"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim mohon sertai PKR, selepas permohonannya untuk menyertai Bersatu ditolak

Anne Muhammad  
ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim dijangka akan menyertai PKR, hujung bulan ini selepas permohonannya untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) ditolak.

Ismail yang sudah meninggalkan Umno hujung bulan lalu berkata beliau mempertimbangkan untuk menyertai PKR kerana acuan parti tersebut tidak seperti parti lamanya.

“Saya nak masuk mana-mana parti pun, saya tak mahu ada acuan-acuan lama dalam parti tu. Setakat ni saya melihat PKR agak terbuka dan dan setiap keputusan melalui konsensus. Saya pertimbang nak sertai PKR sebab rasa seronok kearah sana,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Difahamkan, Ismail memutuskan untuk menyertai PKR Kedah di bahagian Pokok Sena, namun sehingga kini masih belum mendapat maklum balas daripada pucuk pimpinan PKR negeri dan pusat.

Pada 20 Jun lalu, Ismail meninggalkan Umno selepas hilang keyakinan terhadap pucuk kepimpinan parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

BERSATU Perlis tolak permohonan

Ismail berkata keputusan itu demi kepentingan rakyat apabila beliau perlu menjalin hubungan dengan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) selain memaklumkan akan menyertai BERSATU dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun BERSATU Perlis menolak permohonannya dengan menyifatkan Ismail sebagai 'musuh di medan perang' dan tidak akan boleh duduk semeja selepas apa yang berlaku sebelum ‘bertempur’ pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Awal pagi tadi dua keping gambar Ismail memegang borang keahlian PKR tular.

Mengulas lanjut Ismail berkata, beliau memilih menyertai PKR Kedah kerana kurang ancaman serta parti itu dilihat terbuka.

“Kehadiran saya diterima dengan ikhlas, itu yang saya nak. Saya tak mahu saya dilihat sebagai ancaman kepada pemimpin sedia ada, saya tak mahu. Kebetulan rakan-rakan dalam PKR adalah rakan-rakan lama saya.

Nak jadi ahli biasa, wakil rakyat

“Saya masuk bukan nak jadi pemimpin gantikan rakan-rakan saya sedia ada, tidak. Saya masuk nak jadi ahli biasa dan aktif sebagai wakil rakyat di kawasan dan kalau diminta untuk menyumbangkan idea, dalam aktiviti parti saya akan ikut macam biasa, macam orang lain ikut,” katanya.

Ditanya tindakannya melompat parti seperti mengkhianati pengundinya, Ismail berkata rakyat di Tambun Tulang cukup memahami dirinya dan menerima keputusan itu demi kebaikan bersama.
PRU-14 lalu menyaksikan BN berjaya meraih 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (HARAPAN) menang tiga kerusi dan PAS dua kerusi.

Ismail turut berkata, kehadirannya sebagai ADUN PKR Perlis akan menguatkan lagi pembangkang di negeri tersebut.

Ismail turut berharap orang muda akan dipilih mengetuai pembangkang di negeri itu.

Tiada ulasan: