"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Israel akhirnya mengaku bunuh Ismail Haniyeh
AFP
ISMAIL Haniyeh. FOTO fail Kementerian Luar Iran / AFP / XGTY / XGTY
Baitulmaqdis: Menteri Pertahanan Israel Katz pada Isnin mengakui bahawa Israel membunuh bekas ketua Hamas Ismail Haniyeh di Tehran, pada awal tahun ini.
Beliau memberi amaran bahawa tentera akan 'memenggal kepala' kepimpinan pemberontak Houthi Yaman.
"Kami akan menyerang Houthi dengan keras... dan memenggal kepala mereka seperti yang kami lakukan dengan Haniyeh, (Yahya) Sinwar, dan (Hassan) Nasrallah di Tehran, Gaza, dan Lubnan.
"Kami akan melakukannya di Hodeida dan Sanaa," kata Katz.
Kenyataannya pada satu acara di kementerian pertahanan menandakan pengakuan awam pertama bahawa Israel berada di sebalik pembunuhan Ismail pada Julai lalu di ibu negara Iran.
"Sesiapa yang mengangkat tangan terhadap Israel akan dipotong tangannya.
"Pasukan Pasukan Israel (IDF) akan menyerangnya dan memintanya bertanggungjawab," kata Katz, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian.
Sebelum kenyataan ini, Israel tidak pernah mengaku membunuh Ismail, tetapi Iran dan Hamas menyalahkannya atas kematian pemimpin politik Hamas itu.
Ismail, yang dilihat mengetuai usaha rundingan Hamas untuk gencatan senjata di Gaza, terbunuh di sebuah rumah tamu di Tehran pada 31 Julai lalu.
Kematian itu dilaporkan berpunca daripada alat letupan yang diletakkan oleh Israel, beberapa minggu sebelumnya.
Sehari sebelum itu, Ismail menghadiri majlis perasmian Presiden Iran Masoud Pezeshkian.
Pada 27 September lalu, Israel membunuh Hassan dalam pengeboman Beirut, yang diikuti dengan pembunuhan pengganti Haniyeh, Yahya pada 16 Oktober di Gaza.
Jurucakap Israel berkata, Yahya adalah dalang serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober tahun lalu yang mencetuskan perang berterusan di Semenanjung Gaza.
b
Lelaki alami masalah psikiatri maut terjun jambatan Klang
ISKANDAR SHAH MOHAMED
Tangkap layar video penemuan mayat itu.
KLANG – Suasana di Jambatan Ketiga Klang di sini, gempar apabila seorang lelaki berusia 41 tahun maut selepas dipercayai terjun dari jambatan itu, kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisoner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.
Katanya, siasatan mendapati mangsa dilihat meletakkan kereta Proton Wira di jambatan itu dan memanjat besi penghalang.
“Lelaki yang dipercayai terjun dan jatuh di atas Jalan Sungai itu mengalami kecederaan di kepala serta kaki. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi proses bedah siasat,” katanya malam ini.
Tambah Hoong Fong, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
“Keluarga mangsa mengesahkan lelaki itu mempunyai masalah psikiatri selain mempunyai sejarah menghidap diabetes dan darah tinggi,” ujarnya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
7 maut, 33 cedera dalam kemalangan di PLUS
Bernama
Kemalangan di KM204 arah utara berhampiran R&R Ayer Keroh itu membabitkan sebuah bas, treler dan MPV jenis Toyota Estima.
Keadaan kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang menyebabkan tujuh maut di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Ayer Keroh, malam tadi. (Gambar Bernama)
ALOR GAJAH: Tujuh maut manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, berdekatan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba Melaka Mohd Pisar Aziz berkata nahas itu membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, sebuah treler dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang terbunuh dalam kemalangan ngeri tersebut membabitkan tiga lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa dan seorang bayi perempuan.
“Lima mangsa merupakan pemandu dan penumpang Toyota Estima, membabitkan dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan seorang bayi perempuan.
“Manakala dua lagi mangsa masing-masing seorang pemandu bas persiaran dan wanita yang merupakan penumpang bas tersebut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini awal pagi tadi.
Beliau berkata semua jenazah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Pisar berkata 17 mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Melaka, 10 mangsa ke Hospital Alor Gajah dan enam lagi ke Hospital Pantai Ayer Keroh.
Katanya, mangsa mengalami pelbagai kecederaan dan polis masih mengenal pasti identiti kesemua mangsa terlibat.
Terdahulu Pisar berkata pihak bomba menerima panggilan kira-kira pukul 8.45 malam, sebelum 27 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Difahamkan insiden itu mengakibatkan kesesakan lebih 10km di kedua-dua arah lebuh raya berkenaan.
Tentera Israel letak kotak sarat bahan letupan berhampiran hospital utara Gaza
Bernama
Rakaman video yang dikongsi Hussam memperlihatkan kenderaan tentera Israel menggunakan peranti robotik, meletakkan kotak berisi bahan letupan di pintu pagar Hospital Kamal Adwan. - Foto Sinar Harian/Agensi
GAZA CITY: Tentera Israel meletakkan kotak berisi bahan letupan berhampiran pintu pagar Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, berdasarkan rakaman video yang dikongsi pada Isnin, lapor Agensi Anadolu (AA).
Rakaman yang dikongsi oleh pengarah hospital Hussam Abu Safiya menunjukkan sebuah kenderaan tentera Israel meletakkan kotak kayu yang mengandungi simbol berbahaya (segitiga dengan tanda seru) di luar satu daripada pintu pagar hospital.
"Kenderaan tentera pendudukan Israel, menggunakan peranti robotik, meletakkan kotak berisi bahan letupan di pintu pagar hospital," kata Abu Safiya dalam catatan Facebook.
Beliau menambah bahawa tentera Israel baru-baru ini meletupkan bangunan kediaman berhampiran hospital menggunakan alat letupan yang serupa.
Awal Isnin, Abu Safiya memberi amaran bahawa kemudahan pusat perubatan itu menghadapi pengeboman Israel setiap hari, yang katanya adalah sebahagian daripada "kempen pembunuhan dan pemindahan paksa yang disengajakan."
Israel telah meneruskan operasi darat berskala besar di utara Gaza sejak 5 Okt dengan mendakwa untuk menghalang kumpulan penentang Palestin Hamas daripada berkumpul semula.
Rakyat Palestin, bagaimanapun, menuduh Israel berusaha untuk menduduki kawasan itu dan memindahkan penduduknya secara paksa.
Sejak itu, tiada bantuan kemanusiaan yang mencukupi termasuk makanan, ubat-ubatan dan bahan api dibenarkan memasuki kawasan itu, menyebabkan penduduk yang masih tinggal di ambang kebuluran.
Serangan Israel di utara Gaza adalah episod terbaru dalam perang kejam Israel di Semenanjung Gaza yang membunuh lebih 45,300 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Okt 2023.
Bulan lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap untuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant kerana jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas serangannya ke atas Gaza.
-- BERNAMA
Duda umur 74 ditembak kacau isteri orang
KOSMO!
Mangsa ditembak ketika sedang memasak di dapur rumahnya yang terletak sangat hampir dengan rumah suspek. - Khon Kaen Link
BANGKOK – Seorang lelaki di Manchakhiri, wilayah Khon Kaen menembak jirannya yang berusia 74 tahun kerana mempunyai hubungan sulit dengan isterinya, lapor laman berita Thaiger.
Pongjit, 54, menembak Thaksin sebanyak tiga kali, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius dan dirawat di hospital.
Menurut polis, insiden berlaku pada 19 Disember lalu ketika mangsa sedang memasak di dapur rumahnya dengan keadaan tingkap terbuka.
Suspek menembak mangsa melalui tingkap, menyebabkan warga emas itu bersembunyi di dalam tandas sebelum meminta bantuan saudaranya.
Menurut laporan saluran berita Channel 7, mangsa pernah bercerai dua kali sebelum menjalin hubungan sulit dengan isteri suspek.
Suspek mendapat tahu mengenai kecurangan mereka sebelum memberi amaran agar mereka memutuskan hubungan atau melarikan diri bersama-sama dan pergi jauh darinya.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka enggan mempedulikan amaran itu, menyebabkan suspek bertindak nekad menembak mangsa.
Sejurus polis tiba di lokasi kejadian, suspek menyerah diri dan mengaku melakukan serangan tersebut. – AGENSI
Penumpang e-hailing ghaib, tinggalkan kain putih
KOSMOl
Tangkap layar menunjukkan kawasan hutan yang dilalui mereka. - TikTok
JAKARTA – Seorang pemandu e-hailing mengundang perhatian orang ramai selepas mendedahkan bahawa penumpang yang diambilnya hilang secara tiba-tiba, lapor portal berita Tribunnews semalam.
Rakaman di platform TikTok oleh akaun @noffan9 menunjukkan sebatang jalan sempit dikelilingi pokok besar serta rimbunan tumbuhan.
Difahamkan, penumpang tersebut hilang ketika mereka melalui kawasan hutan tersebut.
Lebih mengejutkan, katanya, penumpang itu sempat meninggalkan kain putih di tempat duduknya.
“‘Hadiah’ berupa kain putih ini ditinggalkan di atas motosikal,” kata perakam.
Rakaman itu mencatatkan lebih 1.1 juta tontonan bersama 23,500 tanda suka.
“Hantu zaman sekarang sudah maju sebab boleh tempah ‘rider’,” komen seorang netizen. – AGENSI
Enam maut dalam nahas babitkan bas persiaran di Ayer Keroh
Shuhada Abdul Kadir
Sekurang-kurangnya enam maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, malam ini. - Foto ihsan pembaca
ALOR GAJAH: Sekurang-kurangnya enam maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, malam ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu melibatkan sebuah bas yang membawa 27 penumpang, sebuah treler dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka memaklumkan, mangsa yang maut ialah pemandu bas persiaran serta lima penumpang (MPV) termasuk kanak-kanak.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, benar terdapat kemalangan jalan raya melibatkan kereta jenis Toyota Estima yang mana lima daripada lapan penumpang meninggal dunia.
“Operasi mengeluarkan dua penumpang treler juga sedang dilakukan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini.
Mengulas lanjut ujarnya, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 8.45 malam sebelum 27 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Difahamkan, insiden itu mengakibatkan kesesakan lebih 10 kilometer di kedua-dua arah lebuh raya berkenaan.
113 rumah rosak, roboh akibat ribut
BERNAMA
Ribut yang melanda empat perkampungan atas air di Semporna semalam mengakibatkan 497 orang terjejas dengan 113 kediaman rosak serta roboh. - Foto BERNAMA
SEMPORNA: Ribut yang melanda empat perkampungan atas air di sini semalam mengakibatkan 497 orang terjejas dengan 113 kediaman rosak serta roboh.
Pegawai Daerah Semporna Alexander Liew berkata, kampung yang terkesan dalam kejadian yang berlaku pada 3 pagi itu ialah Kampung Selamat, Kampung Sri Aman, Kampung Sejati serta Kampung Batu.
"Sebanyak 102 rumah rosak, 11 rumah roboh termasuk dua masjid dan 20 kenderaan turut rosak manakala mangsa keseluruhan adalah 497 orang.
"Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Program Perumahan Rakyat Bubul Ria dan setakat ini terdapat 59 mangsa ditempatkan di PPS itu," katanya di sini hari ini.
Sementara itu seorang mangsa Anuar Yakub, 45, berkata kejadian ribut yang berlaku pada 3 pagi itu begitu menakutkan apabila angin pusar puting beliung berada betul-betul di atas rumah mereka hingga mengakibatkan kediaman atas air itu terangkat.
"Ribut yang berlaku pada awal pagi berputar seperti mesin pengisar, saya nampak atap rumah tercabut dan diterbangkan angin, rumah kami seolah 'diangkat' sebelum 'dijatuhkan' semula ke laut, ia berlaku lebih 10 saat.
"Waktu itu saya, isteri dan tiga anak serta seorang anak buah yang berada dalam rumah hanya mampu berteriak dan berdoa. Apabila rumah saya 'jatuh' semula ke laut dan angin berlalu ke tempat lain, kami sekeluarga terus keluar dari rumah, syukur pada waktu itu air laut surut," kata penduduk Kampung Selamat itu kepada Bernama.
Anuar yang bekerja sebagai buruh berkata selain kediamannya, tiga rumah serta dua kedai runcit terletak bersebelahan turut roboh manakala terdapat rumah jiran lain rosak termasuk atap tercabut.
Dolisa Abd Rauf, 35, yang juga penduduk Kampung Selamat berkata ketika kejadian dia bersama enam anaknya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi angin kencang dan rumah bergoyang kuat.
"Ribut berlaku pada 3 pagi bersama hujan lebat, apabila rumah bergoyang kuat saya dan anak-anak berkumpul di ruang tengah rumah kerana kami takut untuk keluar rumah, waktu itu saya ingatkan hanya hujan biasa dan angin tidak sangka pula ribut.
"Mulanya atap zink rumah kami diterbangkan angin, kayu dan tiang pula jatuh menyebabkan kami terperangkap sebelum rumah roboh ke laut, syukur air laut tidak dalam dan kami dapat menyelamatkan diri," katanya.
Wilmah Jainin, 34, pula berkata separuh daripada rumahnya iaitu ruang bilik serta dapur roboh manakala atap rumah tercabut dan diterbangkan angin .
"Ketika kejadian saya, suami dan lima anak berada di rumah sedang tidur. Saya dan suami terjaga apabila berasa gegaran serta bunyi kuat, saya bangunkan anak-anak dan waktu itu atap rumah sudah diterbangkan angin, kami anak-beranak hanya mampu berkumpul di beranda rumah.
"Di luar pula kami lihat beberapa rumah jiran turut roboh, atap dan dinding rumah mereka diterbangkan angin. Saya jadi trauma dengan kejadian ribut ini yang pertama kali berlaku di Kampung Selamat," katanya.
Wilmah dalam pada itu berharap kerajaan dapat memberi bantuan sewajarnya kepada semua mangsa terjejas termasuk keperluan pembaikan rumah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya Jamil Hamzah berkata pihaknya akan memberi bantuan termasuk sumbangan zink bagi pembaikan rumah mangsa serta dua masjid terjejas.
"Saya juga mohon kepada kerajaan agar memberi keutamaan kepada rumah yang roboh untuk dibantu bina semula selain pembaikan rumah yang rosak," katanya.
Kelantan: Tarian gelek seksi, Pas mempunyai ‘partnership’ dengan komunis?
Mengaku tetamu adalah pelombong dari China, betullah Pas ada…
Harapandaily
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah memberitahu bahawa sebahagian besar tetamu dalam majlis makan malam yang membenarkan tarian gelek dan seksi yang tular adalah pelombong-pelombong dari Tanah Besar China.
“Kesemua mereka ini menjalankan kerja lombong sekitar Tanah Merah.
“Selain itu, para pekerja syarikat dan tetamu luar turut hadir,” katanya semalam, dipetik Awani.
Pengakuan Hilmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu sekaligus mengundang pendapat orang ramai termasuk mengesahkan Pas mempunyai ‘partnership’ dengan komunis.
Antaranya, pengguna X, @tjerealjoker yang menulis, “Maknanya betullah Pas dok gadai tanah, maknanya betullah Pas partnership dengan kominih, maknanya betullah Pas punca banjir teruk.”
Walau bagaimanapun, menerusi klip video yang tular di media sosial, kelihatan tetamu turut ada yang bertudung.
“… pertama kali tengok pelombong China kulit coklat pakai tudung. Pas bila kantoi, habis lencun dia kencing semua orang,” kata @tjerealjoker lagi.
Pemandu lori terkena serangan jantung rempuh 3 kenderaan tepi jalan
FMT Reporters
Pemandu lori berusia 30 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa disyaki disyaki mengalami serangan jantung dan hilang kawalan sebelum lorinya melanggar kenderaan pacuan empat roda dan dua kereta di sebelah kanan jalan. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Seorang pemandu lori maut dipercayai akibat serangan jantung dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Station, Johor Bahru.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pada kira-kira 1.30 tengah hari itu, ketika lelaki berusia 30 tahun itu memandu lori untuk menghantar barangan perubatan di sekitar pusat bandar.
“Tiba di lokasi kejadian, mangsa disyaki mengalami serangan jantung dan hilang kawalan sebelum lorinya melanggar kenderaan pacuan empat roda dan dua kereta yang diparkir di sebelah kanan jalan,” katanya, lapor Harian Metro.
Mangsa yang tidak mengalami kecederaan fizikal lain disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, menurut Raub.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Mohd Zulpaka Bambo di talian 014-8861791 atau hadir ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Lelaki ditahan disyaki terbabit pemerdagangan orang, 2 OKU diselamatkan
Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Polis menahan lelaki tempatan disyaki terbabit kes pemerdagangan dan penyeludupan orang, manakala dua warga China yang juga orang kurang upaya (OKU) berjaya diselamatkan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 67 tahun dibuat dalam Ops Pintas Mega Tip di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai semalam.
"Susulan tangkapan, pada hari sama, jam 11 malam, serbuan dilakukan di premis di Jalan Temenggong 3 kawasan perumahan sama dan berjaya menyelamatkan dua warga China masing-masing lelaki 39 tahun dan wanita 36 tahun.
"Mereka yang diselamatkan adalah OKU," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Balveer Singh berkata, pihaknya merampas satu telefon bimbit, satu kad pemandu Agensi Pengangkutan Awam Darat, sebuah Proton Wira, kunci kereta, alat kawalan jauh kereta, kunci rumah dan alat kawalan jauh rumah milik mangsa.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek berperanan sebagai penghantar bagi membawa mangsa mengemis di pasar malam dan kedai makan di sekitar Johor Bahru.
"Kegiatannya aktif sejak awal November lalu dengan hasil kutipan mencecah RM50 hingga RM150 sehari," jelasnya.
Katanya, suspek direman lima hari bermula hari ini hingga 27 Disember dan permohonan perintah perlindungan (IPO) selama 21 hari dibuat ke atas mangsa di bawah Seksyen 44(2) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 12 Atipsom 2007," katanya.
Projek memperkasakan politik fitnah: Parti Islam buat rayuan ‘derma jihad’
Pas buat rayuan ‘derma jihad’, tolonglah bantu MP Kepala Batas
Harapandaily
Pas membuat rayuan ‘derma jihad’ bagi membiayai perintah mahkamah berjumlah RM825,000 yang dihadapi Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad.
Menerusi surat yang tersebar di media sosial hari ini, kegagalan Siti Mastura menyelesaikan tuntutan sebanyak itu kepada tiga pimpinan utama DAP terbabit boleh menyebabkan prosiding kebankrapan.
“… kesannya boleh menyebabkan Ahli Parlimen Kepala Batas hilang kelayakan dan kerusinya akan dikosongkan untuk suatu Pilihan Raya Kecil,” kata surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Pada 4 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Quay Chew Soon mengarahkan Mastura membayar RM300,000 kepada Lim Kit Siang, RM250,000 lagi kepada Lim Guan Eng dan RM200,000 kepada Teresa Kok.
Selain ganti rugi global kepada setiap pemimpin DAP itu, Mastura juga diperintah membayar kos sebanyak RM25,000 kepada setiap plaintif.
Hakim Quay memutuskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Mastura yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat Pas Pusat (DMPP) itu berunsur fitnah dan pembelaannya atas dasar komen adil, keistimewaan bersyarat, dan penyebaran tanpa niat jahat tidak dapat dibuktikan.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, Pas di semua peringkat perlu turut sama mengambil tanggungjawab menyelesaikan tuntutan tersebut.
“… memandangkan Mastura yang ‘didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap DAP’ itu melakukannya dalam keadaan yang berasas semasa menunaikan tanggungjawab terhadap parti dan perjuangan, iaitu dalam program kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman pada 4 November 2023,” katanya.
Sehubungan itu, Takiyuddin mengarahkan pimpinan Pas dari peringkat Pusat, Negeri, Kawasan, Dewan-Dewan dan Cawangan melancarkan ‘derma jihad’ dengan jumlah semaksimum mungkin.
Menurut surat itu lagi, kadar minimum untuk AJK Pas Pusat/ Pesuruhjaya adalah RM500 seorang manakala Dewan-Dewan Pusat/Negeri/Kawasan sebanyak RM20,000.
Bagi BPP Negeri/ Wilayah Persekutuan, nilai minimum ‘derma jihad’ adalah RM20,000 manakala RM500 untuk Pas Kawasan/Cawangan.
Lelaki Russia ceroboh kem tentera didenda RM1,000
KOSMO!
KUALA LUMPUR – Gara-gara menceroboh sebuah kem tentera, seorang lelaki warga Russia didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman itu terhadap Zakharov Ilia, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atasnya.
L
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara selama sebulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pencerobohan dengan berada dalam kawasan larangan Kem Perdana Sungai Besi, Cheras, pukul 4.50 petang pada 14 Disember lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Syafika Azwa Fikri memohon hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh sebagai pengajaran.
Bagaimanapun peguam P. Suthes yang mewakili Zakharov memohon mahkamah memberikan hukuman denda atas alasan anak guamnya merupakan seorang pelajar sebuah universiti swasta di ibu kota. – KOSMO! ONLINE
Warga emas buat onar tutup lubang kunci rumah orang lain guna 'gam super'
Agensi
LEE didakwa membuat onar dan kacau ganggu di rumah individu tidak dikenali.FOTO Agensi
Singapura: Seorang lelaki warga emas didakwa di mahkamah di Singapura kerana membuat onar dan menyebabkan gangguan dengan melakukan khianat menggunakan 'gam super' untuk menutup lubang kunci pada unit rumah pangsa individu yang tidak dikenalinya.
The Straits Times melaporkan, tertuduh, Lee Ah Cheng, 76, melakukan perbuatan itu pada 10 Julai lalu.
Kira-kira jam 9 malam pada hari kejadian, Lee meninggalkan rumah dan menaiki bas ke Jurong East untuk bertemu rakannya, yang butirannya tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.
Lee menyedari dia tidak pasti nombor unit rakannya dan memutuskan untuk berjalan di sekitar kawasan kejiranan dengan harapan dapat terserempak dengan rakan itu.
Pada jam 10 malam, Lee menaiki lif ke tingkat tujuh blok rumah pangsa dan melihat koridor biasa di luar salah satu unit itu bersepah dengan beberapa almari.
"Berasa marah dan menganggap pemiliknya tidak bertanggungjawab, tertuduh mengeluarkan 'gam super' yang berada di dalam kotak rokoknya dan meletakkan ia (gam) pada kunci pintu pagar... untuk menutup lubang kunci itu," kata Timbalan Pendakwa Raya kepada mahkamah.
Lee kemudian pulang ke rumah dan perbuatannya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dari unit kediaman mangsa.
Lewat petang itu, seorang wanita berusia 76 tahun menyedari lubang kunci ditutup ketika ingin membuka pintu pagar rumah untuk meletakkan beberapa keping kadbod di luar.
Seorang lagi wanita yang tinggal di rumah sama kemudian menghubungi polis dan dokumen mahkamah tidak mendedahkan apa yang berlaku seterusnya, namun Lee didakwa di mahkamah atas kejadian itu pada Oktober.
Dalam kes berasingan, Lee turut didakwa kerana menyimbah campuran peluntur dan air ke arah rakan lelakinya yang berusia 66 tahun ketika mereka bertengkar.
Cecair itu memasuki mata rakannya, namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan kekal.
Lee dijatuhi hukuman penjara empat minggu dan denda 1,000 dolar Singapura (kira-kira RM3,320) pada 19 Disember selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan setiap serangan dan melakukan perbuatan khianat.
Menurut rekod, ia bukan kali pertama Lee melakukan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Intan Suhaily Abu Bakar berkata, Lee pernah dijatuhi hukuman penjara empat kali antara 1972 dan 2005 atas kesalahan kekerasan, termasuk menyerang dan melakukan perbuatan yang membahayakan orang lain.
Bakal pengantin, bertunang antara didakwa cabul remaja bergilir-gilir
Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Enam termasuk bakal pengantin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan amang seksual remaja lima tahun lalu. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Dua lelaki termasuk yang bakal melangsungkan pertunangan, Sabtu depan dan berkahwin pada Mei 2025 antara enam individu dihadapkan ke Mahkamah Seksyen, di sini, hari ini atas pertuduhan amang seksual secara bergilir-gilir terhadap remaja perempuan di Tangkak, lima tahun lalu.
Mereka ialah Muhammad Amirul Aiman Sahrrol, 20; Muhammad Azizi Shamsor Kamar, 23, dan kembarnya, Muhammad Azizan, 23; Muhammad Asraf Rosli, 23; Hafsyal Sufian Kamaluddin, 23, dan Muhammad Hafize Abd Rahim.
Namun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun (ketika kejadian) di sebuah rumah Tangkak antara 1.30 hingga 2 pagi, 20 Januari 2019.
Justeru, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Berdasarkan laporan, mangsa bertandang ke rumah salah seorang kenalan lelaki sebelum berehat dalam bilik tingkat atas rumah.
Ketika itu, terdapat sembilan lelaki dalam rumah terbabit dan mereka melakukan perkara itu.
Bagaimanapun, mangsa tidak tahan dengan perbuatan mereka bertindak menangis dan menjerit hingga didengari jirannya.
Susulan itu, jiran menghubungi polis sebelum kesemua tertuduh ditahan bagi membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir dan Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM20,000 terhadap setiap tertuduh serta memohon mahkamah menetapkan dua syarat tambahan.
Selepas mendengar rayuan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula 27 Januari ini.
Warga Kemboja rogol anak kandung hingga hamil dipenjara 25 tahun dan 10 sebatan
Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Tertuduh dipenjara 25 tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah merogol anak kandung hingga hamil. FOTO Alias Abd Rani
Muar: "Saya kesal terhadap apa yang dilakukan, saya minta maaf," demikian kata lelaki warga Kemboja yang dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas merogol anak perempuannya sehingga hamil empat bulan.
Tertuduh berusia 38 tahun sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak kandung berusia 13 tahun di sebuah rumah di Batu Pahat antara 3 hingga 4 pagi sepanjang Ogos lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) memaklumkan seorang pesakit bawah umur didapati hamil ketika menerima rawatan.
Siasatan polis mendapati mangsa mengalami sakit perut sebelum dibawa tertuduh untuk menjalani pemeriksaan di hospital terbabit.
Hasil siasatan polis juga mendapati mangsa dirogol bapa kandung sejak berusia sembilan tahun dan kali terakhir tertuduh melakukan perbuatan itu pada Ogos lalu.
Ketika kejadian, mangsa sedang tidur dalam bilik dan tertuduh menyelinap masuk seterusnya melakukan perbuatan terkutuk itu.
Namun, tertuduh berhenti melakukan perbuatan itu selepas mangsa kerap muntah dan sakit perut.
Selain itu, mangsa turut memberitahu dia dirogol antara empat hingga lima kali seminggu tanpa menceritakan kejadian kepada sesiapa pun.
Tertuduh yang juga pemegang kad pengenalan sementara, berkahwin dengan warga tempatan, namun berjauhan dengan isteri yang kini bekerja dan menetap di Australia sejak tujuh tahun lalu.
Susulan laporan diterima HSNI, polis membuat tangkapan terhadap tertuduh di rumahnya kira-kira 4 pagi pada 17 Disember lalu untuk membantu siasatan.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir dan Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selain dipenjara dan sebatan, mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling ketika dalam penjara serta pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai hukuman selari dengan Seksyen 26 dan Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
Dua sahabat makan ikan mentah, minum air laut sepanjang hanyut
Astro Awani
Muhammad Ikmal Hakimi (kiri) dan Nor Hasrul ditemukan selamat di perairan Acheh semalam dan dibawa pulang ke perairan negara dengan menaiki kapal Maritim. --fotoBERNAMA
BAYAN LEPAS: Terpaksa makan ikan mentah dan minum air laut antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan dua sahabat, Muhammad Ikmal Hakimi Ismail dan Nor Hasrul Abdullah, yang hanyut di laut selama enam hari.
Berkongsi pengalaman, Muhammad Ikmal Hakimi, 22 tahun, berkata, mereka berdua seperti 'mati hidup semula' apabila akhirnya diselamatkan nelayan di Acheh, Indonesia.
Katanya, sepanjang hanyut selepas bot mereka dipukul ombak besar di perairan Kerachut, Kuala Sungai Pinang itu, mereka hanya berdoa dan bertawakal mengharapkan bantuan tiba.
Sepanjang menunggu bantuan, akibat bekalan makanan habis, mereka berdua berpuasa selama dua hari sebelum mula makan ikan termenung dan cencaru mentah untuk lapik perut pada hari keempat.
"Hari ketiga boleh nampak lagi Bukit Teluk Bahang. Hari keempat, sudah tak nampak apa-apa. Hari kelima baru nampak banyak kapal kargo.
"Terasa seperti mati hidup semula. Tawakal, tetapi dalam hati kata, kita akan matilah kali ini. Kalau kita tak mati, kita hanyut ke darat.
"Kami tidak ada makanan, kami makan ikan yang kami tangkap, makan ikan mentah. Ini pengalaman kali pertama bagi saya," kata Muhammad Ikmal Hakimi.
Sementara itu, ibu bapa mangsa bersyukur dan gembira apabila anak mereka sudah kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.
Bapanya, Ismail Ibrahim mengucapkan kesyukuran dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantu termasuk yang membuat solat hajat mendoakan keselamatan Muhammad Ikmal Hakimi dan Nor Hasrul, 25 tahun.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mengambil mangsa di perairan Acheh dan tiba di perairan negara jam 3 pagi tadi.
Ditemui di Jeti Limbungan, Batu Maung, hari ini, beliau menasihatkan semua nelayan agar turun ke laut dengan persediaan rapi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diigini.
"Kedua-dua mangsa dalam keadaan selamat dan dibawa ke hospital untuk dapatkan rawatan.
"Saya ingin nasihatkan semua nelayan yang turun untuk tangkap ikan, pastikan bot mempunyai kelengkapan seperti enjin dan sistem berada dalam keadaan baik.
"Sekiranya terjadi apa-apa, beri maklumat kepada pihak berkuasa dan persatuan nelayan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan mengenai kehilangan dua lelaki berkenaan selepas bot yang dinaiki mereka hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang, kira-kira jam 11.30 malam Isnin lepas.
Selepas tidak menemukan sebarang petunjuk, operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari kelima pada Sabtu dihentikan.
Bagaimanapun kedua-duanya ditemui selamat oleh nelayan Acheh di Perairan Indonesia pada Ahad.
Image dari Google Maps rungkai kes bunuh setahun lalu
Sinar Harian
Imej Google Street View itu jelas menunjukkan seorang individu sedang memasukkan objek dibalut plastik putih ke dalam but kereta. - Foto Agensi/Sinar Harian
MADRID: Siapa sangka aplikasi Google Maps telah membantu penyiasat Sepanyol merungkai misteri pembunuhan yang berlaku setahun lalu.
Pihak berkuasa di wilayah utara Castile dan Leon memulakan siasatan kes itu pada November 2023 setelah menerima aduan tentang kehilangan seorang lelaki.
Ia kemudiannya membawa kepada penahanan seorang wanita yang merupakan pasangan mangsa dan seorang lagi lelaki di wilayah Soria pada 12 November lalu.
Imej Google Street View itu jelas menunjukkan seorang individu sedang memasukkan objek dibalut plastik putih ke dalam but kereta.
Siasatan polis berdasarkan petunjuk Google Maps itu akhirnya menemukan mayat mangsa yang sudah mereput di sebuah tanah perkuburan pada awal bulan lalu.
Difahamkan, ia adalah pertama kali dalam tempoh 15 tahun kenderaan Google merakamkan imej untuk Street View di bandar Tajueco tersebut.
Satu lagi gambar urutan yang agak kabur menunjukkan seorang individu mengangkut bungkusan putih tersebut ke dalam kereta sorong.
Akhbar El Pais melaporkan mangsa merupakan seorang warga Cuba berusia 33 tahun.
Kematiannya terbongkar setelah pelaku menggunakan telefon bimbit mangsa dan menghantar mesej yang mencurigakan kepada ahli keluarganya. - Agensi/Sinar Harian
Kelantan: PBT siasat tarian colok mata dalam majlis makan malam
FMT Reporters
Exco Kelantan Hilmi Abdullah berkata semakan dengan Majlis Daerah Tanah Merah mendapati pihak penganjur tidak memohon permit untuk penganjuran acara itu.
Gambar tular persembahan tarian mencolok mata dalam majlis makan malam anjuran sebuah syarikat perlombongan di dewan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Tanah Merah.
PETALING JAYA: Pihak berkuasa tempatan (PBT) membuka kertas siasatan terhadap penganjuran majlis makan malam sebuah syarikat perlombongan didakwa menyediakan persembahan tarian mencolok mata di Tanah Merah Sabtu lalu.
Sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) turut disiasat kerana majlis itu diadakan di dewan sekolah terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, semakan dengan Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) mendapati pihak penganjur tidak memohon permit untuk penganjuran acara terbabit.
Beliau berkata, difahamkan sebahagian besar tetamu adalah pelombong dari China yang menjalankan kerja melombong di sekitar Sokor, Tanah Merah, tetamu luar serta pekerja syarikat itu dengan beberapa orang daripadanya penduduk tempatan beragama Islam.
“Saya sendiri baru mengetahui perkara itu dan kertas siasatan sudah dibuka. Pihak penganjur dan sekolah akan dipanggil untuk mendapatkan keterangan mereka.
“Difahamkan, majlis makan malam syarikat perlombongan emas itu menggunakan dewan sebuah SJKC di Tanah Merah.
“Kita kesal dengan tindakan pihak penganjur menyediakan hiburan seperti itu, selain menjadikan dewan sekolah untuk acara hiburan berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.
Hilmi berkata, pihak penganjur dan sekolah terbabit melanggar Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan 1998 yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.
Wanita maut tercampak keluar kereta dipandu suami
Sinar Harian
Keadaan kenderaan dinaiki mangsa yang terbabas masuk ke dalam parit di Jalan Lintas, Kota Kinabalu, malam tadi. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Seorang wanita maut selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dipandu suaminya dalam kemalangan di Jalan Lintas, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa berusia 58 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu jenis Honda Accord dan Perodua Alza.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, pemandu kereta Honda Accord berusia 60-an bersama tiga ahli keluarga termasuk isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah dari Inanam ke arah Petagas.
"Ketika kejadian, kereta tersebut berada di lorong tengah dan pemandu hendak memotong kenderaan di hadapannya dengan menukar ke lorong kanan, namun ketika itu terdapat kenderaan lain di hadapan menyebabkan pemandu menekan brek dan masuk semula ke lorong asal.
"Bagaimanapun, tiba-tiba kenderaan dipandunya hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang dipandu oleh seorang lelaki yang berumur 40-an dan menyebabkan kenderaan Honda Accord tersebut terbabas masuk ke dalam parit di sebelah kiri jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kasim berkata, akibat kemalangan itu, tiga penumpang yang berada di dalam kenderaan Honda Accord tersebut telah tercampak keluar.
"Isteri pemandu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan oleh pasukan perubatan yang bertugas.
"Hasil siasatan juga mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu tersebut yang mana telah gagal mengawal kenderaannya dengan baik sehingga hilang kawalan lalu terbabas dan menyebabkan kematian penumpang," katanya.
Bagaimanapun, Kasim berkata, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Sinar Harian
Persatuan berpakat naikkan harga barang sabotaj ekonomi negara
BHarianonline
KETIKA rakyat dan negara berada dalam mood selesa, tenang serta reda kontroversi politik, tiba-tiba kita dikejutkan dengan tindakan beberapa persatuan perniagaan mahu menaikkan harga barang dan perkhidmatan menerusi media sosial mulai tahun depan.
Lanjutan daripada itu, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membuka beberapa kertas siasatan terhadap persatuan serta ahli jawatankuasa kerana disyaki terbabit dalam perlakuan kartel dengan mengumumkan kenaikan harga perkhidmatan dan barangan.
Hakikatnya, jika melihat kepada prestasi ekonomi domestik dan antarabangsa, persatuan berkenaan tidak mempunyai asas kukuh untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan.
Jika benar seperti didakwa, persatuan terbabit seperti melakukan sabotaj terhadap ekonomi negara dan pada masa bakal menekan lagi kehidupan rakyat yang masih berdepan dengan kenaikan kos sara hidup serta inflasi.
Menaikkan harga barang secara tidak berpatutan hanya membebankan pengguna dan dalam keadaan tertentu, melanggar undang-undang negara. Jika benar berlaku, maka benarlah seperti didakwa wujud kartel menentukan harga barang dan perkhidmatan.
Persatuan perniagaan ini perlu sedar kenaikan harga barang akan memberi kesan negatif kepada masyarakat, ekonomi dan kestabilan sosial. Kehidupan golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan terjejas apabila harga barang meningkat.
Peningkatan harga barang menjurus kepada inflasi, sekali gus melemahkan kestabilan ekonomi negara manakala golongan berpendapatan rendah menghadapi risiko lebih tinggi untuk jatuh ke dalam kancah kemiskinan akibat kenaikan kos kehidupan.
Bahkan, kenaikan harga barang tidak berasas boleh menimbulkan kemarahan rakyat, berpotensi mencetuskan protes atau ketidakstabilan sosial.
Ia bakal merisikokan kedudukan kerajaan kerana berdepan tekanan mengawal harga barang dan menangani isu pencatutan. Jika kerajaan gagal bertindak, rakyat pula akan hilang kepercayaan terhadap pemerintah. Ini boleh mencetuskan kacau ganggu politik.
Dalam hal ini, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak seharusnya membiarkan pakatan menaikkan harga daripada berlaku.
Pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan mulai sekarang. KPDN tidak perlu menunggu ada laporan dibuat daripada pengguna baru hendak bertindak.
Langkah interversi awal perlu dilakukan KPDN bagi menghalang perancangan persatuan perniagaan mahu menaikkan harga barang dan pada masa sama memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.
Akta ini memberi kuasa kepada kerajaan mengawal harga barangan dan perkhidmatan serta mencegah amalan pencatutan. Peniaga didapati menaikkan harga secara tidak munasabah perlu dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Mendepani isu ini, pengguna juga perlu memainkan peranan penting menjadi 'mata dan telinga' pihak kerajaan dengan memantau serta melaporkan sebarang kenaikan harga tidak munasabah berlaku.
Kerjasama antara pengguna dan agensi penguatkuasaan penting untuk memastikan wujudnya pasaran lebih adil dan paling penting melindungi kepentingan semua pihak.
2 remaja sengaja rentang tangga tengah jalan
KOSMO
Tangkap layar menunjukkan salah seorang remaja meletakkan tangga di sebatang jalan di Bali. - Instagram
JAKARTA – Dua remaja lelaki di Indonesia menerima kecaman ramai selepas meletakkan tangga panjang merentangi jalan sehingga menyebabkan kemalangan, lapor portal berita Kompas semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) di Jalan Turi, Denpasar, Bali.
Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @dashcamindonesia memaparkan salah seorang remaja turun dari motosikal yang ditunggang oleh rakannya.
Dia kemudian mengambil tangga dan meletakkannya di atas jalan sebelum beredar.
Perbuatan tidak moral itu menyebabkan seorang penunggang motosikal tercampak selepas melintasi tangga tersebut.
Rakaman itu mencatatkan lebih 135,000 tontonan dan menimbulkan kemarahan ramai netizen.
“Remaja itu memang sengaja dan sedar jika perbuatan tersebut boleh berlaku kemalangan!” marah seorang netizen.
“Seeloknya dipenjarakan!” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI
Nigeria, tragedi rempuhan sempena agihan makanan pra-Krismas ragut 67 nyawa
Bernama
LAGOS: Tragedi rempuhan untuk mendapatkan makanan percuma telah meragut nyawa 67 rakyat Nigeria sepanjang tempoh pra-Krismas di tengah-tengah krisis ekonomi yang teruk, kata polis di negara Afrika Barat itu pada Ahad, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Angka kematian akibat rempuhan di Okija di negeri tenggara Anambra telah meningkat kepada 22 daripada 13 yang dilaporkan sebelum ini, kata jurucakap polis Tochukwu Ikenga.
Sepuluh orang maut dalam satu lagi kejadian pada Sabtu di Abuja ketika makanan diagihkan di sebuah gereja.
Kedua-dua kemalangan ini berlaku hanya beberapa hari selepas 35 kanak-kanak terbunuh dalam rempuhan di sebuah pameran sekolah di barat daya negara itu.
Makanan secara tradisinya diagihkan kepada golongan miskin menjelang Krismas, dengan orang ramai berkumpul untuk menerima sumbangan itu.
Peningkatan insiden maut dikaitkan dengan keadaan ekonomi yang semakin merosot di negara itu, yang paling ramai penduduk di Afrika dengan anggaran penduduk lebih 230 juta.
Di sebalik kekayaan minyaknya, Nigeria menghadapi krisis ekonomi terburuk lebih dua dekad. Inflasi yang tinggi menyebabkan harga makanan melonjak, menjadikan bahan makanan asas tidak mampu dimiliki oleh ramai rakyat Nigeria.
-- BERNAMA
Mayat tanpa pengenalan diri ditemukan di Kuala Kangsar
Bernama
IPOH: Mayat seorang lelaki tanpa pengenalan diri ditemukan orang awam di Sungai Kampung Punti, Padang Ampang dekat Kuala Kangsar.
Ketua Polis Kuala Kangsar, Heisham Harun, berkata pemeriksaan terhadap tubuh badan mangsa didapati tidak menunjukkan kesan kecederaan lain secara fizikal, yang boleh menjerumuskan kepada unsur-unsur jenayah.
Beliau berkata laporan polis berkenaan insiden itu diterima kira-kira 11 pagi tadi.
“Mayat lelaki itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kes itu menghubungi Ketua Polis Balai Kuala Kangsar Wan Mohd Zakirudin Arifin di talian 013-3669469 atau 05-7762222.
Kemalangan sebuah lori tangki dan tiga buah kenderaan menyebabkan kesesakan lebih 5km dari Ipoh ke Terowong Menora
Bernama
Kemalangan melibatkan sebuah lori tangki dan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 264.4 (arah utara) Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari Ipoh ke Terowong Menora menyebabkan aliran trafik sesak lebih lima kilometer hari ini.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi hantaran di laman sosial X menggunakan akaun @plustrafik memaklumkan kemalangan pada 5.52 petang itu menyebabkan kesemua lorong menghala ke utara terhalang dan aliran trafik tidak bergerak.
PLUS turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi arahan pengawal atau papan tanda trafik di lokasi, selain menggunakan laluan alternatif.
"Pastikan semua langkah berjaga-jaga diambil dan semoga selamat sampai ke destinasi," menurut kenyataan itu.
Menurut PLUS, aliran trafik terhenti sepanjang 6.5 km akibat kerja-kerja pengalihan yang dijalankan setakat 7.20 malam.
Bagaimanapun, PLUS memaklumkan insiden berkenaan berjaya diselesaikan pada 7.35 malam dengan semua lorong telah dibuka manakala aliran trafik masih perlahan.
- Bernama
Tular aksi gelek di Kelantan, bayangkan kalau berlaku di negeri ditadbir PH
Harapandaily
Tular di media sosial aksi liar tarian gelek di sebuah majlis makan malam yang difahamkan berlaku di Kelantan.
TikTokers, PokWie Jebond menyelar penganjuran persembahan seksi di negeri kelahirannya itu.
“Cuba bayangkan kalau persembahan tarian gelek ini berlaku di negeri Pakatan Harapan memerintah, hancur lebur dunia.
“Aku nak tanya, kenapa ada perkara sebegini berlaku di negeri kelahiran aku (Kelantan) yang terkenal dengan panggilan Serambi Mekah?” bidasnya.
Menurut PokWie, persembahan tarian itu berlangsung semasa majlis makan malam sebuah syarikat lombong emas di Tanah Merah.
Menerusi sedutan video yang tersebar, program berlangsung di SJKC Yuk Cheng, Tanah Merah itu turut dihadiri pengunjung bertudung.
Rata-rata menyindir termasuk berpendapat ‘mujur’ penari berkenaan mengenakan pakaian berwarna hijau yang sinonim dengan Pas kerana dianggap boleh masuk syurga.
Selain itu, ada yang turut secara sinis menulis Pas akan mengeluarkan dalil berkaitan persembahan tersebut.
Penoreh getah dijel 15 tahun ‘makan’ anak sendiri
NOR SHAFAWATI YUP
SEREMBAN – Seorang penoreh getah dihukum penjara 15 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan anak perempuannya, lima tahun lalu.
Tertuduh berusia 52 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan pada 31 Januari 2020.
Surita berkata, setelah mendengar rayuan tertuduh dan fakta keterangan bagi kes ini beserta faktor pemberatan dari pihak pendakwaan, mahkamah mendapati tertuduh didapati bersalah.
“Tertuduh juga diarahkan menjalani pengawasan polis setahun selepas tamat hukuman dan kaunseling pemulihan dua tahun dalam tempoh hukuman berjalan,” katanya.
Terdahulu peguam yang mewakili tertuduh, Muhamad Hafiz Leman memohon hukuman penjara minima untuk anak guamnya bermula dari tarikh tangkapan 31 Januari 2020 serta faktor umur tertuduh.
“Tertuduh berazam untuk membina hidup baharu apabila dibebaskan kelak dan menjaga ibunya,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni dalam hujahannya memohon hukuman setimpal dan mengambil kira faktor kesalahan berat yang dilakukan oleh tertuduh dalam kes ini.
Anggota polis dihanyutkan arus deras di tali air
FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang koperal polis dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan air deras semasa mandi-manda bersama rakan-rakannya di tali air di Jalan Utama Changkat Lada, dekat Kampung Gajah, Ipoh, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, ketika kejadian, mangsa berusia 39 tahun yang bertugas di Bilik Gerakan IPD Melaka Tengah itu baru selesai menghadiri majlis perjumpaan bekas pelajar SMK Changkat Lada.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.47 petang sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Gajah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa disyaki lemas di tali air sewaktu mandi-manda bersama rakannya berhampiran dengan tali air pintu gerbang Changkat Lada.
“Mangsa dikatakan keletihan dan cuba ke tebing namun arus deras menghanyutkannya,” katanya, lapor Bernama.
Sabarodzi berkata, anggota bomba mencari mangsa dengan menyusuri tali air itu, yang dianggarkan sedalam 4m.
Khidmat anjing pengesan Unit K9 bomba akan membantu operasi pencarian yang disambung 8 pagi esok, tambahnya.
Rogol anak saudara teman wanita, peniaga kelapa mengaku tidak bersalah
Sinar Harian
Tertuduh diiringi polis di mahkamah pada Ahad.
JOHOR BAHRU: Seorang peniaga kelapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad, atas tiga pertuduhan merogol seorang remaja perempuan yang juga anak saudara teman wanitanya di bilik sewa sebuah hotel di Tampoi di sini, Julai lalu.
Loh Kam Faht, 35, membuat pengakuan berkenaan di hadapan hakim, Siti Noraida Sulaiman setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kepada ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah hotel di Tampoi sekitar jam 10.30 pagi pada 2, 9 dan 29 Julai 2024 lalu.
Bagi kesemua pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan hendaklah diseksa dengan hukuman penjara bagi tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin sementara tertuduh diwakili peguam Syufri A Samad dan Mohd Fahmi Jamil.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000.
Bagaimanapun peguam tertuduh memohon jaminan yang bersesuaian kerana tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap selain menanggung ibunya yang berusia 68 tahun dan menghidap kencing manis serta sakit jantung.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 berserta tiga syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mana-mana saksi pendakwaan, perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 4 Februari 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. - Sinar Harian
Premis dimonopoli warga asing kena serbu
Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
PIHAK berkuasa melakukan pemeriksaan ke atas premis di kawasan Nilai dalam operasi hari ini. FOTO Ahmad Hasbi.
Nilai: Syarat ketat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi permohonan lesen seolah dipandang remeh apabila masih ada pemilik premis yang membenarkan warga asing menguruskan perniagaan.
Itu hasil dapatan daripada serbuan yang dijalankan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di Taman Semarak, di sini, hari ini yang didakwa dimonopoli warga asing.
Bahkan sebuah restoran mamak dikesan menggajikan pekerja warga asing tanpa suntikan typhoid dan tidak menjaga kebersihan, menyebabkan premis itu disita.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar berkata, operasi secara berkala yang turut membabitkan agensi lain itu dijalankan bagi memastikan syarat dipatuhi pemegang lesen setiap masa.
"Kerajaan negeri menetapkan syarat tambahan dalam pengeluaran lesen perniagaan oleh PBT bagi mengekang aktiviti perniagaan dijalankan warga asing sejak November tahun lalu.
"Pihak PBT tidak pernah mengeluarkan lesen perniagaan kepada mana-mana warga asing namun terdapat beberapa kes membabitkan lesen yang dikeluarkan kepada warga tempatan disalah guna oleh segelintir peniaga berkenaan," katanya pada sidang media sejurus operasi.
Katanya, antara syarat ditetapkan termasuk pemilik lesen atau wakil daripada warga tempatan perlu berada di premis pada setiap waktu operasi perniagaan dan warga asing tidak dibenar bertugas di kaunter.
Jelasnya, dalam operasi di Taman Semarak dan Taman Desaria, sebanyak 33 premis melakukan kesalahan dengan 37 kompaun dikenakan dan satu sitaan.
"Antara kesalahan adalah tiada lesen dan melanggar syarat lesen dengan warga asing bekerja di kaunter serta tiada pekerja warga negara di dalam premis.
"Kompaun bagi kesalahan meletakkan barang di tempat awam mengikut Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 serta mempamerkan iklan perniagaan tanpa lesen mengikut Undang-Undang Kecil Iklan 1980," katanya.
Arul berkata, operasi turut disertai Jabatan Tenaga Kerja (JTK), polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Pihak JIM menahan sembilan daripada warga asing kerana pelbagai kesalahan membabitkan dokumen pengenalan diri dan permit kerja," katanya.
Helikopter terhempas di hospital di Turkiye, empat maut
Bernama
Dua juruterbang, seorang doktor dan seorang petugas kesihatan maut apabila helikopter yang dinaiki terhempas di bangunan Hospital Latihan dan Penyelidikan di daerah Mentese, Mugla. - Gambar/ Sinar Harian
MUGLA (Turkiye): Sebuah helikopter terhempas di hospital di wilayah Mugla, barat daya Turkiye, mengorbankan empat orang, menurut Gabenor wilayah itu, Idris Akbiyik.
Dua juruterbang, seorang doktor dan seorang petugas kesihatan maut apabila helikopter yang dinaiki terhempas di bangunan Hospital Latihan dan Penyelidikan di daerah Mentese, Mugla, lapor Agensi Anadolu.
Pasukan bomba, petugas kesihatan, polis serta Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) dikerahkan ke lokasi kejadian.
Akbiyik berkata punca nahas sedang disiasat.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengesahkan bahawa tiada kerosakan di dalam hospital berkenaan.
-- BERNAMA
Tentera AS tersilap tembak jet sendiri
KOSMO!
Gambar fail sebuah jet F/A-18 Super Hornet berlepas dari kapal USS Harry S. Truman pada bulan ini. - Tentera Laut AS/Task&Purpose
WASHINGTON – Dua juruterbang Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) ditembak jatuh di Laut Merah awal hari ini dalam insiden yang didakwa berlaku disebabkan ‘tembakan kecil’, kata Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (Centcom).
“Kedua-dua juruterbang tersebut ditemui dalam keadaan selamat tetapi penilaian awal menunjukkan, salah seorang daripadanya mengalami kecederaan ringan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
“Insiden ini berlaku bukan disebabkan tembakan musuh (Houthi di Yemen), namun siasatan penuh sedang dijalankan,” tambahnya.
Centcom berkata, kapal penjelajah peluru berpandu USS Gettysburg tersilap menembak dan mengenai pesawat pejuang F/A-18.
Ujarnya, jet pejuang itu diterbangkan oleh juruterbang Tentera Laut dari kapal lain, USS Harry S. Truman.
Kesilapan yang berpotensi membawa bencana itu mengetengahkan risiko misi AS yang terlibat dalam konflik selama lebih setahun apabila pemberontak Houthi di Yemen berulang kali menyasarkan kapal dagang yang dikaitkan dengan Israel di Laut Merah dan Teluk Aden.
Insiden itu berlaku selepas AS berkata semalam bahawa ia menyerang sasaran di bandar ibu negara Yemen yang dikuasai Houthi, Sana’a, beberapa jam selepas peluru berpandu kumpulan pemberontak itu mencederakan orang ramai di Tel Aviv.
“Tentera Amerika turut menembak jatuh beberapa dron Houthi dan peluru berpandu kruz antikapal di atas Laut Merah,” katanya. – AFP
Peguam minta RM1 juta, keluarga tak mampu - Penyanyi dikir barat terus ditahan di Narathiwat
Sharifah Mahsinah Abdullah
am@hmetro.com.my
NARATHIWAT: Penyanyi dikir barat Malaysia yang ditangkap bersama lima lagi rakyat Malaysia kerana disyaki memiliki 6,000 pil pada 1 November, mendakwa dua peguam Thai menawarkan khidmat mereka untuk mengambil kesnya dengan bayaran 10 juta baht (lebih RM1 juta) setiap seorang.
Artis itu berkata dia ditawarkan oleh kedua-dua peguam itu pada bulan lalu.
Namun, katanya, keluarganya menolak tawaran berkenaan.
"Saya dimaklumkan oleh keluarga dua peguam dari sini (Thailand) menawarkan khidmat mereka untuk mengambil kes saya, tetapi setiap seorang meminta saya membayar 10 juta baht (lebih RM1 juta).
"Keluarga saya tidak mampu untuk membayar yuran itu dan menolak tawaran mereka dengan baik.
"Saya sedar ramai yang cuba mengambil kesempatan atas keadaan saya, tetapi keluarga saya tidak mampu untuk membayarnya," katanya semasa lawatan media Malaysia di penjara daerah Narathiwat semalam.
Wanita berusia 29 tahun yang berasal dari Kelantan itu berkata keluarganya kini sedang mempertimbangkan untuk mengupah peguam lain, juga dari Thailand.
"Keluarga saya kini sedang mengumpulkan wang untuk membayar peguam," kata ibu kepada dua orang anak itu.
Ditanya mengenai kunjungan terakhir yang diterima, dia berkata keluarganya dari Kelantan melawatnya Khamis lalu.
"Keluarga saya dibenarkan melawat seminggu selepas saya dihantar ke penjara ini pada 4 November apabila Mahkamah Narathiwat melanjutkan perintah tahanan selama 84 hari.
"Sejak itu, mereka datang melawat setiap Khamis untuk melihat keadaan saya," katanya.
Dia berkata dia dan dua rakannya menerima layanan yang baik semasa berada di penjara.
"Saya ingin katakan berita mengenai penjara Narathiwat yang tular di media sosial tidak benar.
"Banduan Malaysia di sini dilayan sama seperti banduan lain.
"Saya dan rakan-rakan saya berada dalam keadaan baik di sini. Sebagai umat Islam, kami bebas untuk melaksanakan kewajipan kami.
"Selain melakukan solat harian, kami juga dibenarkan melakukan solat khas setiap hari," katanya.
Dia berharap peminatnya tidak mempercayai semua berita buruk yang tular mengenai dirinya dan berharap mereka akan menerima dirinya kembali dalam industri hiburan.
"Saya berharap akan ada keajaiban yang berlaku kepada saya," katanya.
Semasa lawatan selama 20 minit itu, dia ditemani oleh dua rakannya yang ditangkap bersamanya bersama tiga lelaki Malaysia lain, termasuk suaminya.
Sementara itu, rakan-rakannya berharap ahli keluarga dan rakan-rakan mereka akan terus berdoa untuk keselamatan mereka.
"Kami berharap ahli keluarga kami akan terus berdoa untuk kami supaya Allah melindungi kami," katanya.
Mereka turut mendakwa ditawarkan bayaran yang sama seperti penyanyi itu tetapi mereka juga menolaknya.
Mereka bersetuju untuk menerima perkhidmatan guaman percuma yang ditawarkan oleh kerajaan Thailand.
Pada 1 November, artis Malaysia dan lima rakyat Malaysia yang lain ditangkap kerana disyaki memiliki 6,000 pil di sebuah hotel di bandar Sungai Golok.
Susulan penangkapan mereka, mahkamah Narathiwat memberikan polis perintah tahanan lanjut selama 84 hari terhadap enam individu itu.
Penyanyi itu dikenali ramai kerana lagu hit popularnya 'Cinta Setandan Pisang' atau 'Bea Soba Bea'.
Pemancing dakwa dirompak 4 lelaki berpakaian celoreng tentera
Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
Semporna: Tiga pemancing berdepan detik cemas apabila dirompak empat lelaki berpakaian celoreng tentera di kawasan perairan antara Pulau Boheyan dan Pulau Siamil, dekat sini, Sabtu lalu.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 6.10 pagi itu, pengadu bersama dua rakannya dalam perjalanan dari pekan Semporna menuju ke arah Pulau Mataking untuk memancing sebelum terserempak dengan sebuah bot warna hitam yang dipercayai bot tentera sedang memeriksa sebuah bot awam.
Sumber memberitahu, tidak lama selepas itu iaitu kira-kira dalam jarak dua kilometer bot yang dinaiki mereka kemudiannya dihampiri bot tentera berkenaan sebelum diarahkan berhenti untuk tujuan pemeriksaan.
"Pengadu, lelaki tempatan berumur 31 tahun itu, mendakwa melihat empat orang lelaki berpakaian baju T celoreng tentera darat berseluar hijau tentera.
"Semasa pemeriksaan dibuat salah seorang suspek mengarahkan pengadu bersama dua rakannya mengeluarkan kad pengenalan serta semua barang dalam beg termasuk wang supaya diletakkan atas dek bot.
"Salah seorang suspek bagaimanapun telah mengambil seikat wang pelbagai not yang keseluruhannya berjumlah RM1800 manakala seorang lagi suspek bertindak mengambil 16 tong mengandungi petrol sebelum mereka beredar dari lokasi kejadian," katanya.
Menurut sumber itu juga, pengadu tidak dapat mengecam wajah kesemua suspek terbabit kerana tidak memakai tanda nama serta memakai topeng namun mengesahkan mereka menggunakan bot jenis fiber dengan dua buah enjin 200hp (kuasa kuda) tanpa nombor pendaftaran.
Bagaimanapun, pengadu berkata suspek bertutur dalam bahasa Melayu manakala seorang lagi bercakap dalam bahasa Bajau.
Mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Pulau Bum Bum kira-kira jam 3.50 pagi pada 15 Disember lalu.
Sementara itu Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.
"Polis ada buat tangkapan dan kes masih dalam siasatan," jawabnya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.
Dua lelaki hilang di laut ditemukan selamat di Acheh
Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my
MUHAMMAD Ikmal dan rakannya Nor Hasrul (kanan) 25, yang dilapor hilang Selasa lalu, ditemukan selamat. FOTO Tular.
Balik Pulau: Dua rakan yang dilapor hilang selepas bot yang dinaiki hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang, di sini, Selasa lalu, ditemukan selamat.
Penemuan Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, serta rakannya Nor Hasrul Abdullah, 25, itu disahkan oleh Ismail Zakaria, 51, iaitu bapa seorang daripada mangsa.
Katanya, dia menerima maklumat berhubung penemuan anaknya yang juga berstatus orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran itu kira-kira jam 10 pagi.
"Mereka dikatakan diselamatkan oleh nelayan di Acheh, Indonesia dan kini dalam keadaan selamat.
"Saya belum dapat berhubung dengan Hakimi namun menerusi gambar yang diterima, keadaannya dilihat baik-baik saja cuma kulitnya agak gelap," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.
Ismail berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada semua agensi terbabit termasuk rakan nelayan yang membantu dalam operasi pencarian dan penyelamatan (SAR).
"Saya belum pasti bila mereka akan bawa kedua-duanya pulang dan masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa," katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang menguruskan bagi mengambil kedua-dua mangsa di sempadan.
"Bot APMM dijangka mengambil sedikit masa bagi tiba di sempadan.
"Kedua-dua mangsa dijangka tiba ke Batu Maung, di sini, kira-kira 3 pagi," katanya.
Sebelum ini Harian Metro melaporkan mengenai kehilangan dua lelaki berkenaan selepas bot yang dinaiki mereka hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang, di sini, kira-kira jam 11.30 malam.
Operasi SAR yang masuk hari kelima dihentikan semalam selepas tidak menemukan sebarang petunjuk.
Budak perempuan maut, motosikal dinaiki 4 beranak rempuh lori
Bernama
BATU PAHAT: Seorang kanak-kanak empat tahun maut manakala bapa dan dua lagi kanak-kanak cedera selepas motosikal dinaiki empat beranak itu terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kampung Sungai Ayam di sini, semalam.
Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, Afiqah Syaurah Qamarul Arifin meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
“Kemalangan dipercayai berlaku ketika lelaki tempatan berumur 37 tahun sedang menunggang sebuah motosikal bersama tiga anak perempuannya masing-masing berumur empat, tujuh dan lapan tahun dari arah Senggarang menghala ke arah Minyak Beku di sini.
“Apabila sampai di tempat kejadian, telah berlaku kemalangan dengan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun telah keluar simpang tanpa memberi keutamaan laluan terlebih dahulu kepada motosikal yang bergerak lurus di jalan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kanak-kanak berumur tujuh dan lapan tahun itu masing-masing mengalami kecederaan ringan di tangan dan kaki manakala bapa mereka mengalami luka di muka dan dada dengan kesemua mereka dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail di sini.
“Pemandu lori dan seorang kelindan pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau hubungi Hotline IPK Johor di talian 07-2212999 atau Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999.
Langgan:
Catatan (Atom)