"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adakah membunuh 10,000 orang setahun kerana merokok boleh diterima?

Mohd Azmi Abdul Hamid
Pengumuman kerajaan bahawa 1 Januari 2019 tetap menjadi permulaan berkuatkuasanya peraturan larangan merokok di semua premis restoran dan kedai makan sangat dialu-alukan.

Tidak ada sebab untuk ia ditangguh hanya kerana segelintir penuntut hak merokok bersuara untuk membantah.

Sebenarnya sangat aneh merokok, minum arak, berjudi seolah suatu kemungkaran yang punya lesen yang disahkan oleh undang-undang.

Hak ini bermula dari ketetapan sejak dari zaman penjajah lagi, seolah-olah kita tetap mahu meneruskan pengeluaran lesen atas nama hak individu dan sekal igus meraih pendapatan negara dari cukai.

Akan tetapi cukai itu pun diberi nama sin tax (cukai mudarat). Suatu percanggahan yang memalukan. Ketika mana semua mengaku bahawa rokok, judi dan arak memudaratkan, negara ini kekal mahu meneruskan mengeluar lesen untuk industri mungkar ini.

Hasil dari kononnya hak untuk melakukan semua itu di kalangan mereka yang terperdaya oleh industri itu, ratusan ribu jika tidak jutaan orang menderita.

Ada yang mati mengerikan, ada yang rosak mental, ada yang membunuh diri, ada yang terlibat dengan jenayah.

Belum lagi ahli keluarga, jiran tetangga, sahabat handai, malah seluruh negara turut menerima kesan langsung dari kehendak mereka yang masih teruja untuk memuaskan diri dengan merokok atas nama hak memilih – memilih untuk melakukan perkara yang merosakkan.

Soalnya siapa yang memberi hak kepada mereka untuk meneruskan gaya hidup seperti itu?

Dalam dunia kononnya serba bebas ini kita sentiasa dikelabukan dengan kenyataan semua individu berhak memilih gaya hidup sendiri, termasuk untuk merosakkan diri, keluarga dan masyarakat.

Lantaran itu masyarakat sudah lama menunggu ketegasan dari pihak berkuasa mengguna kuasa undang-undang melarang merokok di semua kedai makan tanpa kecuali berkuatkuasa 1 Januari ini.

Sudah tentu banyak lagi yang perlu dilakukan. Bagi mereka yang tetap membantah kerana ia dianggap menjejas hak perokok termasuk pengeluar, pengedar, peniaga, maka kami berpendapat hak mereka tidak dapat dibela.

Kami menegaskan kos akibat dari merokok jika dicampur kesan sosial, budaya, produktiviti dan perubatan berlipat kali ganda tinggi dari cukai yang dapat dikumpul dari industri rokok.

Hujah ekonomi tidak boleh dipertahankan lantaran mudarat yang terpaksa ditanggung oleh negara dan rakyat sangat berat dan parah.

Kami mendesak pihak kerajaan meningkatkan lagi langkah ke arah menjadikan masyarakat dan negara Malaysia sifar rokok.

Kami menuntut kerajaan bertegas dan tidak tunduk kepada desakan industri rokok termasuk golongan politikus yang memberi respon negatif terhadap langkah ini.

Pendidikan bersama penguatkuasaan undang-undang mesti berjalan serentak. Matlamat ke arah membasmi sifat merokok adalah jauh lebih utama dari melayan karena industri yang mahu meraih keuntungan lumayan atas derita masyarakat dan negara.


MOHD AZMI ABDUL HAMID ialah presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Tiada ulasan: