"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perak akan ikut pendekatan doa hapuskan kezaliman

Harakahdaily
IPOH, 1 Dis:
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat bersetuju kaedah yang telah dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menghapuskan kezaliman dengan doa.

Menteri Besar Kelantan semasa berkhutbah Hari Raya Korban telah berdoa supaya Allah Taala palingkan hati Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia supaya memberi royalti petrol kepada Kelantan.

Sekiranya Datuk Seri Najib enggan berbuat demikian, katanya beliau (Datuk Nik Aziz) tidak akan teragak-agak untuk mendoakan agar Datuk Seri Najib dan kerajaanya dimusnahkan Allah Taala.

"DPPN Pk akan terus menyokong usaha ini dan terus menggunakan kaedah yang sama sebagai Umat Islam terutamanya rampasan kuasa oleh UMNO di Negeri Perak ini.

"Malah DPPN Pk juga telah meminta semua Ahli PAS agar mendoakan supaya Allah Taala juga memalingkan hati Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang tidak sah agar menyerahkan kembali hak rakyat Perak bagi menentukan siapakah kerajaan yang sah.

"Jika sebaliknya perkara yang sama juga dituntut kepada seluruh rakyat supaya Datuk Seri Zambry dan pakatannya akan dimusnahkan oleh Allah Taala," kata Salman Salleh, Naib Ketua Pemuda PAS Perak dalam satu kenyataannya.

Beliau menegaskan bahawa senjata utama Umat Islam adalah berdoa kepada Allah Taala bagi memastikan kezaliman dapat dihapuskan dan keadilan dapat ditegakkan.

Oleh yang demikian, Pemuda PAS Perak meminta supaya seluruh rakyat meneruskan doa yang telah di ajar oleh Islam bagi memastikan hak rakyat negeri Perak ini dikembalikan segera.

Tiada ulasan: