Shahbudin Husin
Dalam perseteruan yang kian memuncak antara Datuk Seri Najib Razak dengan Tun Mahathir Mohamad dan disertai juga oleh Tun Daim Zainuddin, perkara yang paling banyak ditanya ialah berapa lama lagikah Perdana Menteri dapat bertahan dengannya?
Apakah Datuk Seri Najib bakal jadi mangsa politik seterusnya kepada bekas Perdana Menteri itu dan turut menerima nasib sebagaimana Tun Abdullah Badawi juga?
Mungkinkah Perdana Menteri akan mengalah dan kemudian kekal di singgahsana Putrajayanya tetapi dengan papan catur sentiasa di tangan Tun Mahathir?
Atau adakah Datuk Seri Najib akan terus melawan dan menjadikan Tun Mahathir sebagai mangsanya yang pertama pula?
Melihat kepada apa yang berlaku kebelakangan ini, memang harus diakui masih tidak ternampak tanda-tanda salah seorang daripadanya akan mengalah. Kedua-duanya masih teguh dengan pendirian serta keyakinan masing-masing.
Datuk Seri Najib tetap percaya beliau sedang menguruskan negara dengan cara yang betul meskipun diselubungi dengan pelbagai masalah dan isu seperti peningkatan hutang, ekonomi yang lembab, hubungan kaum yang mudah diapi-apikan, 1MDB, perangai isteri, prestasi parti dan macam-macam lagi.
Tun Mahathir pula, selain terus mengkritik dan diikuti dengan penarikan sokongannya untuk lebih memberi tekanan, percaya bahawa UMNO dan BN lebih mungkin kecundang dalam pilihanraya umum akan datang selagi Datuk Seri Najib menjadi penerajunya.
Oleh itu, Datuk Seri Najib dianggap sudah menjadi beban dan harus ditukar jika UMNO dan BN ingin terus mengekalkan kuasa dalam genggamannya.
Sebelum percutiannya ke Hawaii hujung tahun lalu yang kemudian gambarnya bermain golf dengan Presiden Amerika, Barack Obama menjadi isu hangat dalam negara, Datuk Seri Najib telah mengunjungi Tun Mahathir di kediamannya. Tujuannya tidak lain ialah untuk menjelaskan beberapa perkara yang menjadi kesangsian dan ketidakpuasan hati bekas Perdana Menteri itu, terutamanya berkaitan 1MDB.
Namun, dalam pertemuan yang agak lama itu, Datuk Seri Najib bukan saja menunjukkan auranya yang tidak mahu mengalah kepada Tun Mahathir, khususnya mengenai 1MDB, bahkan dalam ketika tertentu seperti beliau sedang memberi "syarahan" pula kepada bekas Perdana Menteri itu.
Datuk Seri Najib mungkin gembira dapat meluahkan banyak perkara dan menunjukkan "taringnya" yang tersembunyi selama ini, tetapi sudah tentu juga ianya menyebabkan Tun Mahathir tetap tidak puas hati dengan penjelasan itu, lebih-lebih lagi tentang perwatakan yang dipamerkannya.
Baru-baru ini pula, apabila media arus perdana yang dalam kawalan Perdana Menteri sendiri memberi ruang dan publisiti berlebihan untuk menyerang Tun Daim, apa yang boleh difahami juga ialah Datuk Seri Najib semakin jauh untuk mengalah daripada serangan-serangannya yang mahu menyingkirkannya. Bahkan, secara tidak langsung mula menunjukkan tanda-tanda ingin terus melawan.
Memang sejarahnya menunjukkan Tun Mahathir sentiasa menang apabila "berkelahi" dengan sesiapa saja. Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh, Datuk Seri Anwar dan Tun Abdullah adalah antara musuh-musuh "heavyweight" yang berjaya dikalahkannya sebelum ini, sama ada ketika masih berkuasa atau setelah tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
Tetapi dalam pertempuran dengan Datuk Seri Najib ini, belum tentu lagi beliau terus menang dan Perdana Menteri akan kecundang? Kedua-duanya sedang bertahan dan saling mencari strategi terbaik untuk mengalahkan antara satu sama lain.
Nama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar juga tiba-tiba dikaitkan sebagai "talian hayat" yang paling mungkin digunakan oleh Datuk Seri Najib untuk menumpaskan serangan Tun Mahathir dan Tun Daim. Memang semua ini tidak mustahil dan "lawan jadi kawan" atau "kawan jadi lawan" adalah pertukaran hubungan yang dihalalkan dalam usaha berebut kuasa di mana saja di dunia ini.
Dengan tarikh pilihanraya umum akan datang ada lebih tiga tahun lagi tempoh masanya, tidak dapat tidak, kita pasti bakal menyaksikan banyak episod lebih menarik lagi selepas ini dalam hubungan antara Datuk Seri Najib dengan Tun Mahathir ini.
Jika ada yang menyimpan impian kedua-duanya akan berdamai atau salah seorang daripadanya akan mengalah, buat sementara, pendamkan saja harapan itu. Tun Mahathir memang tidak pernah mengalah dalam sejarah perjuangannya serta sentiasa tegas dengan apa yang dilakukannya manakala Datuk Seri Najib yang kelihatan lemah-lembut sebelum ini sudah mula menunjukkan sisi kerasnya.
"Perang" mereka ini tampaknya sukar ditemui titik tengahnya. Bahkan, sebaliknya bersedialah menyaksikan babak-babak lebih mendebarkan lagi selepas ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan