"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saya ditawarkan RM2 juta sebulan 'Tutup Mata' terhadap aktiviti jenayah - bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan

KUALA LUMPUR: Sejumlah besar wang ditawarkan untuk rasuah, demikian kata bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan mengenai beliau ditawarkan RM2 juta sebulan sebagai bayaran bagi menutup mata terhadap aktiviti jenayah.

Mereka bagaimanapun silap percaturan apabila pemimpin tertinggi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) itu bukan sahaja menolak tawaran tersebut, bahkan mempergiatkan gerakan membanteras jenayah terancang.

"Semasa saya di sana (PDRM), sindiket menawarkan saya RM2 juta sebulan supaya membolehkan mereka menjalankan aktiviti perjudian, pelacuran, dadah dan lintah darat tanpa diperiksa.

"Saya tolak dan pastikan mereka ditangkap," katanya selepas Seminar Integriti dalam Perkhidmatan Awam dan Majlis Penutup Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di sini, Rabu.

Musa berkata, beliau terlibat dalam operasi penahanan beberapa ketua sindiket berprofail tinggi semasa beliau berkhidmat dalam pasukan keselamatan itu.

"Rasuah perlu dihapuskan dan ia tidak tempat dalam pasukan ini," katanya.

Malah kata Musa, beliau pernah dituduh mengambil rasuah semasa berkhidmat sebagai pegawai penyiasat di Melaka.

"Seorang pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR, kini Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia) memberitahu saya bahawa saya disiasat kerana beberapa orang bahawa saya menggunakan nama saya untuk meminta rasuah.

"Saya beritahu pegawai itu untuk teruskan dan tahan mereka. Orang seperti itu jangan diberi muka," katanya.

Semasa menjadi KPN, Musa berkata, beliau mempunyai pendekatan bersungguh-sungguh membanteras jenayah terancang.

Salah satu kejayaan beliau apabila menahan tujuh suspek yang merupakan ketua geng warga Malaysia, termasuk seorang yang dikaitkan dengan geng di Singapura, pada Julai 2007.

Ia susulan arahan beliau mempergiatkan gerakan Unit Anti Maksiat, Perjudian dan Gangsterisme (D7), jenayah serius malah termasuk unit soal siasat, secara besar-besaran di Lembah Klang dan Johor.

Sebulan kemudian, Musa mencatatkan lagi kejayaan apabila beliau dapat menangkap salah seorang ketua sindiket paling berkuasa di negara ini, di Johor Baru.

Ditanya sama ada KPN lain turut menerima tawaran seumpama itu, Musa berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perkara tersebut.

"Malah saya tidak menerima hamper semasa saya menjadi KPN. Kita, sebagai pegawai kanan, perlu menjadi contoh dan menunjukkan perkara yang wajar kepada pasukan kita," katanya.

Tiada ulasan: