"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sirul enggan pulang, isu ekstradisi tidak berbangkit - peguam

Peguam Korporal Sirul Azhar Umar mengatakan isu ekstradisi tidak berbangkit kerana anak guamnya tidak mahu pulang ke Malaysia, lapor Sinar Harian.

Hasnal Rezua Merican yang kini berada di Australia mengatakan baru bertemu dengan Sirul kelmarin untuk membincangkan jalan membebaskannya daripada tahanan di negara itu, lapor akhbar tersebut.

"Sirul ada mengatakan dia tidak mahu balik. Siapa pun yang ada kedudukan seperti dia, mesti tidak mahu balik," kata Hasnal kepada Sinar Harian.

Menurut Hasnal, setakat ini mereka langsung tidak berbincang mengenai isu ekstradisi.

"Soal ekstradisi setakat ini belum berbangkit.

"Kami hanya berbincang bagaimana hendak bebaskan dia daripada tahanan dan dia juga mengamanahkan kepada kami (seorang lagi peguam, Kamarul Hisham Kamaruddin) untuk berunding bagi pihaknya, berbincang dengan peguam-peguam di sini (Australia) mengenai perkara itu," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Menurut akhbar Sydney Morning Herald, Australia tidak membenarkan Sirul diekstradisi untuk pulang ke Malaysia.

Ini kerana Australia bukan sahaja tidak mengiktiraf hukuman mati, malah menentang keras hukuman tersebut dijalankan dalam sistem perundangan negara lain.

Memetik laporan Sinar Harian, Hasnal menambah, disebabkan kedudukan politik di negara itu, ia menyukarkan Malaysia mendapatkan persetujuan Australia melakukan ekstradisi ke atas Sirul dan perkara tersebut belum lagi disentuh setakat ini.

"Apa yang kita bincangkan hanya bagaimana mahu membebaskan dia daripada tahanan di sini (Australia) kerana bagi kami, dia tidak sepatutnya ditahan kerana tidak melakukan apa-apa kesalahan mengikut undang-undang Australia," katanya.

Pada masa yang sama, Hasnal turut menyampaikan pesanan Sirul dia belum bersedia untuk berurusan apa-apa lagi dengan mana-mana pihak di Malaysia tanpa diwakili peguamnya.

"Dia akan buat sekatan dan akan memutuskan akses dengan sesiapa saja jika urusan itu tidak dibuat melalui kami berdua (Hasnal dan Kamarul)," katanya.

Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul bersama seorang lagi bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri hadir atas kesalahan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada Oktober 2006.

Bagaimanapun, Sirul tidak hadir ke mahkamah pada hari keputusan diumumkan dan didapati beliau berada di Australia sejak Oktober lalu.

Disebabkan kehilangannya, Polis Malaysia terpaksa mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menjejaki Sirul. Interpol kemudian mengeluarkan notis merah padanya untuk diekstradisi.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: