"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kecewa harga mahal, pemuda bina rumah dari peti besi (Gambar)

Nabihah Hamid

Rumah kontena Azree bermodalkan hanya RM75,000 dibina di atas sebidang tanah seluas 80x30 kaki persegi atau lebih kurang 222 meter persegi di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang di Kuala Langat, Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Ogos, 2017.
KERANA kecewa dengan harga rumah yang mencecah sampai ratusan ribu ringgit, seorang anak muda membina rumah kontena bermodalkan hanya RM75,000 – jauh dari hiruk-pikuk kota.

Rumah dari peti besi terpakai yang digunakan untuk mengangkut barang itu dibinanya di atas sebidang tanah seluas 80x30 kaki persegi atau lebih kurang 222 meter persegi.

Hampir separuh daripada kos membina rumah itu sebenarnya adalah harga tanah. Bakinya kos membeli kontena terpakai yang banyak dijual di sekitar Klang.

“Saya tidak mahu terikat dengan pinjaman bank sampai berpuluh-puluh tahun,” katanya yang sudah tiga tahun mendiami rumah peti besi itu.

The Malaysian Insight menjenguk kediaman uniknya di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang di Kuala Langat, Selangor, lebih kurang 60 kilometer dari Kuala Lumpur dan menempuh perjalanan dengan kereta hampir sejam.

Rumah peti besi ini dicat dengan warna hitam pada dinding luarnya, hijau di dalam. Semua ruang di dalam rumah ini sama saja seperti rumah biasa: ruang tamu, ruang makan, dapur dan bilik mandi dengan pancuran. Di lamannya, ditanam rumpun buluh di sebelah kiri dan kanan.

“Saya anak orang kampung, membesar di Felda dan sudah biasa dengan tanaman, ternakan dan pemandangan hijau. Duduk di KL sesak dengan bangunan. Saya lebih selesa duduk di sini,” kata anak peneroka Felda Kahang Barat di Kluang, Johor ini kepada The Malaysian Insight.

Semua ruang di dalam rumah ini sama saja seperti rumah biasa: ruang tamu, ruang makan, dapur dan bilik mandi dengan pancuran. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Ogos, 2017.

Mahligai idaman

Namanya Muhamad Azree Abd Rahim. Umurnya 28 tahun. Di atas kertas, apabila umurnya mencecah 35 tahun nanti, pinjaman bank yang dibuatnya untuk membangunkan mahligai impian itu akan langsai dibayar. Ketika rakan-rakan sebayanya masih bergelut sibuk bekerja untuk membayar hutang, dia nanti sudah boleh bersenang-lenang.

“Dari segi komitmen (hutang) saya hanya tinggal 7 tahun lagi. Kita tetap juga kena berhutang untuk miliki rumah tetapi dengan rumah kontena ini pinjaman lebih sedikit dan tempoh pinjamannya singkat,” katanya.

Anak muda yang berfikir di luar kotak ini memang tidak seperti orang lain. Ketika orang membeli rumah siap, dia membuat rumah sendiri – daripada kontena. Ketika orang berpindah duduk di bandar, dia lari mencari damai di kampung. Ketika orang selesa makan gaji, dia memilih jalan berani bekerja sendiri.

“Tidak semua peluang kerja ada di bandar. Anak muda patut juga melihat apa yang ada di luar bandar. Tidak usah sangat memilih kerja atau memilih tempat kerja,” katanya, dan menambah kebanyakan orang yang bekerja di bandar itu hanya makan gaji.

“Kita kena keluar dari zon selesa. Intai peluang yang ada. Hidup ini tidak hanya makan gaji. Memang akan ada masalah tetapi masalah tidak akan selesai sendiri. Masalah itu ada untuk kita hadapi.”

Azree memiliki sebuah syarikat mereka cipta laman web bersama dua rakan kongsinya. Sekarang ini dia bekerja di satu sudut dalam rumah kontenanya yang dijadikan ruang pejabat. Tidak lama lagi, sebahagian daripada rumah kontena itu akan diubah suai jadi sebuah pejabat untuk syarikatnya beroperasi.

Azree menyarankan anak-anak muda yang belum ada rumah supaya menimbang untuk membangunkan rumah dari kontena terpakai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Ogos, 2017

Selesa dan nyaman

Untuk memastikan keselesaan, Azree memastikan rumah kontena itu mempunyai ruang udara yang cukup selain dilengkapi dengan kipas dan pendingin hawa.

“Aircond ini saya cuma pakai pada waktu siang saja. Kalau hari malam, rumah ini cepat sejuk. Rumah kontena tidak memerangkap haba macam rumah batu,” katanya.

Untuk elakkan panas, kita boleh juga pasang penebat seperti panel kayu atau polisterin, tambahnya.

Azree juga menggunakan kelambu yang selalu boleh kita lihat di kebun sayur untuk mengurangkan kadar cahaya matahari yang masuk pada siang hari. Kurang cahaya matahari masuk ertinya kurang jugalah bahang haba.

The Malaysian Insight bertanya kepada anak muda ini apakah tidak bahaya duduk di rumah peti besi?

“InsyaAllah, rumah ini terselamat daripada kilat dan petir sebab sudah dipasang penangkap kilat dan sistem pembumian elektrik,” katanya.

Oleh kerana harganya yang relatif murah dan mesra alam, Azree menyarankan anak-anak muda yang belum ada rumah supaya menimbang untuk membangunkan rumah dari kontena terpakai.

“Harganya tak sampai RM100,000,” katanya, sambil berkali-kali menekankan rumah itu selesa dan mampu milik.

Rumah peti besi ini pernah tular di media sosial. Kerana tular berita tentang rumah yang unik ini, banyak juga orang datang ke kampung itu termasuk pelancong dari luar negara. Ada yang datang hanya untuk menjenguk. Ada juga yang datang mencari Azree dan meminta petunjuk.

“Saya tidak menyediakan khidmat membuat rumah kontena tetapi saya boleh beri panduan jika ada yang berminat," katanya. – 20 Ogos, 2017.

Tiada ulasan: