"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Parti komponen PH perlu hormati 3 prinsip utama yang disepakati

Bernama
Tidak boleh ada penyimpangan daripada tiga prinsip utama yang disepakati parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) kerana ia merupakan asas kepada penyatuan kerjasama pakatan itu sekali gus berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tiga prinsip yang merupakan hala tuju pakatan itu merangkumi komitmen mempertahankan segala ketetapan dalam Perlembagaan Persekutuan, komitmen terhadap agenda reformasi dan kerjasama PH berasaskan saling menghormati serta mempercayai satu sama lain.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kelengkapan persekolahan peringkat Parlimen Kulim-Bandar Baharu di Sekolah Kebangsaan Terap dekat sini hari ini.

“…institusi raja, kedudukan Islam, kebebasan beragama, kedudukan istimewa (orang Melayu dan Bumiputera) dan kedudukan istimewa Bahasa Melayu merupakan asas yg menyatukan kerjasama Pakatan Harapan.

“Keduanya komitmen terhadap agenda reformasi untuk institusi awam, institusi penguatkuasa, institusi Parlimen ini merupakan tunjang kepada hala tuju Pakatan Harapan. Kemudian perkara ketiga kerjasama Pakatan Harapan bertunjangkan satu pakatan yang saling menghormati dan mempercayai,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam catatan laman blognya semalam yang menyatakan pemimpin parti itu tidak teragak-agak keluar daripada gabungan kerajaan sekiranya objektif Malaysia baharu diketepikan.

Saifuddin Nasution yang juga Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu berkata sehubungan itu konteks yang dimaksudkan Lim itu adalah sekiranya terdapat penyimpangan terhadap tiga prinsip berkenaan.

“Saya sebut tiga perkara itu adalah prinsip membentuk Pakatan Harapan baik sebelum menjadi kerajaan mahupun selepas jadi kerajaan…parti politik itu dinamik. Mana ada parti politik statik…perbezaan pendapat dan pandangan itu lumrah biasa. Tetapi asas prinsip ini tidak boleh berbeza sebab telah disepakati,” katanya.

Tiada ulasan: