"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Saari Sungib: Pengkhianat atau penyelamat

AHMAD LUTFI OTHMAN

Memang dia tidak pernah menganggap dirinya hero tetapi keputusan drastik beliau telah melakar sejarah. Dia tidak sanggup menunggu lebih lama untuk bertindak nekad. Bersedia mengharung umpat-keji demi prinsip yang dipertahan. Nuraninya menunjuk jalan yang jelas, menjadi penyelamat ke atas simpulan yang berkecamuk.

"Tindakan yang saya fikirkan terpuji dan benar rupa-rupanya telah membangkitkan amarah pemimpin nombor wahid Parti Islam dengan memanggil kami 'dicuri, dibeli, broker, barua'. Saya bukan hero. Saya anggap kewajipan saya adalah pertahankan prinsip," Saari Sungib, Adun Hulu Kelang mengimbas kembali kenangan berkaca semasa krisis pertukaran Menteri Besar Selangor 2014.

Langkah jitu-berani Saari bersama seorang lagi Adun Pas-Morib, Hasnul Baharuddin, menandatangani akuan bersumpah menyokong Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon MB menggantikan Khalid Ibrahim -- tanpa restu Pas -- menamatkan spekulasi ura-ura pembentukan kerajaan baru bersama Umno di Selangor. Sebenarnya, motif Saari lebih kepada menolak usaha mengekalkan Khalid berbanding menyokong Wan Azizah.

Bagi ramai orang, khususnya penduduk Selangor yang memberi sokongan luar biasa kepada Pakatan Rakyat dalam PRU13, aksi proaktif Saari dan Hasnul itu, disambut penuh kelegaan. Ruang untuk Umno-BN mengambil kesempatan di atas krisis yang nampak membengkak itu tertutup rapat. Bagaimanapun, dua wakil rakyat tersebut berdepan risiko besar dalam parti sendiri, membawa kepada penggantungan keahlian dan kecaman keras tidak terduga oleh Presiden Pas dalam muktamar di Batu Pahat, September 2014.

Saya turut menghadiri perhimpunan tahunan itu atas kapasiti ketua pengarang Harakah. Semasa Ustaz Abdul Hadi Awang membuat ucapan penggulungan di hari akhir muktamar, saya dan keluarga dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur. Dalam hujan renyai, meredah Lebuh Raya Utara Selatan yang agak sibuk, saya mendengar pidato keras Presiden Pas melalui radio internet. Belum reda dengan kontroversi doa laknat perwakilan Wilayah Persekutuan pada hari kedua muktamar, ketua parti menutup persidangan secara "menikam lebih berbisa".

Secara peribadi, kekaguman saya terhadap sosok Saari bukan hanya bermula dengan langkah penyelamat kerajaan Pakatan Rakyat Selangor itu. Dari jauh saya menghormatinya sebagai tokoh awal gerakan Islam tanahair yang mengasaskan Jamaah Islah Malaysia, 1990; pendakwah gigih di sebalik kewujudan IRC, pertengahan 1980-an; reformis tulen pada era pemecatan Anwar Ibrahim; penulis prolifik khususnya ketika dua kali dikurung ISA.

Justeru, apabila mendengar suara lantang Ustaz Hadi membuat dakwaan liar kepada Saari, tiga tahun lalu, saya terkedu. "Mereka curi wakil rakyat kita, beli wakil rakyat kita. Yang jadi broker, yang jadi barua pun ada." Tuduhan kesat bahawa dua Adun Pas itu telah "dibeli" adalah kenyataan serius yang boleh merosakkan reputasi dan nama baik Saari dan Hasnul.

Bukan hanya itu, saya kira ungkapan broker atau barua tidak ditujukan kepada Saari dan Hasnul; ia mungkin lebih dikhususkan kepada pihak ketiga yang menjadi orang tengah. Mungkin saja dihalakan kepada dua tiga kerat pemimpin tertinggi Pas yang diragui kesetiaan mereka. Satu teka-teki yang belum terjawab hingga kini.

Menyingkap kembali krisis pertukaran MB Selangor itu, Saari bercerita panjang: "Sekitar Jun–Ogos 2014, saya difahamkan daripada rakan-rakan reformis dalam Pas dan Keadilan, hubungan Presiden Pas dengan Ketua Umum Keadilan merudum teruk. Ustaz Hadi mempersalahkan Anwar hampir semua kegagalan dalam Pakatan Pakyat.

"Ustaz Hadi juga secara berdepan memanggil Anwar dengan gelaran tak sepatutnya. Pada masa itu cukup tanda dan isyarat Ustaz Hadi tidak mahu kekalkan tahaluf Pakatan. Dia mula bertindak unilateral.

"Ustaz Hadi berjumpa dua kali dan arahkan timbalannya Mat Sabu bertemu sekali dengan pimpinan Pas dan semua Adun Pas Selangor. Majoriti mahu Khalid Ibrahim ditukar." Bagaimanapun Presiden Pas itu mahu turun naik pemimpin adalah persoalan syarak. Jadi, nak ganti Khalid mesti ada sebab syarak yang kukuh.

Difahamkan, Khalid sendiri berjanji untuk melepaskan jawatan. Bagaimanapun, menurut sumber, pimpinan tertinggi Pas itu memberi jaminan akan terus memberi sokongan kepada Khalid sebagai menteri besar. Susulan enggan berhenti, parti memecat Khalid. Beliau seterusnya bertindak balas dengan memecat semua Exco DAP dan KeADILan, manakala empat exco Pas dikekalkan.

"Kerajaan negeri genting. Kerajaan Pakatan berakhir. Mungkin akan kembali kepada BN, atau mungkin kerajaan perpaduan di Selangor. Dun ada 56 kerusi.
Yang tinggal Khalid, bebas seorang, KeADILan 13, DAP 15, Pas 15 dan BN 12," Saari melakarkan senario ketika itu.

Timbul kerisauan yang merata, jika berlaku persefahaman di antara Khalid, semua Adun Pas dan wakil Umno, jumlahnya 28 kerusi iaitu sama banyak dengan Adun DAP dan Keadilan.

"Jika berlaku situasi 28:28, antara pilihan yang boleh diambil Khalid adalah melantik seorang ahli bukan Adun untuk jadi Speaker Dewan dan jadikannya 29 untuk bentuk kerajaan perpaduan. Atau Khalid mohon agar Dun dibubarkan," jelas Saari.

Beliau menambah, prinsipnya mudah, waktu menolak usaha mengekalkan Khalid. Pertama, keputusan tertinggi Pas adalah keputusan muktamar yang menegaskan agar dipertahan dan diperkasakan Pakatan. Kedua, rakyat Selangor sudah beri mandat 44 kerusi kepada Pakatan Selangor, ditolak satu tinggal 43 kerusi; jangan sekali-kali Parti Islam khianati.

Ketiga, sudah berjanji dengan Keadian dan DAP untuk kukuhkan Pakatan, tidak mungkin Parti Islam mungkir. Keempat, penyokong Pakatan sudah bertambah yakin sejak 1999 kita telah membentuk pakatan politik yang setanding dengan BN, bahkan lebih baik lagi ketika kita menang 52% undi popular.

"Usaha dan harapan rakyat perihal 'dual-coalition party system' yang dibina jangan dihancurkan begitu saja. Tak patut Parti Islam hampakan harapan rakyat," ujar Saari lagi.

Mungkin ada pihak yang tidak bersetuju dan menyanggah justifikasi Saari itu. Namun segalanya sudah menjadi sejarah dan iktibar. Bagi saya, beliau bertindak sesuai dengan tuntutan naluri dan keyakinannya. Kini, berganding dengan Izham Hashim, Saari mengemudi Parti Islam AMANAH Selangor mengembangkan sayap sekali gus berperanan besar menggantikan Pas dalam Pakatan Harapan.

Saya kira, rakyat negeri termaju ini pasti mengingati peranan strategik dan penuh bertanggungjawab Saari ini, sama ada disukai atau tidak. Selangor bukan hanya perlu dikekalkan di bawah kerajaan sedia ada tetapi perlu membantu mendapatkan sebanyak mungkin kerusi Parlimen untuk menguasai Putrajaya, insya-Allah. Dan Saari serta rakan-rakannya dalam AMANAH bersedia sekali lagi untuk membentuk sejarah baru negara.

Tiada ulasan: