FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang pemburu bangkai MH370 mendakwa konsul kehormat Malaysia ke Republik Madagascar yang bertanggungjawab menyerahkan serpihan pesawat Malaysia Airlines itu kepada pihak berkuasa Malaysia, maut akibat dibunuh.
Akhbar Australia, Perth Now memetik Blaine Gibson yang berasal dari Amerika Syarikat sebagai berkata, serpihan baru yang ditemui itu sepatutnya diserahkan kepada Houssenaly Zahid Raza, sebelum dihantar melalui kourier swasta ke Malaysia.
Bagaimanapun, laporan itu mendakwa Houssenaly dibunuh pada 24 Ogos lalu, sebelum beliau sempat menjalankan tugasnya.
“Demi melindungi mereka yang terbabit, kami memutuskan tidak mendedahkan laporan ini sehingga serpihan itu dihantar ke Malaysia dengan selamatnya,” katanya.
Kementerian Luar tahu mengenai kematian Houssenaly. Namun, tiada butiran diberikan mengenai punca kematiannya.
Wisma Putra dalam satu kenyataan Selasa lalu menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Houssenaly yang dilantik sebagai konsul kehormat Malaysia ke Madagascar pada Disember 2013 selama 3 tahun.
“Berdasarkan prestasi cemerlang beliau dalam menjaga dan mempromosikan kepentingan Malaysia di negara berkenaan, kerajaan Malaysia memperbaharui kontraknya untuk jawatan sama untuk tempoh 3 tahun lagi sehingga Disember 2019,” kata kementerian itu.
Perth Now melaporkan seorang wakil Independent Group – sebuah pasukan pakar penerbangan dan matematik yang mengikuti perkembangan kehilangan MH370 berkata, masa kematian Houssenaly “mencurigakan” kerana belaiu dijangka pergi ke Kementerian Pengangkutan Madagascar untuk mendapatkan dan menghantar serpihan itu ke Malaysia.
Wakil itu mendakwa pihak berkuasa Malaysia dan Perancis bagaimanapun mendiamkan diri berhubung pembunuhan Houssenaly.
Gibson berkata, serpihan itu masih dalam tangan pihak berkuasa Madagascar, tetapi perancangan baru perlu dibuat untuk menghantar serpihan berkenaan ke Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan