Harapandaily
Hanya kurang 24 jam melangkah ke tahun baharu 2025, Pas menggelar dasar kerajaan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya ‘Madani Islam’ sebaliknya ‘Madani Jahiliah’.
Dalam masa sama, presiden parti pembangkang itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang menganggap negara berada di bawah wakil penjajah yang dinamakan Pakatan Harapan (PH).
Gelaran dan tuduhan Ahli Parlimen Marang berkenaan terkandung dalam siri artikelnya di ‘Minda Presiden Pas’ hari ini.
Bertajuk ‘D-8 dipandang remeh’, Hadi berkata, penubuhan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) atau Organization for Economic Cooperation merupakan langkah untuk kembali semula kepada Islam yang pasti mendapat tentangan daripada kuasa penjajah.
“Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad cuba menyambung semula langkah D-8 kepada matlamat yang lebih besar. Malangnya, hanya empat negara sahaja yang menyahut seruan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit).
“Ketidakhadiran Perdana Menteri Malaysia kini yang membawa slogan Madani menunjukkan perjuangannya bukan Madani Islam yang sebenar bersempena bandar Madinah yang dinamakan oleh Rasulullah SAW.
“Akan tetapi, perjuangannya bergantung kepada Madani Jahiliah seperti Bank Dunia (World Bank), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan BlackRock.
“Keadaan ini menunjukkan bahawa perjuangan kemerdekaan kita belum selesai kerana masih berada di bawah wakil penjajah yang dinamakan Pakatan Harapan (PH) yang masih berkiblatkan White House dan mengucup BlackRock,” kata Abdul Hadi.
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu juga menulis bahawa “kenyataan-kenyataan anti-Islam yang berani oleh DAP dan rakan-rakan berwajah Melayu seperti PKR, UMNO dan PAN (AMANAH) yang menjadi juru pembelanya yang bersuara bagi pihaknya, sangat nyata wala’ (kesetiaan) kepada musuh Islam.”
“Inilah sebab Majlis Syura Ulamak Pas membuat keputusan bahawa Pas tidak lagi bertahaluf dan berta‘awun dengan jajaran tersebut,” ujar bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan