"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lepas dapat kuasa, Pas tidak peduli soal kebajikan

MOHD ARIF JUHANI

Selepas mengumumkan peletakan semua jawatan yang disandang dalam Pas dan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), bekas Setiausaha DHPP, S Barathidasan bertemu pimpinan AMANAH di Wisma Amanah Negara bagi menjelaskan situasi semasa.

Pertemuan pada 7 Mac dibuat bagi berkongsi pandangan tentang situasi dalaman Pas dan DHPP yang dilihat gagal untuk mengutamakan kepentingan rakyat bukan Melayu selepas memperoleh kuasa di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Barathidasan berkata, beliau kecewa apabila usaha yang dicurahkan untuk membantu Pas mendapatkan sokongan masyarakat India dalam negara ini musnah disebabkan sikap pemimpin parti itu yang lebih gemar mencipta kontroversi berbanding membawa kebaikan.

Memetik contoh seperti apa yang berlaku di Kedah, beliau kecewa kerana Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang angkuh mengeluarkan kenyataan sehingga mengguris perasaan masyarakat India.

“Apa yang berlaku di Kedah lebih kuat memaksa saya untuk letak jawatan. Saya kecewa kerana tidak dapat bersuara untuk kepentingan masyarakat bukan Islam,” ujarnya.

Tambah mengecewakan, kata beliau, apabila sebilangan pemimpin DHPP juga enggan mengambil pendirian yang jelas dan tegas tentang situasi yang melibatkan Pas dan masyarakat bukan Islam ketika ini.

“Kebanyakan pemimpin DHPP, tak perlu saya nyatakan nama, lebih mahu kekalkan jawatan sekarang berbanding bersama saya suarakan masalah ini,” katanya.

Barthidasan percaya, kenyataan Sanusi itu dibuat dengan motif bagi menarik dan mengekalkan sokongan orang Melayu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. 

“Sikap seperti itu tidak akan memberi kebaikan kepada Pas. Saya percaya Pas akan ditolak oleh kaum bukan Melayu dan terpaksa berebut pengundi Melayu dengan parti lain.

“Pas telah merosakkan imej yang dibawa oleh (almarhum) Tuan Guru Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat),” katanya lagi.

Tiada ulasan: