"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRK Sungai Kandis: Pas Selangor cadang kerjasama dengan Umno

MALAYSIA DATELINE
Pas perlu membentuk kerjasama dengan Umno bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Kandis, kata Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir.
Menurutnya, kerjasama itu antara pilihan terbaik untuk menguatkan suara pembangkang serta mengimbangi kekuatan Pakatan Harapan (PH).

“Secara peribadi saya mengesyorkan supaya Pas dan Umno membentuk kerjasama bagi kerusi Dun Sungai Kandis.

“Saya melihat adalah lebih baik jika berlaku pertandingan satu lawan satu bagi kerusi ini.

“Dalam konteks di Selangor, PH sangat kuat dan bagi memastikan proses demokrasi dapat berjalan dengan baik, adalah penting untuk mempunyai pembangkang yang kuat di Selangor,” katanya dipetik dari NSTP.

Pada PRU-14 lalu, Pas Selangor hanya mendapat satu kerusi Dun manakala BN (4) dan PH berjaya menang di 51 kerusi Dun.

Walau bagaimanapun, Dun Sungai Kandis yang disandang Mat Shuhaimi Shafiei kosong apabila beliau meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, Pas dan Umno perlu membuang ego masing-masing dengan meletakkan kepentingan Islam sebagai asas untuk menjadikan kerjasama tersebut satu kenyataan.

“Mungkin PRK DUN Sungai Kandis ialah perintis kepada lebih banyak kerjasama antara Pas dan Umno pada masa depan,” ujarnya.

Walaupun begitu, beliau sebagai ahli parti akur dengan semua keputusan Pas Pusat berhubung hal tersebut.

Tiada ulasan: