Tular di media sosial video memaparkan seorang lelaki bertutur hanya dalam bahasa Cina cuba memanjat dinding cermin pengasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru hari ini.
Video berdurasi 25 saat itu dimuat naik di akaun Twitter @CVO_II. Lelaki warga China itu mulanya mengetuk cermin itu agak kuat beberapa kali serta menunjukkan sekeping kertas kepada para petugas lapangan terbang.
Walau bagaimanapun, cubaannya memanjat dinding cermin itu ditegah petugas di lokasi itu.
“Dia (Lelaki warga China) kata dia nak cakap dengan orang. Dia ada benda nak cakap.
“Cari orang yang boleh cakap Cina. Dia nak cakap dengan orang tu,” kata seorang individu tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penterjemah.
Identiti lelaki berbaju putih itu kemudiannya disahkan adalah lelaki yang sama ditahan pihak polis pada malam 25 Januari lalu.
Hal tersebut disahkan Timbalan Ketua Polis Daerah Kulai, Deputi Superintendan Yusof Othman, lapor Astro AWANI.
“Itu lelaki yang ditahan pada 9.20 malam Sabtu, anggota polis diketuai Ketua Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dihantar ke lokasi kejadian.
“Lelaki itu tidak berpuas hati, apabila beliau dan anaknya tidak dibenarkan menaiki kapal terbang untuk berlepas ke China,” katanya.
Lelaki tersebut dan anaknya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dikuarantin dan diberikan rawatan.
Terdahulu, lelaki itu dikatakan membawa lari anaknya daripada dikuarantin di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru seujurs pihak perubatan mendapati anaknya mempunyai simptom influenza seperti demam dan batuk.
Ekoran itu, seorang doktor di hospital tersebut membuat laporan polis sebelum tangkapan dilakukan.
Setakat ini, terdapat dua kes pesakit di bawah siasatan jangkitan (PUI) novel koronavirus (2019-nCoV) melibatkan rakyat tempatan.
Dua lagi kes PUI melibatkan warganegara China. Keempat-empat pesakit terbabit diasing di beberapa buah hospital dan keputusan makmal mereka akan diketahui dalam masa terdekat.
Empat kes terbabit antara 23 kes jumlah keseluruhan PUI virus itu di Malaysia sejak 10 Januari lalu hingga jam 12 tengah hari ini.
Daripada jumlah itu, 14 adalah warga negara Malaysia, China (8) dan seorang dari Jordan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan