ROMPIN: Pelawak dan penulis lirik, Bob Lokman atau Mohd. Hakim Lokman mengajak rakan artis lain supaya menyertai Pas atas alasan hanya parti itu yang mampu mentadbir negara ini dengan cekap berlandaskan syariah Islam.
Bob Lokman berkata, trend artis yang kini berdiri di pentas politik bersama Pas membuktikan bahawa golongan artis di negara ini sudah celik dan berpandangan jauh selain yakin mereka mampu melontarkan idea bernas untuk kebaikan parti.
Menurutnya, jika dahulu ramai artis hanya memikirkan kepada sumber pendapatan sebagai penghibur semata-mata, namun pada hari ini, golongan itu sudah berubah dan semakin berani tampil di khalayak dengan gagasan perjuangan parti politik masing-masing.
“Mereka ini sudah mula buka fikiran kepada perkara lain selain daripada soal cari makan dan sudah mula menunjukkan kecenderungan mereka ke arah politik.
“Sepatutnya hal ini sudah lama berlaku, mungkin ada artis yang berasa takut kerana sumber pendapatan mereka bergantung kepada stesen televisyen yang dinaungi kerajaan,” kata beliau kepada Sinar Harian pada Ceramah Umum di Markas Pas Kampung Mentara dekat sini.
Bob Lokman berkata, sejak menyertai Pas beliau sudah beberapa kali berjumpa artis yang berkempen untuk bersama-sama berjuang dengan parti itu termasuk rakan baik beliau yang juga pelakon filem, Hairie Othman.
“Saya ada bertemu Hairie dan dia sendiri ada beritahu saya yang dia masih banyak perkara hendak dibuat dalam parti ini termasuk mengeluarkan pendapatnya sebagai artis,” katanya.
Selain itu, katanya, beliau yakin artis seperti Hairie boleh menjadi ahli politik jika serius dalam bidang itu kerana melihat rakannya itu mempunyai keterampilan dalam berhujah dan mengeluarkan pendapat.
“Hairie juga yakin dengan perjuangan Pas kerana beliau nampak kejujuran dan keikhlasan Pas yang akan memperjuangkan nasib umat Islam serta tidak meminggirkan kaum lain di negara ini.
“Jika dia mahir dalam sepak terajang politik, tidak mustahil suatu hari nanti Hairie juga boleh menjadi orang politik yang boleh menerangkan dasar parti kepada rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan