"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS boleh kerjasama dengan PPBM, tapi jangan susahkan Umno, kata Tajuddin

Faiz Zainudin

KUALA LUMPUR: Umno tidak ada halangan untuk PAS bekerjasama dengan PPBM selagi PAS tidak membantu parti itu menyerang calon Umno pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu menegaskan PAS tidak harus membantu PPBM untuk “bantai” calon Umno, jika ikhlas dalam menegakkan permuafakatan Umno-PAS.

“Memang kita (Umno) nak bekerjasama dengan dia (PAS). Masalahnya kalau (PAS) nak bekerjasama dengan PPBM, (maka) PAS dengan Umno jangan berpecah,” katanya.

“Mungkin ada formula PAS bersama PPBM tapi jangan susahkan Umno.”

Beliau yang juga pengarah pilihan raya Umno menegaskan walau apa bentuk kerjasama PAS dengan PPBM, ia tidak boleh menjurus kepada membantu parti itu untuk menewaskan Umno dalam pertembungan antara dua parti itu.

“Maknanya di mana Umno bertanding, PAS jangan tolong PPBM pula bantai kita. Itu maksud saya, kalau PPBM bertanding di Bukit Bintang, PAS nak tolong sokong PPBM, tolonglah sebab Umno tidak bertanding di sana.

“Sama juga di Kepong, (PAS) kempenlah untuk PPBM, tapi di Pasir Salak, Umno bertanding dan kalau PPBM nak bertanding di sana, PAS jangan sokong. Kalau sokong siap,” kata Tajuddin.

Beberapa pemimpin Umno sebelum ini mengisytiharkan parti itu akan menentang PPBM pada PRU15, termasuk di kerusi-kerusi yang dimenangi pemimpin Umno yang kemudiannya menyertai PPBM.

Bulan lalu, Majlis Kerja Tertinggi Umno memaklumkan PPBM bahawa kerjasama antara dua parti itu hanya sehingga pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU diadakan.

PAS sebelum ini menegaskan ia komited memperkukuhkan hubungannya dengan PPBM menerusi Perikatan Nasional dan dengan Umno menerusi Muafakat Nasional.

Tajuddin berkata Umno akan bertanding 120 kerusi Parlimen sekiranya parti itu bertanding “bersendirian mewakili BN”.

Namun, jika Umno bekerjasama dengan PAS pada PRU nanti, parti itu mensasarkan bertanding sebanyak 96 kerusi, kata beliau.

“Selebihnya PAS boleh bertanding tidak kisah lebih 20, 30 ke, 40 kerusi Parlimen,” katanya,

Tajuddin berkata Umno tidak akan bekerjasama dengan parti lain selain PAS, termasuk PPBM dan parti komponen Pakatan Harapan.

Tiada ulasan: