"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Umno buli Muhyiddin' - Kadir Jasin

Umno sedang membuli Muhyiddin Yassin, kata tokoh wartawan A Kadir Jasin mengulas surat yang dikatakan dihantar Ahmad Zahid Hamidi kepada perdana menteri.

"Lihatlah macam mana Muhyiddin dilayan oleh Umno. Atau lebih tepat dibuli.

"Ini surat presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sendiri.

"Mula-mula bagi salam dan panjangkan doa. Lepas itu buat cadangan dan akhir sekali gugurkan bom," katanya malam ini pada suatu hantaran di media sosial.

Berdasarkan sepucuk surat ditandatangani presiden Umno dan dilihat Malaysiakini, parti itu misalnya menuntut agar Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, dijadikan pengerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah.

Seorang pemimpin Umno yang enggan didedahkan identitinya mengesahkan kesahihan surat bertajuk "Cadangan dan tuntuan Umno Sabah" tersebut.

Dalam surat sama, Ahmad Zahid turut meminta agar Anggota Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin, dilantik sebagai timbalan menteri di peringkat persekutuan, manakala bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan, dicadang agar dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Sabah.

Rebut jawatan, kebulur

Turut disenaraikan dalam tuntutan berkneaan ialah Timbalan Ketua Umno Sabah merangkang ahli majlis tertinggi parti itu, Yakubah Khan, supaya dilantik menjadi pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan.

Kadir pada hari ini turut menjelaskan Muhyiddin kini berhadapan dengan berbagai-bagai tuntutan daripada parti komponen PN, khususnya mengenai pembahagian jawatan dalam kerajaan.

"Ini tuntutan yang kita tahu. Yang kita tidak tahu entah macam mana.

"PAS lagi teruk. Mula-mula seorang Menteri PAS (Takiyuddin Hassan) umum kata MP Perikatan Nasional yang belum ada jawatan akan dilantik ke GLC.

"Belum apa-apa seorang lagi Menteri PAS (Khairuddin Aman Razali) dah lantik member dia ke Lembaga Getah Malaysia," dakwa bekas penasihat kepada perdana menteri ketujuh Dr Mahathir Mohamad itu.

Beliau juga menyoal jika ini cara PN mentadbir negara dengan membuang "golongan profesional dan berebut jawatan kosong macam orang kebuluran."

"Tak malu kah parti Bersatu tengok presiden dibuli oleh Umno dan PAS secara terbuka?" Soal Kadir.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan pengesahan rasmi daripada Umno berhubung surat berkenaan, manakala salah seorang Anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Razlan Muhammad Rafii menafikan kesahihan surat tersebut.

Sementara itu, Exco Armada Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir menempelak Zahid, menggesa supaya tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran Muhyiddin kerana menjadi "hak prerogatif perdana menteri" untuk membuat lantikan.

"Zahid dan seluruh kepimpinan Umno perlu sedar begitu banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh Bersatu, terutamanya kepimpinan parti, khususnya Muhyiddin Yassin yang menyusun barisan eksekutif dan pimpinan di agensi serta GLC apabila ramainya adalah dari kepimpinan Umno. Maka jangan tamak!

"Maka sifat gila kuasa seakan Umno sahaja yang layak adalah suatu perlakuan yang tidak mencerminkan keharmonian dalam gabungan dan ini tidak seharusnya ditonjolkan dalam keadaan wabak yang sedang melanda," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Menurut Ashraf lagi, pimpinan Sabah dari Bersatu seperti Hajiji Noor, Masidi Manjun dan Mohd Arifin Mohd Arif dilihat lebih layak dan mempunyai kredebiliti daripada nama-nama yang dicadangkan oleh pihak Umno.

"Umno diminta jangan merumitkan lagi keadaan. Juga buat Muhyiddin Yassin, pohon jangan tunduk pada tuntutan Umno," tegas pemimpin Pemuda Bersatu itu.

Tiada ulasan: