia pengkhianatan terhadap rakyat yang memilih mereka demi perjuangan pakatan pembangkang menumbangkan BN.
Tanggapan inilah yang cuba dinafikan Ibrahim dan rakan-rakan seperlakuannya. Bagi mereka, perbuatan ‘melompat’ bukan sahaja didakwa bertepatan dengan hak asasi dan demokrasi, malah memenuhi tuntutan menyempurnakan khidmat kepada rakyat yang mereka wakili.
Perhatikan saja apa komen dan alasan diberikan setiap mereka sebagai justifikasi tindakan ‘melompat’ parti. Bermula dengan tiga Adun Perak tadi pada 3 dan 4 Februari, diikuti pada hari sama oleh Adun BN-Bota, Datuk Nasarudin Hashim, yang (keluar Umno dan menyertai Keadilan, 26 Januari) kemudian melompat semula ke pangkuan BN.
Hujah serupa kita dengar dari Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh, yang mengumumkan keluar Keadilan dan menjadi Adun Bebas yang menyokong kerajaan Pusat, pada 23 Ogos.
Begitu juga bunyinya alasan Adun Pelabuhan Kelang, Badrul Hisham Abdullah, juga dari Keadilan, apabila mengisytiharkan keluar parti dan menjadi Adun Bebas yang ‘mesra BN’ pada 29 Oktober.
Hujah dan justifikasi mereka serupa. Selain hilang kepercayaan terhadap parti masing-masing dan beralih kepercayaan kepada BN, mereka juga beralasan kononnya ‘melompat’ atas dasar menjaga kebajikan rakyat yang diwakili.
Hujah loyar buruk mereka itu sebenarnya amat menghiris perasaan pihak lain, terutama parti yang bertanggungjawab memberi kepercayaan kepada mereka. Apa yang pasti, poster tiga Adun Perak itu tentunya tidak menjadi bahan pijakan sekiranya mereka sendiri tidak terlebih dahulu ‘memijak’ dan membakul-sampahkan sokongan pengundi serta kepercayaan parti masing-masing terhadap mereka.
Sebagai antara pihak yang paling terkesan dengan episod pembelotan mereka, DAP ada hak menzahirkan protes tersebut. Lagi pun apalah sangat hinanya sekeping gambar dipijak berbanding dengan sebuah kerajaan dirampas secara brutal di siang hari?
Dalam konteks itu, tindakan terbaru DAP itu juga berupaya menghidupkan ingatan rakyat negara ini terhadap pencabulan yang jauh lebih memalukan oleh BN di Perak.
Sebelum aksi ‘pijak-memijak’ itu pun ketegangan politik Perak telah menghasilkan beberapa aksi yang jauh lebih dramatik. Bukan sekadar ‘kata-mengata’ dan ‘tengking-menengking’ antara para pemimpin BN dan Pakatan, pertembungan antara keduanya malah pernah bertukar menjadi insiden ‘tarik-menarik’ baju dan jubah di sidang Dun.
Aksi ‘tolak-menolak’ juga berlaku beberapa kali. Namun yang paling memalukan ialah tragedi ‘usung-mengusung’ Speaker Dun Perak dari kerusinya. Ia kemudian berlanjutan kepada tindakan ‘saman-menyaman’ di mahkamah.
Itulah Perak, negeri yang sejak dulu mencatat pelbagai sejarah panas pergolakan politiknya. Sejarah silamnya penuh dengan insiden ‘bunuh-membunuh’ antara pembesar Melayu dan pemimpin penjajah, ‘serang-menyerang’ antara kongsi gelap Cina dan berbagai lagi kejadian tragis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan