"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mangsa samun balik hanya berseluar dalam

Chukai: Seorang mangsa samun pulang ke rumah dengan memakai seluar dalam apabila pakaian dan wang tunai RM1,200 dilarikan tiga lelaki dalam kejadian di Kampung Bukit Kuang, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa berusia 28 tahun bekerja di sebuah syarikat swasta, di sini, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di kampung berkenaan dengan menunggang motosikal, jam 3.30 pagi.

Sumber berkata, dalam perjalanan, tiba-tiba mangsa dihampiri kereta Proton Saga hitam dinaiki tiga lelaki sebelum seorang daripada mereka memberi isyarat menyuruh mangsa memberhentikan motosikal di tepi jalan.

Katanya, mangsa yang terkejut akur dengan arahan lelaki terbabit kerana bimbang kejadian buruk berlaku.

“Sebaik mangsa berhenti di bahu jalan, tiga lelaki terbabit mengarahkan mangsa menanggalkan seluar jeans dan baju dipakainya.

“Mangsa yang ketakutan menurut arahan kumpulan terbabit bagi mengelak dicederakan,” katanya.

Menurut sumber, sebaik merampas pakaian mangsa, suspek beredar dan meninggalkan mangsa sendirian di kawasan berkenaan.

Katanya, suspek turut mencampakkan kunci motosikal dalam semak berhampiran menyebabkan mangsa yang hanya berseluar dalam terpaksa mengheret motosikal untuk pulang ke rumah.

“Selain wang tunai, mangsa kehilangan telefon bimbit, jam tangan serta dokumen penting yang keseluruhannya dianggarkan RM1,300,” katanya.

Mangsa membuat laporan kejadian jam 4.46 pagi di Balai Polis Chukai dan kes disiasat mengikut Seksyen 382 Kanun Keseksaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
-hmetro-

Tiada ulasan: