"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Nik Aziz tidak merujuk pada mana-mana pemimpin'

Jimadie Shah Othman
Ucapan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak merujuk kepada mana-mana pemimpin tetapi hanya mahu menjelaskan bahawa bala Tuhan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, kata setiausaha politiknya Anual Bakhri Haron.

Beliau berkata, persoalan hukum, hanya Tuhan sahaja yang dapat menentukannya.

"Itu terpulanglah kepada Allah SWT. Tetapi orang yang dizalimi berhak berdoa," katanya menjelaskan kekeliruan berhubung ucapan Nik Abdul Aziz dalam satu
perhimpunan di Kota Bharu semalam.


Perhimpunan di Jalan Dato' Pati diadakan sebagai membalas bantahan sekumpulan penyokong Umno terhadap Nik Abdul Aziz, Selasa lalu.

Dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz dilapor menyifatkan penafian terhadap bayaran royalti minyak yang dituntut kerajaan Kelantan, sebagai "melanggar keadilan asasi".

Beliau yang juga mursyidul am PAS berkata, selagi tuntutan royalti itu tidak diberikan, "kita doa sampai pecah perut".

Ketika menghubungi
Malaysiakini malam tadi, Anual Bakhri berkata, perkataan "pecah perut" yang diucapkan Nik Aziz hanyalah analogi dan tidak boleh diterjemahkan secara langsung.

"Itu analogi. Bukan maknanya pecah perut (perdana menteri) Datuk Seri Najib Razak atau (timbalannya) Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi siapa sahaja yang buat aniaya.

"Dalam konteks ini (penafian royalti minyak), kezaliman berlaku," katanya.

Semalam, Nik Abdul Aziz bercerita tentang bantahan masyarakat bukan Islam yang menentang peraturan kawalan arak di negeri itu ketika beliau baru memimpin Kelantan, 19 tahun lalu.

Mengulas perkara itu, Anual Bakhri berkata, Nik Aziz ingin menegaskan bahawa larangan meminum arak diharamkan kepada orang Islam, tetapi terpulang kepada masyarakat bukan Islam jika mahu menikmatinya.

"Tetapi bukan maknanya kita hendak galakkan orang minum arak," katanya.

Katanya, respons itu diberikan ekoran hasrat beberapa masyarakat bukan Melayu daripada Perak yang mahu datang ke Kelantan untuk minum arak.

-malaysiakini.com-

Tiada ulasan: