"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Izzah mual dan muak, kata Anwar

Nurul Izzah Anwar mual dan muak dengan "telatah golongan yang lebih sibuk dengan politik kepartian daripada bekerja untuk rakyat," kata presiden PKR yang juga ayah kepada MP Permatang Pauh itu.

Anwar Ibrahim menjelaskan misalnya Izzah kecewa dengan tindakan anggota parlimen yang keluar parti.

"Saya telah berbincang bersama Nurul Izzah dengan panjang lebar tentang niat beliau untuk melepaskan kesemua jawatan yang disandang.

"... yang jelas adalah kerancakan perkembangan politik yang terus menerus sejak 9 bulan yang lalu membuatkan beliau mual dan muak dengan perangai dan telatah golongan yang lebih sibuk dengan politik kepartian daripada bekerja untuk rakyat.

"Sebagai contoh, beliau menyatakan kekecewaan dengan aksi ahli-ahli parlimen yang melompat menyelamatkan nyawa politik, tetapi apa yang lebih parah adalah mereka dimanfaatkan untuk rencana yang jelek," kata Anwar dalam suatu kenyataan hari ini.

'Pemimpin parti tamak'

Menurut MP Port Dickson itu lagi, tindakan Izzah melepaskan semua jawatan parti termasuk jawatan naib presiden PKR yang meraih undi tertinggi secara tidak langsung mengkritik segelintir pemimpin parti yang "tamakkan kepentingan peribadi."

"Saya beranggapan ianya sememangnya konsisten dengan watak beliau yang berani menyatakan pendapat dan prinsipnya.

"Dengan (melepaskan semua jawatan PKR) secara tidak langsung, Nurul Izzah mengkritik (beberapa) kerat pimpinan parti yang lebih tamakkan kepentingan peribadi daripada kesatuan parti," katanya.

Anwar juga berkata kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 tidak memberi sebarang makna jika agenda reformasi disabotaj.

"Peristiwa 9 Mei sesungguhnya adalah suatu anjakan besar buat negara yang membawa pelbagai maksud, tetapi kejayaan kita dalam usaha perluasan dan pemekaran ruang demokratik tidak akan ada sebarang makna sekiranya agenda reformasi disabotaj," jelasnya lagi.

Nurul Izzah yang juga anak pasangan presiden PKR dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail membuat kejutan baru-baru ini apabila mengumumkan keputusannya melepaskan semua jawatan dalam parti, termasuk naib presiden.

Bagaimanapun, beliau kekal anggota parlimen Permatang Pauh dan ahli biasa PKR.
-malaysiakini

Tiada ulasan: