"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘AMANAH mesti lebih baik dari DAP’

MALAYSIA DATELINE

Berikut antara sedutan ucapan Pengerusi AMANAH Melaka merangkap Ketua Menteri negeri, Adly Zahari pada sesi penggulungan Konvensyen Nasional AMANAH 2018 di Ipoh, Perak baru-baru ini:

Tidak salah kita berlumba untuk membuat kebaikan menjadi yang lebih baik. Kita mesti menjadi parti yang lebih amanah daripada DAP, mesti lawan sikap DAP itu.

Kalau mereka (DAP) baik, kita mesti jadi lebih baik daripada mereka. Mengapa kita tidak boleh? Sebab itu perlawanan kepada kebaikan ini akan menjadikan kita lebih baik.

Sebab itu tiga perkara sahaja AMANAH Melaka bawa. Pertama kita akan hilangkan kelaparan rakyat. Kalau ada di mana-mana negeri Melaka itu rakyat lapar, kita yang gagal.

Kalau ada di mana-mana negeri, rakyat lapar, negeri itu yang gagal. Itu perbandingan kita. Kalau kita mahu bandingkan Melaka dengan Kelantan siapa rakyatnya yang lapar, merekalah yang gagal.

Jangan sebut semata-mata tentang Islam. Negeri yang melaksanakan tanggungjawab Islam mesti menghilangkan kelaparan rakyat. Melaka akan hilangkan kelaparan rakyat.

Kedua, kita mesti hilangkan kejahilan rakyat. Rakyat mesti diberikan ilmu pengetahuan. Institusi pendidikan rakyat mesti dijaga dan dibela. Anak-anak kita mesti diberikan pendidikan yang sempurna.

Sebab itu, ini tanggungjawab kita. Sebab itu di Melaka kita sudah berikan bantuan-bantuan kebajikan. Contohnya bantuan persekolahan.

Kita sudah memperuntukkan RM336,000 bermula Oktober lagi untuk anak-anak menduduki persekolahan pada tahun hadapan. RM200,000 sudah dibelanjakan ibu bapa sehingga hari ini. Tidak payah tunggu lagi.

Begitu juga anak-anak di peringkat sekolah menengah dan akan melanjutkan pengajian ke universiti. Walaupun wang kita terhad tetapi fokus kita di situ.

Ketiga, hilangkan kedukaan rakyat. Inilah yang diperjuangkan. Undang-undang termasuk di dalam itu. Melaka antara cabaran dan usaha kita, kita mahu menjadikan negeri yang paling selamat dalam Malaysia.

Datanglah ke Melaka. Berjalanlah di tengah malam. Selalu kita membaca hadis-hadis tentang keselamatan dinilai iaitu bagaimana anak-anak berjalan di tengah malam tanpa ada gangguan.

Di Melaka kalau berjalan di tengah malam saya yakin tuan-tuan boleh berjalan dengan selamat dan InsyaAllah Melaka akan menjadi negeri antara paling selamat di Malaysia.

Banyak usaha kita lakukan. Yang terkini kita telah menubuhkan jawatankuasa membela masyarakat Bumiputera. Kita akan tubuhkan Dana Harta Bumiputera di negeri Melaka. InsyaAllah.

Dalam negeri di Malaysia ini, tidak ada negeri yang ada bank. Hanya Melaka sahaja negeri yang ada bank. InsyaAllah kita akan cuba jayakan Amanah Finance di Melaka ini.

Dalam ucapan Presiden ada disebut bagaimana membangunkan ekonomi ummah. Di Melaka kita tubuhkan jawatankuasa, kita tingkatkan lagi Pusat zakat supaya pengurusan zakat bukan setakat zakat sahaja.

Tetapi kemampuan kita membangunkan institusi wakaf. InsyaAllah zakat dalam persidangan Dun akan datang, kita akan mengubah satu enakmen di mana Pusat Zakat Melaka akan ditingkatkan menjadi Perbadanan Zakat dan Wakaf Negeri Melaka.

Kita juga akan cuba pertingkatkan lagi sistem perundangan syariah di Melaka. Kita akan bangunkan satu jabatan baru yang dipanggil Jabatan Pengurusan Syariah khusus untuk meningkatkan lagi sistem perundangan syariah di negeri Melaka.

Sebab itu, janganlah mereka memfitnah kita. Banyak perkara yang kita telah lakukan. Saya yakin dengan sokongan bulat dan nekad kepimpinan dan ahli AMANAH di seluruh negara kepada Melaka, negeri Melaka InsyaAllah akan jadi negeri contoh di Malaysia.

Tiada ulasan: