"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perihal Syed Saddiq dan Jamal Yunos

ABDUL JALIL ALI
ADA dua nama yang menjadi sebutan dan ingatan ramai sehari dua ini. Keduanya juga menjadi buruan. Bukan mantan PM, Datuk Seri Najib Razak, tidak juga mantan TPM, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tetapi Syed Saddiq, dan Jamal Yunos.

Nama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba-tiba ngetop dan meniti dari bibir ke bibir, dan terus melekat di hati kebanyakan orang, terutama anak dara. Dia kacak, bijak berbicara – almaklumlah pembahas terbaik dunia! – cepat mesra walaupun pertama kali berjumpa. Maka tidak menghairankan, dia menjadi tarikan anak muda ke mana pun dia pergi.

Baru masuk politik, telah dicalonkan untuk parti Bersatu pada PRU14 9 Mei lalu, bertanding pertama kali di Parlimen Muar, dan menang, terus bergelar YB.

Beberapa hari lalu dia mencatat sejarah sebagai anggota Kabinet paling muda – baru 26 tahun – apabila dinamakan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Tidak suka dipanggil ‘YB’ kerana kedengaran tua dan terlalu rasmi. Katanya: “Panggil saya ‘Bro Saddiq’ lebih sesuai!” Sebab itu dia menjadi buruan remaja, khasnya gadis!

Perihal Datuk Seri Jamal Yunos, sehingga beberapa hari lalu, juga menjadi buruan. Bukan diburu anak dara, tetapi menjadi buruan polis.

Dia popular kerana sikap pemurah dan keprihatinan terhadap masalah rakyat. Contoh, ketika orang ramai mengeluh dan resah akibat kenaikan harga barang, Jamal banyak menderma.

Dia membawa ikan ke tempat-tempat tertentu, menjual ikan pada harga amat murah. Kembung yang di pasar biasa berharga hingga RM12 per kilo, dia menawarkan hanya RM5.

Maka, ke mana sahaja dia membawa ikan, orang ramai akan mengerumuni Jamal untuk membeli ikan. Maka dia digelar ‘Jamal Ikan.’

Tidak sahaja pemurah, dia juga kadangkala dianggap tidak malu. Contoh, satu pagi dia bercukin membawa baldi dan berus gigi, menunjuk perasaan di hadapan pejabat Menteri Besar Selangor, gara-gara masalah air di negeri itu.

Ada juga orang menganggapnya berani. Contoh, pemimpin NGO Baju Merah ini pernah membawa tukul besi gergasi dan memecahkan beberapa botol arak di hadapan bangunan sekretariat Selangor Oktober lalu.

Serpihan kaca bertaburan, tetapi tidak ada siapa yang berani menegur dan menghalang wira Baju Merah itu. Semua orang menganggap dia berani.

Tetapi kemudian terbukti hero Baju Merah itu tidaklah seberani yang disangka. Contoh, apabila polis hendak menangkapnya kerana kesalahan pecah botol arak itu, dia menghilangkan diri.

Seperti dilaporkan media, semasa menjalani rawatan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Jamal melarikan diri ketika didakwa di mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian mengeluarkan waran tangkap ke atasnya, dan hero Baju Merah itu menjadi buruan. Maka, ramai berkata hero kampung itu hanya ‘berani buat, tak berani tanggung.’

Kalau betul berani dan bertanggungjawab dia sepatutnya sedia menghadapi tuduhan tersebut. Tidak ada apa yang hendak ditakutkan sebab jika sabit kesalahan pun tuduhan itu tidak akan membawa hukuman gantung sampai mati.

Selama main sorok-sorok dalam buruan Jamal sempat merakam beberapa video yang diviralkan, mendakwa dia tidak lagi, masih ada di dalam negeri. Nampak sangat dia hendak menunjuk pandai, dan memperlekeh pihak berkuasa.

Ketika YB muda Syed Saddiq masih menjadi buruan peminat, Jamal, wira berusia 43 tahun itu menamatkan pemburuan polis terhadapnya.

Dia ditangkap di sebuah salon di Jakarta, ketika sedang bergunting rambut. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Seperti ‘Bro Saddiq’, sebagai orang politik, Jamal pun bercita-cita tinggi. Sebab itu dia menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti baru-baru ini.

Walaupun menyedari polis sedang memburunya siang-malam, dia mencalonkan diri untuk merebut jawatan penting parti yang dikosongkan oleh Khairy Jamaluddin. Jamal tewas dalam pertandingan tersebut, hanya mendapat dua undi 191 bahagian parti seluruh negara.

Tetapi, dia masih dipilih semula sebagai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar. Meski dalam buruan, dan berucap kepada perwakilan bahagian hanya menerusi video, dia masih dipilih.

Maka, ada yang marah-marah apabila calon dalam buruan pun boleh menang. Apa hal? Mungkin ini membuktikan kematangan pemilihan dalam Umno pasca tsunami 9 Mei.

Apa pun ‘Bro Saddiq’ dan ‘Jamal Ikan’ masing-masing ada kelebihan. Sama-sama menjadi sebutan.

Tiada ulasan: