"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wang KWSP hanya boleh dikeluarkan setelah umur 60 tahun?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekarang sedang tertanya-tanya apakah benar umur pengeluaran penuh wang KWSP dinaikkan ke 60.


Ini kerana, kepelbagaian mesej yang dihantar kerajaan kepada media seolah-olah usaha itu sedang dibuat tetapi sedang menunggu reaksi rakyat.

"Jika rakyat tidak bantah, mereka akan dinaikkan ke umur 60 itu," kata seorang pencarum kepada Harakahdaily.

Beliau yang baru pulang dari ibu pejabat KWSP di Kuala Lumpur berkata, kakitangan KWSP juga tidak dapat mengesahkan perkara ini.

"Jika tidak ada isu naik ke 60 tahun ini masakan pegawai KWSP tidak tahu," kata beliau kepada Harakahdaily.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tan Sri Azlan Zainol mencadangkan kerajaan menaikkan umur pengeluaran wang KWSP dari 55 ke 60 tahun.

Cadangan ini dibuat melalui cadangan Bajet 2013 beliau kepada kerajaan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam bagaimanapun berkata kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung had umur bagi pengeluaran caruman KWSP setelah membenarkan had umur persaraan minimum bagi pekerja swasta dilanjutkan kepada 60 tahun.

Sehubungan itu, beliau meminta para pencarum KWSP supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan kononnya pengeluaran wang simpanan bagi pekerja swasta hanya boleh dibuat selepas mencapai umur persaraan 60 tahun.

"Kerajaan belum putuskan apa-apa. Keputusan mengenainya akan diputuskan kemudian... mungkin sebelum kita buat bacaan kali kedua di Parlimen," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Meningkatkan Taraf Pentadbiran Sistem Pertubuhan-Pertubuhan Sosial di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kebimbangan pencarum KWSP mengenai had umur pengeluaran caruman yang kini boleh dibuat pada usia 55 tahun, berikutan pembentangan Rang Undang-Undang Persaraan Minimum 2012 untuk bacaan kali pertama di Parlimen Rabu lepas yang menetapkan umur persaraan minimum pekerja swasta dilanjutkan kepada 60 tahun berkuat kuasa Januari tahun depan.

Tiada ulasan: