"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lawan kleptokrasi dengan MOU

DR MUJAHID YUSOF RAWA

Merujuk kepada kenyataan Khalid Samad selaku Pengarah Komunikasi AMANAH, kedua belah pihak Pakatan Harapan dan kerajaan bawah pimpinan Ismail Sabri perlu insaf kepada kerangka persefahaman yang termetrai antara mereka.

Persefahaman politik ini sangat penting dan relevan bagi membuka jalan ke arah politik konsensus nasional. Seruan Khalid Samad dan kebimbangan kleptokrasi dikompromi perlu diambil perhatian serius.

MOU antara PH dan Ismail Sobri adalah cetusan dari usaha penyelesaian krisis politik dilatari musibah pandemik yang melanda negara.

Jalan mati penyelesaian politik selama 17 bulan setelah Langkah Sheraton telah menemukan semua pihak kepada meja rundingan untuk mencapai kestabilan politik. Kestabilan politik diperlukan bagi pihak Legaslatif/Eksekutif tertumpu kepada membawa negara kepada fasa pemulihan secara konsensus.

Perincian persefahaman menandai tiga objektif besar dipersetujui kedua belah pihak, iaitu Dana Besar Covid, Reformasi Parlimen dan Memperundangkan Kestabilan Politik.

Ketiga objektif ini khususnya Reformasi Parlimen dan Perundangan Kestabilan Politik (akta anti-lompat parti, akta pendanaan politik dll) memerlukan kejujuran dan azam politik yang tinggi kerana ia adalah teras kepada jaminan kestabilan politik yang telah dirosakkan oleh para pencatur Langkah Sheraton.

Perosak utama MOU adalah anasir jahat yang melihat perjanjian ini sebagai jalan untuk selamatkan tengkuk mereka dari dakwaan kleptokrasi ataupun mereka yang bertujuan untuk berlengah-lengah supaya mereka dapat meneruskan amalan kleptokrasi.

Anasir jahat seterusnya ialah menjadikan MOU sebagai taktikal untuk memperkukuhkan politik lama berteraskan perkauman sempit dan demokrasi terpilih dan mempertaruhkan kuasa dengan menawarkan kesetiaan politik melalui sogokan wang dan kedudukan.

Sememangnya kebimbangan ke atas anasir perosak MOU adalah wajar dan kegagalan kita mempertahankan prinsip teras dalam MOU adalah kegagalan kita untuk membuka jalan kepada politik konsensus yang sangat diperlukan dalam masa proses penyembuhan negara.

Kita ada pilihan untuk membatalkan MOU tetapi keberantakan politik akan berterusan ataupun kita ada pilihan untuk mempertahankan prinsip MOU bersama dan mengistyiharkan perang ke atas anasir perosak rentas semua parti.

Komitmen PH dan kerajaan Ismail Sobri terhadap perjanjian ini akan memulakan perjalanan panjang politik konsensus untuk kestabilan berterusan.

Tiada ulasan: