"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tindakan ceroboh Maahad Darul Anuar tidak berakhlak dan beretika, kata Nik Omar

MALAYSIA DATELINE

Pengerusi Lembaga Pengarah Maahad Darul Anuar, Ustaz Nik Omar Nik Ab. Aziz amat dukacita dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menceroboh maahad berkenaan secara tidak beretika dan berakhlak awal pagi tadi.

Kata beliau, awal pagi tadi, berlaku dua kejadian yang sangat mendukacitakan pihak Lembaga pengarah Darul Anuar sebagai pihak bertanggung jawab dan diberikan hak untuk mengendalikan sekolah ini.

“Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada 6.00 pagi tadi, terdapat suspek yang memecah pintu sekolah dan menceroboh kawasan bangunan dan pejabat pentadbiran Darul Anuar.

“Tindakan ini satu jenayah kerana kawasan ini masih ditadbir Lembaga Pengarah Darul Anuar.

“Selain menceroboh, pelaku jenayah ini turut memecah masuk ruang pejabat mengeledah peralatan milik Darul Anuar.

“Pihak Lembaga Pengarah sedang menyiasat sekiranya berlaku kecurian atau kemusnahan terhadap dokumen-dokumen penting milik Darul Anuar,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan tersebut juga beliau mengulangi, bahawa sesuai dengan amanat arwah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (ATGNA), status Darul Anuar adalah jelas; ia diamanahkan untuk dikendalikan oleh pihak Lembaga Pengarah.

Jelas beliau, tidak pernah dalam apa juga keadaan atau apa juga kenyataan atau bukti bertulis, bahawa Darul Anuar diserahkan kepada mana-mana pihak selain Lembaga Pengarah yang telah dan sedang menjalankan semua tadbir urus Darul Anuar sejak sekian lama.

“Pihak Lembaga Pengarah akan membuat laporan polis berikutan perlakuan pencerobohan awal pagi tadi.

“Ini satu jenayah serius terhadap kepentingan hartanah dan sekolah yang diamanahkan kepada Lembaga Pengarah untuk dijaga dan diselia dengan cara yang wajar dan berhemah.

“Kami juga akan mengambil tindakan perundangan terhadap pihak luar yang muncul pada 8.00 pagi tadi dan mengambil alih secara tidak berperundangan,” tambahnya.

Katanya lagi, adalah tidak wajar pihak luar merampas pentadbiran Darul Anuar dengan menghalau kakitangan yang diamanahkan Lembaga Pengarah untuk menjaga sekolah ini.

Tindakan pencerobohan, kerosakan harta-benda, penggelidahan dan pengambil alihan tanpa etika dan bersifat jenayah ini adalah tidak sepatutnya berlaku, katanya.

“Semua pihak patut berhemah dan mengutamakan akhlak agama dengan membiarkan undang-undang menyelesaikan krisis ini tanpa sebarang perlakuan kasar dan tidak bermoral.

“Saya amat kesal dengan perbuatan ini dan meminta pihak polis segera menjalankan siasatan. Tindakan ini satu ancaman keselamatan kepada Lembaga Pengarah dan penjawat bertugas di Darul Anuar,” katanya.

Tiada ulasan: