"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib mengaku tak bersalah 4 tuduhan, ikat jamin RM1 juta

Faiz Zainudin
KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan melakukan pecah amanah dan 1 dakwaan menyalahgunakan jawatannya membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Ahli Parlimen Pekan itu meminta dibicarakan selepas 4 pertuduhan itu dibacakan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abdul Razak.

Hakim menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta untuk semua pertuduhan dengan 2 penjamin dan 2 pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah, serta 8 Ogos sebagai tarikh pengurusan kes untuk menentukan tarikh perbicaraan.

Terdahulu, pasukan pendakwaan yang diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas meminta ikat jamin ditetapkan pada RM4 juta, iaitu RM1 juta bagi setiap pertuduhan.

Peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagaimanapun memohon hakim mengurangkan jumlah itu kepada RM500,000 hingga RM800,000 dan membenarkan anak guamnya menyerahkan geran tanah yang mempunyai nilai sama sebagai cagaran.

“Anak guam saya melalui anak-anak dan isterinya perlu dapatkan duit dari saudara-saudara mereka. Mereka mempunyai sejumlah wang, tetapi setakat ini tidak sampai RM4 juta,” kata Shafee.

Bagi pertuduhan pertama, Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu perdana menteri dan menteri kewangan, Advisor Emeritus SRC dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah terhadap RM27 juta.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-2, Najib didakwa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah terhadap RM5 juta di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan ke-3, Najib didakwa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah terhadap RM10 juta di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama.

Bagi pertuduhan ke-4, Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu perdana menteri dan menteri kewangan, menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Daripada 6 bekas perdana menteri Malaysia, Najib pemimpin negara pertama yang menghadapi dakwaan jenayah.

Najib ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 2.35 petang semalam.

Beliau hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebanyak 2 kali untuk direkodkan keterangan berhubung kes berkenaan.

SRC ialah anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Tiada ulasan: