"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Walau Umno berpatah arang dengan Bersatu, Pas ajak dukung PN sampai habis PRU15

FAZLI RADZI

Walaupun Umno sudah berkerat rotan berpatah arang dengan Bersatu dan hanya meneruskan kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga pembubaran Parlimen, Pas menasihati agar mereka bermuafakat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menasihati pemimpin Bersatu dan Umno serta partinya untuk terus mendukung kerajaan PN yang pada masa ini hanya mempunyai 109 sokongan ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Kubang Kerian tersebut berkata, muafakat politik yang termeterai di bawah PN melibatkan ketiga-tiga parti itu perlu diteruskan sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ujarnya, langkah mengurangkan politik dalaman antara mereka sekali gus mengelak gangguan tumpuan terhadap isu rakyat yang menanggung beban berikutan pandemik Covid-19.

“Saya yakin muafakat politik ini bukan sahaja untuk parti tetapi untuk masa depan negara dan seluruhnya.

“Sebarang keputusan politik melibatkan masa depan negara. Jadi bagi Pas, kita lihat ketiga-ketiga parti perlu teruskan muafakat bukan sahaja sampai Pilihan Raya Umum (PRU) tetapi sampai selepas PRU nanti,” katanya.

Kerajaan PN yang terbentuk selepas Langkah Sheraton tidak mempunyai majoriti apabila hanya mempunyai sokongan 109 ahli Parlimen akibat krisis berlarutan Umno-Bersatu.

Pada 4 Mac lalu, Bersatu memandang serius terhadap kandungan surat Presiden Umno pada 26 Februari yang tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.

Terdahulu, satu perjumpaan khas antara Umno, Bersatu dan Pas diwakili lima pemimpin tertinggi setiap parti diadakan pada 15 Februari lalu.

Dalam pertemuan itu, Muhyiddin meminta Umno supaya membuat pendirian jelas berhubung kedudukan kerjasama dengan Bersatu sebelum sebarang rundingan agihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi PRU-15.

Sehubungan itu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengadakan mesyuarat pada 19 Februari lalu dan keputusan MKT sebulat suara untuk Zahid mengutuskan surat kepada Muhyiddin bagi menyatakan keputusan MKT.

Untuk rekod, Bersatu yang merupakan parti serpihan Umno pada PRU-14 pada masa ini mempunyai 31 ahli Parlimen termasuk sekumpulan bekas pimpinan PKR yang mengkhianati Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Umno seperti ‘abang besar’ di Dewan Rakyat apabila mempunyai 39 ahli Parlimen manakala Pas hanya 18 ahli Parlimen.

Pas digelar ‘bermain dua kolam’ apabila dilihat berada dalam dua gabungan parti politik.

Pas dan Umno mengisytiharkan pembentukan Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019.

Dalam masa sama, Pas dilihat mesra dengan Bersatu yang dimusuhi Umno apabila mempertahan Perikatan Nasional (PN) di semua peringkat atas alasan meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah.

Hasil hubungan Pas dengan Bersatu, parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dilantik oleh Pengerusi PN, Muhyiddin untuk menjadi ‘bos’ di empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN.

Senarai pelantikan terbabit diumum sejurus 189 daripada 191 Bahagian Umno menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim mengingatkan agar mana-mana parti tidak mencetuskan tanggapan yang mengundang keadaan tidak menyenangkan dalam kalangan rakyat.

“Bila kita dukung kerajaan, kita dukunglah kerajaan (PN) ini. Jangan timbul pandangan yang menyebabkan situasi tidak berapa selesa untuk rakyat,” ujarnya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis undi perdana kerja-kerja di bawah peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) di Kluang semalam.

Tuan Ibrahim turut berpendapat sepatutnya sebarang perkara yang menjadi percanggahan boleh diselesaikan menerusi perundingan dan mencari jalan keluar.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan Umno, Pas dan Bersatu bukanlah musuh.

Sebaliknya, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, ketiga-tiga parti Melayu tersebut pesaing dan wujud kekeliruan yang cuba menyembunyikan musuh politik sebenar mereka.

Tiada ulasan: