"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak Quraisy Mana Halang Tok Guruku Ke Makkah? / Zambry / PKFZ / Altantuya

Mohd Sayuti Omar

RASANYA tidak ada berita dan kejadian paling duka di Kota Bharu semalam, melainkan berita mengenai Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat membatalkan hasratnya untuk menunaikan fardu haji pada tahun ini. Berita berkenaan sudah pasti mengejutkan banyak pihak, walaupun ia adalah satu peristiwa biasa saja. Jarang sekali Tok Guru menangguhkan kerja-kerja baik begitu. Kalau menangguhkan (ditangguh) untuk merasmikan projek kambing di Rong Chenak, kira-kira tiga tahun lalu memang saya ada mendengar ceritanya.

Khabarnya Tok Guru mengumumkan berita itu semasa kuliah mingguannya di bangunan Pas, di Jalan Dato' Pati pagi jumaat. Antara lain berita agensi dipetik, Nik Aziz berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana media massa banyak mempertikai pemergiannya ke tanah suci kali ini yang ditaja oleh pihak tertentu.

"Saya tidak pelahap sangat untuk pergi ke Makkah dengan ditaja, saya pun ada duit sendiri," begitulah katanya. Katanya lagi, kenapa beliau menerima tajaan itu kerana ingin memenuhi hasrat si penaja itu saja. Entah berapa lama, orang berkenaan ingin memenuhi hasrat ingin mengerjakan haji bersama Tok Guru.

Isu pemergiannya ke tanah suci yang ditaja oleh sebuah syarikat ini meletus berangkaian dengan meletusnya perang dalam PMBK iaini ekoran perbadanan itu memecat salah seorang pegawai kontraknya beberapa hari lalu. Semacam isu ini ada sangkut paut dengan perang di perbadanan berkenaan.

Di sini saya tidak mahu mengulas apakah tindakan Tok Guru menerima tajaan itu salah ataupun tidak. Apakah ia merupakan rasuah atau tidak? Biarlah SPRM yang dikatakan sudah membuka fail siasatan menentukannya. Namun saya cukup yakin niat Nik Aziz baik dan tidak ada unsur-unsur jahat di dalam hatinya bila menerima tajaan ke Makkah itu. Saya percaya dan yakin kepada beliau sebagai seorang Tok Guru berpandukan kepada pengalaman saya sendiri bersama.

Saya tahu dan orang lain juga tahu akan kemuliaan dan kejujuran beliau. Beliau seorang yang lurus dan ikhlas. Seorang bersangka baik walaupun terhadap maling. Beliau sering menganggap orang juga sama ikhlas dengannya. Dalam konteks ini kalau Nik Aziz kena tipu yang celaka dan kejamnya ialah si penipu itu. Disebabkan kerana kejujuran dan kemuliaan ini maka beliau sudah beberapa kali kena main dan terperangkap dengan kebaikan itu.

Walaupun Tok Guru bak di panah petir dengan pengkhianatan itu, saya percaya beliau sedikitpun tidak ugah dan menyesal dengan apa yang berlaku, melainkan rasa benci atas provokasi dan orang yang berniat jahat menganggu urusan ibadat dan kerjanya itu. Tok Guru tidak menangis kalau tidak dapat ke Makkah. Tetapi mungkin air matanya menitis mengenangkan ada manusia yang tergamak menyusahkan dia.

Kini ramai orang melihat apa yang berlaku, salahnya Tok Guru. Media masa dan UBN menggambarkan Nik Aziz seorang pengamal rasuah, korup dan jahat seperti pemimpin UBN. Memang banyak pemimpin UBN yang menerima tawaran seperti itu. Itulah maksudnya. Tetapi percayalah, orang di luar sana yang menerima beliau sebagai seorang tok guru tidak termakan dengan hasutan demikian. Sebaliknya kalau UBN dan sesiapa cuba terus memainkan isu ini orang berkenaan pula akan dibelasah.

Memang ada banyak perkara yang saya tidak setuju dengan Tok Guru. Tulisan-tulisan saya dalam blog, percakapan dengan orang-orang tertentu saya menyebut dan meluahkan rasa kecewa saya dengan Tok Guru. Bahawa akhir-akhir ini Tok Guru dalam kaca mata saya melakukan kesilapan atau aksi melampau terutamanya berhubung dengan maslahat politik yang merosakkan syaksiahnya sebagai pemimpin. Saya mengkritik beliau dengan tujuan menegur agar beliau sedar dan insaf. Tetapi belum pernah dalam hidup saya selama 40 tahun mengenalinya menyusahkan Tok Guru seperti mana dialami hari ini.

Seribu kali saya berjumpa Tok Guru saya tidak akan menyampaikan sesuatu yang boleh meluka dan merungsingkan dia. Selalu apa yang saya bawa ialah berita-berita gembira dan menyenangkannya. Jadi apabila ada orang tergamak mengkhianatinya, menyusahnya, atau memerangkapnya sehingga beliau terpaksa tangguh pemergian ke Makkah ia adalah satu perbuatan kejam yang sukar dimaafkan. Pengkhianat itu wajar dikutuk sehingga ke akhirat.

Tok Guru tidak menyebut siapakah pengkhianat itu. Mungkin beliau sudah tahu tetapi tidak mahu menyebutnya. Beliau masih memelihara maruah orang jahat walaupun dia jahat. Inilah mulianya Tok Guru. Namun bagi orang luar, khasnya yang menyanyanginya kena tahu siapa yang memasang perangkap dan mengkhianati Tok Guru. Mereka ini tidak boleh dimaafkan. Mereka inilah yang menjadi musang berbulu ayam yang akan membakar reban bila tidak dapat telor emas yang diidamkannya.

Mereka harus dihalau dari bumi Kelantan agar kembali ke tempat asalnya, kalau dia bukan orang Kelantan. Atau kalau orang itu berada di bawah ketiak Tok Guru sendiri, dia hendaklah dilempar dan ditohok jauh. Hanyutkan dia ke Laut China Selatan atau biar dia dimakan oleh jerung dan yu sahaja.

Firasat saya sangat jelas apa yang berlaku kepada Tok Guru adalah satu perancangan. Saya sudah sebut sebelum ini ada agenda untuk menjatuhkan Tok Guru dalam manis. Namun di sebabkan mereka ini hidup laksana penyamun yang berselindung dalam tong menyamar jadi minyak urat, minyak cenonok dan minyak unta (macam dalam filem Ali Baba Dengan 40 Penyamun), maka Tok Guru sendiri tertipu dengannya.

Tok Guru pun selama ini jadi asyik dan ralik apabila mendengar dendangan lagu-lagu ala Padang Pasir dan Hindustan orang ini. Tok Guru jadi terlupa kepada urusan lain bila asyik memakan buah-buahan dan hidangan ayam percik dan kambing bakar yang dihulurkan oleh orang ini. Betapa sayangnya Tok Guru melayan orang ini sampaikan sahabat-sahabat lama tidak berani mendekati dan dihalang kerana bimbang takut menghidu wap ayam percik atau kambing bakar.

Bukan itu saja mana-mana wazir atau pegawai juga turut dipecat dan disingkirkan oleh Tok Guru kerana tunjuk ajar dan suruhan orang ini. Tok Guru semacam terkena nasi kukus!

Saya sudah maklumkan hal ini kepada orang-orangnya. Bahawa Tok Guru harus berhati-hati dengan musang berbulu ayam atau si penyamun minyak cenonok ini. Namun nasihat dan kata-kata saya sebelum ini ditejeh dan dijuah. Saya dibidas dengan pelbagai nesta termasuk agen Umno mahu memecah belahkan Pas. Ketika orang tidak nampak apa yang sudah saya nampak dengan mata kepala sendiri.

Tok Guru sendiri lena dengan hal ini. Satu hari Tok Guru pernah meminta saya memohon maaf kepada orang berkenaan. Namun saya tidak sedia mematuhinya kerana saya yakin tindakan saya benar. Saya enggan mematuhinya kerana saya menyerang orang itu kerana saya sayang dan ingin bela Tok Guru. Alhamdulilah, bila saya berkeras dengan keputusan saya, dia hanya diam tanpa berkata apa-apa. Selepas itu saya tidak pernah pun dengar Tok Guru marah atau terkilan dengan kelakuan saya itu.

InsyaAllah saya akan mencerita dan mendedahkan secara nyata dan jelas bagaimana tektik dan teknik si pengkhianat ini lakukan untuk memburukkan reputasi dan menjatuhkan maruah Tok Guru sebagai ulama. Anda juga akan tahu siapakah anak Quraisy yang menghalang Tok Guru ke Makkah itu. Siapakah mereka, dia ialah si penyamun yang menyamar menjadi minyak cenonok, minyak unta yang bersembunyi dalam tong. [wm.kl. 6:00 pm 13/11/09]

1 ulasan:

PEMUDA PAS KEMAHANG 1 berkata...

Salam tuan blog...

blog sehebat ini tidak sepatutnya menyiarkan artikel dari blogger talam dua muka seperti MSO.

Dia bukan mencari kebenaran melainkan populariti semata. Dia akan laporkan perkara-perkara yang boleh membuatkan hit di blognya meningkat.

Tuan patut lebih berhati-hati dengan mainan politik licik MSO.

Apapun, kami tetap bersama TGNA.