"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS, Umno akan keluarkan Malaysia dari PBB?

Yasmin Ramlan
Tidak dinafikan perhimpunan kesyukuran terhadap kerajaan untuk tidak meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (Icerd) pada Sabtu lalu berlangsung dengan aman tanpa sebarang rusuhan.

Bahkan selepas selesainya perhimpunan anjuran Gerakan Pembela Ummah (Ummah) itu, penganjur mengotakan janjinya untuk tidak meninggalkan sampah-sarap selepas tamat perhimpunan.

Namun, adakah ini bermakna ia merupakan satu penanda aras bahawa objektif perhimpunan itu dianggap tercapai?

Ini kerana himpunan yang disertai oleh pemimpin tertinggi Umno dan PAS di ibu kota itu juga secara terang-terangan menampakkan kemarahan mereka terhadap bukan Islam dan bukan Melayu.

Sesetengah dilihat mengeluarkan ucapan berbaur perkauman dan menanamkan perasaan marah terhadap kaum bukan Melayu dan bukan Islam di negara ini dengan memberi amaran supaya tidak sentuh hal dan hak orang Islam dan Melayu.

Kemarahan itu turut disuarakan oleh veteran Umno Tajuddin Abd Rahman yang turut mengambil peluang memaki Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam ucapannya.

Tajuddin dalam ucapannya berkata, jika Malaysia menerima konvensyen tersebut, Malaysia akan dikenakan syarat-syarat tertentu yang akan mempengaruhi keputusan hala tuju negara.

Dalam ucapannya itu, beliau turut berkata dengan lantang "go to hell with United Nation" (pergi jahanam PBB).

Diusahakan PBB sejak 1955

Apa yang lebih menghairankan, himpunan kesyukuran yang terdiri rata-rata daripada penyokong parti Islam dan parti Melayu itu bersorak dengan kenyataan Tajuddin itu, seakan-akan bersetuju dengan kata-kata kesat yang dilemparkannya terhadap PBB.

Sekitar 55,000 peserta yang hadir itu setia menanti ucapan dari pemimpin-pemimpin parti seterusnya untuk menyampaikan ucapan. Mereka sanggup menunggu di dalam panas terik dan berbahang semata-mata untuk menyokong himpunan kesyukuran itu.

Pada 23 November, kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meratifikasikan Icerd.

Namun, rata-rata daripada peserta bantah Icerd pada Sabtu lalu mempertikaikan keputusan Putrajaya itu kerana berpendapat ia perlu dibawa ke parlimen supaya ia direkodkan. Jika tidak, bagi mereka, ia boleh diluluskan pada bila-bila masa.

Icerd yang diusahakan oleh PBB pada 1965 bertujuan menangani masalah perkauman. Tetapi di Malaysia ia dilihat sebagai satu ancaman terhadap kedudukan istimewa orang Melayu (Artikel 153) dan Islam.

Agenda freemason

Selain ancaman terhadap kedudukan istimewa orang Melayu, sehari sebelum kerajaan menyatakan pendiriannya mengenai Icerd, Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula mendakwa konvensyen tersebut sebagai agenda Freemason yang bertujuan merosakkan agama, bangsa dan negara.

Freemason ialah sebuah pertubuhan antarabangsa yang sering dikaitkan dengan pelbagai teori konspirasi di seluruh dunia.

Dua hari selepas membuat keputusan tidak meratifikasikan Icerd, PAS nampaknya tidak berpuas hati dengan kerajaan dengan mempersoalkan sama ada kerajaan akan menandatangani konvensyen PBB yang lain.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Nasrudin Hassan membangkitkan konvensyen-konvensyen PBB yang dilihat membimbangkannya kerana didakwa berpotensi membawa risiko besar terhadap negara.

Empat lagi konvensyen PBB yang belum ditandatangani Malaysia dan dibangkitkan Nasrudin ialah Konvensyen Hak Sivil dan Politik, Konvenan Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya; Konvensyen Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka; Konvensyen Perlindungan Semua Orang Daripada Penghilangan Paksa; dan Konvensyen Mengenai Status Pelarian.

Berdasarkan kenyataan-kenyataan PAS dan Umno yang berhubung isu Icerd yang senada sebelum ini menunjukkan ciri-ciri mereka menentang dengan pendirian PBB yang memperjuangkan hak asasi manusia.

Jadi, adakah sekiranya PAS atau Umno berjaya merampas Putrajaya dari Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang, parti pembangkang ini akan membawa keluar Malaysia dari PBB?

YASMIN RAMLAN ialah wartawan Malaysiakini.

Tiada ulasan: