"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

RMK13 mahu dirombak sebab ciapan balas pada Fahmi?

Malaysiakini 

Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mempersoalkan sama ada langkah kerajaan menyemak semula Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) adalah reaksi tergesa-gesa terhadap kritikan media sosial yang ditujukan kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Ini susulan pengumuman Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar awal hari ini bahawa Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan telah ditugaskan untuk "mengolah dan merombak semula" RMK-13 sambil menjalankan tugas dan fungsi menteri ekonomi berkuat kuasa serta-merta.

"Saya bimbang kerajaan mengambil sikap reactionary (bersikap reaktif) hanya kerana ada beberapa ciapan balas kepada Fahmi mengenai RMK13 beberapa hari kebelakangan ini.

"Ada netizen yang membincangkan mengenai RMK13 dan membalas ulasan beliau yang dilihat cuba memadamkan terus penglibatan saya dalam penyediaan RMK13," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu, yang mengosongkan jawatan kabinetnya berikutan kekalahannya pada pemilihan parti PKR, dipercayai merujuk kepada reaksi netizen berhubung siaran di X yang memaparkan klip Fahmi yang menegaskan bahawa RMK-13 adalah "usaha berpasukan" dan bukan produk mana-mana individu atau kementerian.

Fahmi, yang juga ketua penerangan PKR, telah menimbulkan reaksi balas terhadap kenyataannya, dengan beberapa pengguna menekankan bahawa walaupun rancangan itu memang melibatkan pelbagai kementerian lain, Kementerian Ekonomi di bawah pimpinan Rafizi telah mempelopori penggubalan dokumen itu.

Mengulas mengenai rancangan itu sendiri, Rafizi menegaskan bahawa RMK13 adalah dokumen negara kritikal yang dibangunkan oleh ribuan rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat, dengan matlamat untuk menggabungkan strategi, program dan sasaran negara dalam tempoh lima tahun.

"Jika tidak berhati-hati, mengheret RMK13 menjadi polemik politik akan melunturkan keyakinan rakyat kepada dokumen akhir RMK13.

"Jika ini berlaku, ia satu ketidakadilan besar kepada mereka yang bertungkus-lumus bekerja berbelas jam sehari sejak setahun lepas," katanya.

Dia juga mempersoalkan mengapa semakan RMK13 hanya timbul pada saat-saat akhir, dan menegaskan bahawa tiada kebimbangan sedemikian dibangkitkan sepanjang proses Kementerian Ekonomi membentangkan kandungan rancangan itu sebelum ini.

RMK13 yang dimuktamadkan dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai.

"Adakah ini bermakna rombakan semula ini akan dibuat secara tergesa-gesa kerana tiada masa untuk merujuk semula kepada IAPG (Mesyuarat Kumpulan Perancang Antara Agensi), TWG (Technical Working Group) dan pakar-pakar?” soal Rafizi.

"Kerajaan bertukar ganti, tetapi setiap kerajaan yang mengambil alih perlu berpandukan gagasan Rancangan Malaysia, kecuali kerajaan itu kembali ke Parlimen untuk meminda RMK yang telah diluluskan Parlimen.

"Sebab itu prosesnya adalah panjang dan tidak bersifat politik," katanya.

Mengambil maklum bahawa persiapan untuk RMK13 telah bermula pada September tahun lepas, Rafizi berkata walaupun garis masa untuk menyediakan dan membentangkan RMK13 adalah padat, ia ditetapkan sebagai rancangan Malaysia yang paling pesat membangun dalam sejarah.

Ini, katanya, kerana RMK13 mengambil masa kurang setahun untuk dibentangkan selepas sesi libat urus dan perundingan diadakan, manakala perancangan sebelum ini mengambil masa antara satu setengah hingga dua tahun untuk disediakan.

"Cadangan dasar yang berani dan radikal tidak semestinya diterima oleh kementerian-kementerian. Sebab itu, saya telah membentangkan beberapa kali kepada Perdana Menteri terlebih dahulu (antara Februari hingga April 2025) dan dibentangkan sebanyak dua kali kepada Jemaah Menteri Khas, untuk mencapai kompromi dan kata sepakat," tambahnya.

"Semua bukti pembentangan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri ada di laman Facebook Perdana Menteri sendiri, yang sering melaporkan perbincangan mengenai RMK13 dengan Kementerian Ekonomi," katanya lagi.

Dalam satu kenyataan susulan peletakan jawatannya sebagai menteri ekonomi bulan lepas, Rafizi berkata tanggungjawab terakhirnya telah dilaksanakan dengan selesainya RMK13, yang menurutnya kemudiannya telah dimuktamadkan dan sedang menunggu pembentangan pada persidangan Parlimen akan datang.

Bercakap dalam rancangan podcastnya baru-baru ini, Rafizi berkata bahawa berpegang pada jawatan menterinya hanya akan "mengheret" Kementerian Ekonomi kerana penjawat awam akan mengambil maklum kehilangan legitimasinya, sekali gus berpotensi menjejaskan mana-mana kerja yang dibawa oleh kementerian.

Tiada ulasan: