"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPR, saya nak kahwinlah...

Setiap pasangan bakal pengantin pastinya mahu memilih tarikh sesuai untuk meraikan hari paling bersejarah dalam hidup mereka.

Oleh itu, sebarang halangan yang mengganggu kelancaran pada majlis berbahagia itu sudah pastinya akan meresahkan pasangan yang bakal berkahwin.

Begitulah perasaan dialami seorang wanita apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya kecil Cameron Highlands bersamaan hari perkahwinannya pada 26 Januari tahun depan.

Menurut Syazleen Anisa Misria, dia telah menempah dewan di SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata di Cameron Highlands sejak enam bulan lepas.

"Segala tempahan booking dari A sampai Z semua sudah dibuat untuk majlis 26/1/2019.

"Disebabkan pengumuman anda semua yang last minute macam ni, habis saya dengan keluarga saya kelam kabut dan panik sekarang fikirkan masalah di mana saya nak buat majlis perkahwinan saya.

"Kad telah diedar, duit pun dah habis digunakan untuk tempahan," luah bakal pengantin itu di laman Facebook SPR.

Menurut Syazleen, tidak mungkin baginya untuk menukar tarikh dan tempahan katering, khemah, jurugambar dan juruvideo.

"Kenapalah anda semua susahkan saya buat pengumuman last minute macam ni. Dan kenapalah korang pilih tarikh sama dengan majlis saya. Sedih saya.

"Doakan saya dapat selesaikan masalah saya ni disebabkan keputusan pengumuman tarikh anda semua," katanya sedih.

Luahan itu mendapat perhatian SPR apabila pentadbir laman Facebook suruhanjaya itu membalas komen Syazleen.

"Wasalam..mohon maaf atas kesulitan ini. Boleh cik PM kepada kami no telefon untuk pihak kami hubungi," jelas SPR.

'Terima kasih SPR'

Tidak lama selepas itu, Syazleen dalam ruangan komen pada hantaran yang sama menyatakan perkara itu telah berjaya diselesaikan apabila tarikh perkahwinannya dianjakkan seminggu lebih awal.

Malah, dia kini juga mampu tersenyum sampai ke telinga kerana SPR turut memberikan sumbangan kepadanya.

"Pihak SPR telah menghubungi saya dan menyatakan hasrat untuk memberi sumbangan atas kesulitan yang telah timbul.

"Majlis saya akan diubah tarikh seminggu lebih awal. Terima kasih SPR kerana membantu saya memudahkan urusan saya.

"Semoga pilihan raya kecil yang akan dijalankan akan berjalan dengan lancar. Doakan majlis saya nanti akan berjalan dengan lancar," tulisnya bersama emoji senyum.

SPR hari ini mengumumkan ia mengubah lokasi Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi PRK Cameron Highlands.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini berkata Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah akan digunakan untuk tujuan itu, menggantikan Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands dan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.
-malaysiakini

Tiada ulasan: