"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tengku Razaleigh sebagai Presiden UMNO?

Selena Tay
Ada seorang penganalisis politik neutral berpendapat bahawa Perdana Menteri Najib Tun Razak tidak akan memimpin BN dalam Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan datang ini.

Alasan penganalisis ini adalah kerana ada kuasa dalaman yang yakin bahawa beliau sudah tidak mampu lagi untuk melaksanakan pilihanraya memandangkan bahawa beliau telah mengambil masa yang terlalu lama untuk melaksanakannya

Falsafa Cina ada mengatakan: 'Jika seseorang itu mengambil masa yang terlalu lama untuk melakukan sesuatu, maka akhirnya orang itu akan gagal melakukannya'.

Justeru itu, penganalisis ini berpendapat bahawa PM Najib akan undurkan diri sebelum PRU13 untuk memberi peluang kepada Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (yang juga dikenali sebagai Ku Li) untuk memimpin BN pada masa pilihanraya umum nanti.

Ini disebabkan oleh imej kini BN yang sudah tidak disenangi lagi oleh ramai juga pemuda dan pengundi bukan-Melayu. Dan BN sekarang ketandusan tokoh berwibawa yang boleh menaikkan imejnya di kalangan mata pengundi.

PRU13 ini juga telah digambarkan oleh BN sebagai pilihanraya penentuan yang akan menentukan masa depan BN.

Dan hanya Tengku Razaleigh sahaja yang disenangi oleh semua lapisan masyarakat. Oleh itu, demi menyelamatkan UMNO dan BN, Ku Li akan diberi peluang untuk menerajui pucuk pimpinan UMNO dan BN untuk PRU13 yang tarikhnya masih belum dapat diputuskan lagi.

Tengku Razaleigh sahaja yang mampu menarik kembali sokongan masyarakat Melayu yang sekarang ini berpusu-pusu menyertai PAS.

Pada masa kini, segolongan besar pengundi Cina dan India pun sudah berpihak kepada Pakatan Rakyat disebabkan oleh pakar strategi BN yang telah silap mengatur langkah untuk meraih sokongan dari mereka.

Tetapi Ku Li mampu menyelamatkan situasi ini kerana beliau dihormati oleh rakyat berbilang kaum, tidak kira tua ataupun muda. Ketika Ku Li berkempen untuk BN di Pilihanraya Kecil Galas pada bulan Oktober/November 2010, beliau telah menerima sambutan yang amat baik dari pengundi Cina, pengundi India dan pengundi Orang Asal di situ. Jelaslah bahawa beliau ialah tokoh yang dihormati oleh semua.

Tiada ulasan: