"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

12 masalah dihadapi pembangkang pada PRU ke-14

Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar

Rakyat baru-baru ini dikejutkan dengan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertemu dan bersalam serta berbincang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pendirian Dr M menyokong tindakan Anwar mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 (Akta MKN).

Dr M bercadang memfailkan Affidavit Sokongan untuk menyokong permohonan Anwar dengan secara tidak langsung memulihkan kembali pasukan 2 negarawan yang pernah memimpin negara dengan cemerlang. Sekalipun minggu lepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar namun ianya perkara biasa untuk merayu ke Mahkamah Rayuan memandangkan tindakan mencabar kesahan Akta MKN sebagai bertentangan atau ultra vires patut diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi negara ini.
Gandingan 2 negarawan ulung negara patut dihormati semua pihak termasuk pihak berkuasa yang menjaga keselamatan negara. Pihak berkuasa keselamatan negara patut mula mengadakan siri mesyuarat dan muhasabah tentang perkembangan semasa yang sedang berlaku. Sekiranya mereka mendapati arahan yang diterima daripada pemimpin politik yang sedang memimpin kerajaan tidak patut diterima atas pelbagai sebab kukuh maka itulah yang sewajarnya mereka lakukan demi menghormati semangat pakaian seragam pasukan masing-masing.

Kita patut berhenti menjadi seperti burung unta yang menyorokkan kepalanya ke dalam pasir tetapi seluruh badan yang begitu besar tetap jelas kelihatan pada semua. Seluruh dunia tidak mungkin cemburu dengan kejayaan kita. Apakah agaknya yang sebenarnya negara kita berjaya sehingga seluruh dunia dikatakan cemburu terhadap negara kita? Kejayaan Malaysia tiada di zaman pimpinan sekarang. Adakah jumlah rakyat yang begitu ramai menerima BR1M itu sesuai dikatakan satu kejayaan Malaysia? ‘Akai ada ka’, meminjam kata kata Idris Hashim dalam filem Laksamana Do Re Mi.

Belanjawan pimpinan sekarang yang asyik defisit dan hutang negara mencapai RM1 trillion serta pelbagai belanja seperti biasiswa, elaun pelajar samada dihentikan atau dilewatkan pembayarannya, sekadar menyebut satu dua contoh, boleh dianggap sebagai kejayaan negara untuk di cemburui oleh seluruh dunia sehingga menyebabkan mereka mula mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap syarikat hutang milik negara?

Rakyat mula beralih arah menyokong gabungan Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Peralihan beramai-ramai daripada parti politik pemerintah dikatakan sebagai kecil dan tidak memberi kesan kepada mereka namun jika benar begitu, mengapakah media arus perdana yang setiap bulan perlu membayar akibat perintah mahkamah kerana asyik mencanangkan berita fitnah. Justeru jangan terperanjat, jika suatu hari nanti media-media ini tidak lagi wujud dan akhirnya lokasi asal operasi mereka akan di jadikan pusat pemprosesan najis manusia sebagai kenang-kenangan tentang apa yang mereka lakukan sebelum ini.

Masalah utama Pakatan Harapan ialah PPBM. Pertama, segolongan ahli-ahli ini sudah sebati membenci Anwar sehingga ada yang masih enggan menerima hakikat yang kedua negarawan sudah berbaik, dan bertindak lebih sudu dari kuah daripada pemimpin mereka sendiri yang berbaik demi untuk memastikan angka menyebelahi mereka semasa Pilihan Raya Umum ke-14 nanti. Golongan ini akan bermuka-muka dengan pemimpin sendiri namun tetap cuba mempengaruhi ahli lain supaya meneruskan kebencian tidak berasas terhadap Anwar melainkan asyik mengulangi skrip lama yang sememangnya sudah basi.

Masalah kedua segolongan ahli PPBM ialah ada yang masih menganggap DAP sebagai musuh walhal yang banyak menjahanamkan negara sebenarnya bukan DAP. Ini sekali lagi kerana sudah sebati dalam benak mereka yang berkenaan untuk membenci DAP selama-lamanya tanpa sebab munasabah kecuali asyik mengulangi segala jenis berita lapuk yang direka cipta semenjak mereka belum lahir lagi dan cuma menerima bulat-bulat tanpa menyemak apa yang dicanangkan pada mereka. Perbuatan golongan ini sebenarnya tidak akan membantu menambah jumlah undi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti memandangkan undi kaum Cina kini menyebelahi DAP bukannya MCA.

Kemenangan BN dalam 2 pilihanraya kecil tidak memberi indikasi yang pengundi Cina menyokong MCA memandangkan pengundi Cina mungkin tertarik kepada jumlah dana serta projek yang diperuntukkan di Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Kehadiran golongan yang membenci DAP tanpa sebab, tanpa fakta, tanpa bukti boleh mengakibatkan angka yang diperlukan untuk berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 mungkin tidak dapat dicapai.

Masalah ketiga ialah segolongan yang memasuki PPBM kerana mungkin beranggapan peluang mendapat kontrak perniagaan dengan mudah selepas menguasai kerajaan nanti, sekalipun baru menubuhkan syarikat tanpa sebarang kelayakan dan pengalaman, akan berpaling tadah jika terdapat janji yang lebih manis daripada pihak lain. Ini virus yang sukar dirawat kerana golongan ini tak ubah seperti broker angin yang cuma berpindah ke parti baru daripada parti asal mereka, Umno.

Masalah keempat ialah kemungkinan ada usaha dari dalam oleh penyokong Presiden PPBM dan penyokong Pengerusi PPBM untuk berebut jawatan di setiap negeri. Ini akan mengakibatkan perpecahan dalam kalangan penyokong sekalipun kedua pimpinan utama iaitu Pengerusi dan Presiden dilihat boleh bertolak ansur.

Masalah kelima datangnya daripada luar iaitu tekanan hebat daripada parti pemerintah, yang mungkin akan menamatkan sumber kewangan saf pimpinan Pakatan Harapan dan PPBM, mungkin bertujuan untuk melemahkan kemampuan kewangan sebelum Pilihan Raya ke-14.

Masalah keenam datangnya daripada Suruhanjaya Pilihan Raya yang memindah pengundi dengan cara yang tidak munasabah, dengan menjadikan setiap kawasan berasaskan kaum, atau pemindahan anggota pasukan keselamatan dengan begitu banyak kepada sesuatu kawasan.

Masalah ketujuh datangnya daripada PAS yang tidak lagi dihormati rakyat selepas ketiadaan 3 pimpinan utama iaitu almarhum Datuk Nik Aziz Nik Mat, almarhum Datuk Seri Azizan Razak serta almarhum Datuk Fadzil Noor. Pimpinan PAS sekarang lebih dilihat ingin membantu melindungi Umno yang dari segi sejarahnya parti berkenaan pernah menyebabkan ada pemimpin mereka terbunuh termasuklah ketika musim pilihan raya.

Blok ketiga yang diwujudkan PAS bersama parti yang tiada kerusi amat kabur status sebenarnya.

Manakala ‘saman hari Selasa’ pimpinan Umno sudah lebih setahun berlalu tanpa tindakan saman fitnah langsung terhadap WSJ, kini dikhuatiri akan diulangi PAS yang dilaporkan ingin menyaman Sarawak Report di London.

Tindak tanduk pimpinan baharu PAS yang mahu sambung bermusuhan dengan DAP seperti yang ditegaskan oleh Mursyidul Am PAS yang baharu, cuma memberi faedah kepada Umno. Agaknya mereka sudah lupa pesanan Nik Aziz supaya jangan dipatuk binatang berbisa dalam lubang yang sama 2 kali.

Tindakan serta pelbagai kenyataan pimpinan PAS ada masanya memang mahukan PAS tewas samada semasa PRU-13 di Terengganu ataupun Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016 baru-baru ini.

Benar, iman tidak boleh diwarisi justeru ianya tidak memeranjatkan jika ada anak daripada kalangan keturunan ulama terbilang membuat pelbagai kenyataan yang dipercayai berbohong kepada rakyat, jauh berbeza dengan pendirian asal ayahanda sendiri. Seterusnya segolongan pimpinan PAS sekarang mungkin mengguna pakai apa-apa Qawaid Fiqiyyah atau Islamic Legal Maxims bagi menyokong apa-apa tindakan mereka seolah ia dapat mengubah tindakan yang umum lihat salah serta merugikan sebagai betul.

Masalah kelapan ialah, segala kecurangan berbukti termasuk bukti video yang melibatkan SPR ketika PRU-13 masih belum ada penutup yang memuaskan sehingga kini sekalipun sudah ada perbicaraan umum diadakan oleh pihak Bersih menerusi Tribunal Rakyat bagi mengadili apa yang berlaku.

Masalah kesembilan ialah kewujudan kumpulan samseng ‘Sharif Kampung Dusun’ yang cuma memainkan isu perkauman yang patut diambil tindakan serta merta oleh pihak berkuasa. Mereka ini boleh membahayakan keselamatan negara dengan pelbagai tindakan kasar serta ugutan jenayah.

Masalah kesepuluh ialah rakyat kita terlampau baik, tidak punyai kemahuan langsung untuk bertegas mempertahankan hak masing masing. Biarlah segala harta negara di rompak sehingga licin asalkan masih kerja masih dapat gaji masih dapat BR1M, biarlah.

Masalah kesebelas, mufti yang memilih-memilih dalam mengeluarkan pandangan yang diterima rakyat sebagai fatwa. Segala isu yang mungkin menjejaskan periuk nasi mufti, mereka akan memilih untuk membisu seperti lembu kenyang. Mereka cuma mahu bersuara bila ada isu remeh seperti Pokemon. Mungkin Sultan negeri masing masing patut memikirkan tindakan drastik yang sesuai terhadap mufti yang begitu.

Masalah kedua belas, kegagalan khutbah Jumaat menyedarkan umat Islam tentang isu penting yang memerlukan tindak balas segera melainkan cuma berterusan mengantukkan rakyat dengan bacaan khutbah yang berbentuk siaran ulangan topik yang sedia diketahui rakyat.

Akhir sekali rakyat masih meletakkan harapan kepada Majlis Raja-Raja untuk membantu apa yang termampu untuk memperbetulkan keadaan negara memandangkan Majlis Raja-Raja yang berkuasa memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sembah takzim dan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong yang baru, Al-Sultan Kelantan serta Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang baru, Tuanku Sultan Perak. Sesuai dengan ketinggian ilmu kedua baginda Sultan Kelantan dan Sultan Perak, InshaaAllah rakyat mengharapkan belas ikhsan baginda berdua untuk menyelamatkan negara dengan sekadar termampu, daripada segala kerosakan. Perlembagaan Persekutuan dengan jelas meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera. Ini juga telah disahkan dengan jelas berkali-kali dalam pelbagai peruntukan Akta Angkatan Tentera 1972. Manakala pada tahun 1958, Yang di-Pertuan Agong ketika itu turut berkenan menganugerahkan gelaran Diraja pada pasukan polis menjadi Polis Diraja Malaysia (PDRM). InshaaAllah di tahun 1438 Hijrah tahun baru dalam takwim Islam, rakyat mendoakan keadaan dapat pulih dengan kerjasama semua pihak kecuali golongan penjenayah yang patut segera disiasat dan didakwa tanpa mengira jawatan mereka yang masih berkuasa.

Wallahualam.

Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar ialah peguam di Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: