"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perbicaraan bekas timbalan presiden PAS bermula 8 Jun

Hidir Reduan Abdul Rashid
Perbicaraan terhadap bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang berdepan 33 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah (CBT) melibatkan hampir RM4 juta akan berlangsung selama 20 hari bermula 8 Jun ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Rozilah Salleh menetapkan tarikh perbicaraan ketika Nasharuddin berada dalam kandang tertuduh pagi ini.

Hakim menetapkan tarikh tersebut setelah dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zaki Mohd Salleh bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen berkaitan kes tu sebelum perbicaraan bermula, mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Rozilah juga membenarkan permohonan peguam bela Mohd Shukri Ahmad Mansor agar 33 pertuduhan Nasharudin didengar secara bersama, dengan Zaki memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan tidak membuat sebarang bantahan.

Ditemui selepas prosiding, Zaki berkata antara saksi yang akan dipanggil pihak pendakwaan ialah dari Yayasan Nassar dan NGO Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).

Untuk rekod, Nasharudin merupakan pengerusi yayasan berkenaan dan juga bekas CEO GMM.

Pada 22 Oktober tahun lepas, Nasharudin mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan 30 tuduhan CBT berjumlah hampir RM4 juta.

Nasharudin didakwa melakukan tiga kesalahan mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001.

Dia dituduh menyalurkan hasil daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang berjumlah RM302,069.60 kepada tiga orang penerima melalui akaun bank milik syarikatnya, Wasatiyah Centre For Peace Sdn Bhd.

Dana itu adalah peruntukan Kementerian Kewangan untuk GMM.

Ketiga-tiga kesalahan Amla yang didakwa itu berlaku pada bulan November dan Disember 2018, kira-kira empat bulan selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengarahkan supaya GMM ditamatkan operasi.

Nasharudin dilantik sebagai pengerusi eksekutif NGO itu pada 28 Okt 2015, sehingga hari terakhirnya pada 31 Julai 2018.

Sementara itu, 30 dakwaan CBT di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, didakwa berlaku antara 2015 dan 2018, yang melibatkan wang sejumlah RM3,721,683.80 dalam dana yang dikaitkan dengan kedudukan Nasharudin ketika itu sebagai pengerusi Yayasan Nassar dan Ketua Pegawai Eksekutif GMM.

Diamanatkan untuk menguruskan aset milik Yayasan Nassar, Nasharudin dituduh, antara lain, melakukan pembayaran sebanyak RM51,000 pada 22 Ogos 2016 sebagai bayaran katering untuk perkahwinan anaknya, membayar RM25,756 pada 1 Feb 2018 untuk kolej swasta tempatan bagi yuran tusyen anaknya dan menawarkan pinjaman RM34,000 kepada anak perempuannya.

Dia juga dituduh secara tidak jujur menerima gaji keseluruhan RM321,274 sebagai pengerusi Yayasan Nassar antara 2015 dan 2018.

Tiada ulasan: