Membalas bantahan terbuka Mohamed Azmin Ali berhubung jawatan lantikan PKR, presiden parti itu Anwar Ibrahim berkata beliau memutuskan untuk mengambil pendekatan inklusif dalam pelantikan itu.
"Saya mahu jadi inklusif, dia (Azmin) tak mahu sesetengah individu.
"Saya mahu semua dalam (kepimpinan)...itu perbezaannya," katanya seperti dipetik The Star Online.
Beliau berkata turut memilih pemimpin yang dikaitkan dengan Azmin dalam barisan jawatan lantikan yang diumumkan semalam.
"Saya tahu dia sangat personal terhadap satu atau dua calon. Tetapi saya telah ambil semua (pihak), termasuk dari kemnya.
"Apa yang penting anda tak boleh nafi keperluan untuk menyertakan semua pihak," katanya lagi seperti dipetik.
Dalam kenyataan hari ini, Azmin yang merupakan timbalan presiden menggesa Anwar menilai semula pelantikan jawatan utama kepimpinan parti yang menurutnya tidak mencerminkan prinsip "perwakilan yang adil dan saksama" terhadap aspirasi anggota parti.
Antara lain, beliau menyifatkan ia tidak dibuat berasaskan merit dan melibatkan mereka yang terkait dengan masalah ketika pemilihan parti.
Bekas presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail pula berkata pelantikan itu adalah hak Anwar sebagai presiden, dan secara khusus merujuk kepada Rafizi Ramli yang dilantik sebagai naib presiden.
Di Twitter, Anwar turut mengeluarkan kenyataan sinis tidak berapa lama selepas Azmin menyuarakan bantahan itu, walaupun tidak merujuknya secara khusus.
"Kalaulah sesetengah orang tumpu lebih perhatian untuk mengembangkan ekonomi, dan kurangkan politiking," ciapnya.
Azmin adalah menteri hal ehwal ekonomi.
Daripada pemilihan lalu, majoriti daripada empat naib presiden dan 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang menang dikaitkan dengan Azmin.
Klausa 21.7 perlembagaan parti menyatakan presiden perlu melantik tiga naib presiden dan tujuh anggota MPP lagi.
Pemilihan jawatan lantikan dibuat dalam mesyuarat MPP semalam yang dipengerusikan Anwar, dan difahamkan kebanyakan anggota yang dikaitkan dengan Azmin tidak hadir kerana sedang bercuti.
Selain Rafizi, Saifuddin Nasution Ismail turut dipilih semula sebagai setiausaha agung.
Lantikan semalam turut menyertakan pemimpin yang dikaitkan dengan Azmin, antaranya Ali Biju (naib presiden) dan Lee Khai Loon (MPP) tetapi majoritinya yang dikaitkan dengan Rafizi.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan