"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa Daim jadi sasaran?


Secara tiba-tiba, bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin menjadi tumpuan serangan media kem kerajaan dan juga pemimpin PKR.

Perkembangan itu menimbulkan tanda tanya, lebih-lebih lagi apabila media tersebut menyiarkan kenyataan pemimpin PKR berkenaan.

Sedangkan, kenyataan pemimpin parti berkenaan diketahui sukar muncul di media yang dikawal kerajaan.

Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tangkas menyatakan kesudian untuk menyiasat tokoh perniagaan tersebut juga mengejutkan banyak pihak.

Daim, orang kuat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kini beralih arah dengan mengambil sikap menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Teori konspirasi itu tercetus abila BN dan PKR kini sama-sama bersatu menentang Daim.

Mengulas perkembangan itu, MP DAP, Datuk Ariff Sabri menimbulkan spekulasi bahawa ia Najib mungkin membentuk persefahaman dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang menunggu rayuan ke atas hukuman penjara bagi kes Liwat II.

Namun, PKR melalui Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad bertegas bahawa Anwar konsisten dalam membangkitkan mengenai kesalahan yang didakwa dilakukan oleh Daim sejak 1998.

Tapi Anwar juga secara konsisten membidas Dr Mahathir, bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail sejak sedekad yang lalu.

Mengapa tokoh tersebut tidak mendapat liputan media, dan diserang oleh kerajaan dan pembangkang seperti Daim?

Teori konspirasi

Jadi, adakah teori konspirasi itu betul? Untuk memahaminya isu Daim ini, kita perlu melihat bagaimana isu ini timbul daripada awal lagi.

Daim, dalam wawancaranya dengan KiniBiz yang disiarkan akhir Februari tahun lalu, menyifatkan Anwar "lemah" ketika menghadapi pilihan raya kecil Kajang.

Anwar menyerang balas pada 3 Mac dengan mendakwa Daim terlibat dengan kes rasuah dan mempunyai dana berbilion di Afrika dan Eropah Timur.

MP Bukit Katil Shamsul Iskandar Md Akin seterusnya meneruskan asakan dengan kempen anti-Daim dan mendesak pihak berkuasa menyiasat bekas menteri itu.

Bagaimanapun, desakan Shamsul itu tidak dipedulikan oleh pihak berkuasa dan menjadi hambar selepas pilihan raya kecil itu.

Beliau kemudiannya membangkitkan semula di Dewan Rakyat pada November tahun lalu dan sekali lagi pada bulan ini, sebelum disambut oleh jentera kerajaan yang turut serta menyerang Daim.

Shamsul, yang juga naib presiden PKR, berkata beliau menganggap penglibatan BN menyerang Daim hanya "secara kebetulan" dan menyifatkannya sebagai satu "bonus".

Beliau menolak andaian bahawa Anwar membentuk perjanjian dengan Najib demi mendapat kebebasannya.

Menurut Shamsul, PKR telahpun menyerang Daim ketika Anwar belum lagi dijatuhi hukuman – dan ketika itulah perseterusan terbuka di antara Mahathir dan Najib bermula.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: