"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa lebih ramai lelaki mati akibat Covid-19?

Lebih 3/4 daripada mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Malaysia adalah lelaki, di mana trend yang sama berlaku di seluruh dunia.

Data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan 58 lelaki Malaysia meninggal dunia akibat penyakit ini setakat ini, yang membentuk 76% daripada jumlah keseluruhan 76 kematian.

Peratusan Malaysia lebih tinggi berbanding yang dilaporkan di Itali (68%), China (64%), Jerman dan Sepanyol (63%) serta Australia dan Sweden (60%) menurut kumpulan penyelidikan Global Health 50/50.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr N Ganabaskaran memberitahu FMT, tidak jelas mengapa begitu ramai lelaki meninggal dunia.

Angka di Amerika Syarikat menunjukkan lebih ramai keturunan Amerika Afrika yang mati akibat Covid-19 berbanding keturunan Caucasian.

Bulan lalu, satu kajian yang diterbitkan dalam Lancet, jurnal perubatan British, mengatakan bukti yang muncul menunjukkan alasan lebih ramai lelaki mati berdasarkan perbezaan imunologi atau jantina berasaskan seks seperti tabiat gaya hidup dan kelaziman merokok.

Pakar perubatan swasta, Dr Kuljit Singh, memberitahu FMT bahawa “secara amnya, wanita lebih berdaya tahan terhadap sebarang jenis penyakit berjangkit atau tidak berjangkit berbanding lelaki.”

Kajian morbiditi Malaysia pada 2015 menunjukkan lelaki Malaysia sangat terdedah kepada penyakit akibat gabungan diet tidak sihat, tidak aktif fizikal, penggunaan tembakau dan penggunaan alkohol yang berbahaya.

“Lebih 60% lelaki adalah sama ada mempunyai berat badan berlebihan atau obes, 1/3 mempunyai hipertensi dan hampir 20% mempunyai kencing manis,” kata Azrul Mohd Khalib, ketua eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial.

“Ia adalah satu kombinasi yang menakutkan yang menjadikan lelaki sangat terdedah kepada Covid-19. Mereka mempunyai risiko peningkatan komplikasi teruk akibat jangkitan Covid-19,” katanya.

Azrul berkata kadar kematian yang tinggi akibat Covid-19 dalam kalangan lelaki di Malaysia mungkin dikaitkan dengan mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya 1 penyakit kronik atau penyakit tidak berjangkit – seperti diabetes – sementara 1/3 daripada mereka mempunyai 3 penyakit.

Azrul berkata lelaki berkemungkinan kurang mendapatkan rawatan perubatan sehingga terlambat bagi penyakitnya.

“Pada masa mereka dirawat di hospital, pesakit sama ada memerlukan rawatan intensif atau sokongan ventilator. Semua faktor ini berkemungkinan besar menyumbang kepada lelaki yang membentuk sebahagian besar kematian di Malaysia,” katanya.

Kuljit berkata wanita umumnya mempunyai jangka hayat lebih panjang berbanding lelaki, dan banyak kajian antarabangsa membuktikan wanita mempunyai tahap kebersihan yang lebih baik.

Satu kajian di AS menunjukkan 15% lelaki di sana tidak mencuci tangan selepas keluar tandas berbanding dengan 7% wanita.

Apabila mereka mencuci tangan, hanya 50% lelaki menggunakan sabun berbanding 78% wanita.

“Sebab yang paling penting orang mati akibat Covid-19 adalah kerana ia tidak dikesan lebih awal, tidak kira sama ada lelaki atau wanita,” kata Kuljit.

Sekitar 110,000 orang meninggal dunia akibat Covid-19, yang merebak ke 213 negara dan menjangkiti lebih 1.8 juta orang, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Tiada ulasan: