"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tangkapan Najib bukan untuk disorak

FMT Reporters
PETALING JAYA: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengingatkan siasatan dan tangkapan ke atas Datuk Seri Najib Razak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bukan untuk disorak tetapi teladan kepada semua pihak.
Penyokong kuat Tun Dr Mahathir Mohamad itu bersimpati kerana seorang wakil rakyat dan bekas perdana menteri ditahan dalam proses menegakkan hukum, dan menjadi amaran kepada orang-orang berkuasa yang ingin mengkhianati amanah rakyat.

“Negara kita ada undang-undang. Sesiapa saja yang melakukan kesalahan jenayah harus dihukum secara setimpal berteraskan kepada kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Mengimbau kembali pengalamannya ditangkap dan ditahan, Khairuddin mengingatkan pemerintah tidak boleh menganiayai sesiapa pun tanpa bukti kukuh.

“Keseluruhan ahli keluarga saya terpaksa menanggung bebanan kesan penangkapan saya pada waktu itu. Mereka hanya mampu berdoa untuk kesejahteraan saya,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan ini pernah ditahan dan didakwa tuduhan cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara kerana membuat laporan polis mengenai skandal 1MDB di 5 negara pada 2015.

Mahkamah Sesyen membebaskan beliau dan seorang peguam, Matthias Chang Wen Chieh, daripada tuduhan itu pada 2017.

Bagi Khairuddin, beliau secara peribadi tidak berdendam dengan Najib, tetapi setiap hasil rompakan ke atas khazanah kerajaan dan duit rakyat wajib dikembalikan.

“Walaupun dulu saya dianiayai oleh mereka selepas bertindak keatas kes skandal 1MDB namun di saat ini saya tidak pernah berdendam pada Najib mahupun sesiapa saja yang terlibat untuk menzalimi saya.

“Sebab itu, pada hari Jumaat setelah 2 hari BN dan Umno kalah dalam PRU14, saya secara peribadi mengunjungi Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor di kediaman peribadi mereka.

“Apa yang menyedihkan saya sehingga kini Najib masih hidup dalam sindrom penafian. Beliau tetap menafikan seolah-olah tidak pernah mencuri khazanah kerajaan dan duit rakyat walaupun 1 sen,” katanya.

Pasukan Petugas Khas 1MDB dalam kenyataan mengesahkan Najib ditahan pada 2.35 petang berkaitan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Najib akan dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pada 8.30 pagi esok.

Tiada ulasan: