"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SOP baru kawal pergerakan jika PKP tamat 28 April, kata Ismail Sabri

Faiz Zainudin
PUTRAJAYA:
Kelonggaran penuh tidak akan diberikan jika perintah kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan pada 28 April.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, prosedur operasi standard (SOP) baru akan diperkenalkan dan orang ramai masih lagi terikat dengan syarat baru bukannya bebas seperti sebelum PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas.

Beliau membuat peringatan itu ketika diminta mengulas dakwaan terdapat beberapa pihak, termasuk syarikat penerbangan mula menawarkan promosi jualan tiket selepas PKP dijadualkan tamat pada 28 April ini berdasarkan keputusan awal kerajaan.

Ismail turut memaklumkan, beliau tidak tahu sama ada PKP akan ditamatkan pada 28 April ini atau ia dilanjutkan.

“Syarikat penerbangan hanya boleh beropersi apabila dibenarkan oleh kerajaan. Walaupun mereka jual tiket, operasi mereka akan ditentukan kerajaan. Kalau syarikat mula jual, kalau sampai tarikh itu kerajaan tidak benar, kita tidak akan benar,

“Kalau PKP ini tamat sekalipun, ada SOP tertentu yang akan kita perkenalkan. Bukan bermakna bila PKP tamat 28 April, esok terus boleh bebas seperti hari-hari sebelumnya. Masih ada lagi SOP tertentu yang akan diperkenalkan oleh kerajaan,” katanya pada sidang media harian selepas mesyuarat khas menteri-menteri dengan pihak berkepentingan dalam mendepani Covid-19 di sini, hari ini.

Rakyat terus degil, jumlah tangkapan naik mendadak

Ismail berkata, pada hari kedua pelaksanaan PKP fasa 3 semalam jumlah tangkapan naik mendadak dengan 1,565 individu ditahan kerana ingkar arahan berbanding 1,057 pada hari sebelum itu.

“Daripada jumlah itu, 1,381 individu direman dan 184 dijamin polis. 544 individu juga didakwa di mahkamah,” katanya.

Jumlah kumulatif individu ingkar PKP sehingga semalam, adalah 13,639 orang.

“Semalam sahaja sebanyak 585,250 kenderaan diperiksa. Ini bermakna banyak lagi kenderaan di atas jalan, lebih banyak daripada hari sebelumnya,” kata beliau.

Tidak benar balik kampung sambut Ramadan

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, pihak polis akan menambah jumlah sekatan jalan raya susulan peningkatan jumlah kenderaan di jalan.

Selain sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan, ia juga bertujuan menghalang mereka yang berniat untuk pulang ke kampung bagi menyambut Ramadan.

“Polis akan menambah sekatan jalan di seluruh negara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar PKP bagi memastikan kawalan pergerakan dapat dipertingkat.

“Kita jangka ada ura-ura mereka mahu pulang ke kampung sambut puasa, jadi kita akan pertingkat kawalan, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar,”katanya.

Dalam sidang media sama, Ismail turut memaklumkan pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka 220 kertas siasatan berkaitan berita palsu.

“Daripada jumlah tersebut 152 kes masih dalam siasatan, manakala 24 kes didakwa di mahkamah dan 13 mengaku salah, 11 diberi notis amaran, manakala 33 kes tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya.

Individu guna pengangkutan udara terikat SOP ketat

Ismail berkata, penerbangan domestik di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA tidak dibenarkan beroperasi, kecuali penerbangan seminggu sekali ke Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun penerbangan domestik bagi semenanjung dibenarkan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, dengan hanya perkhidmatan Firefly.

“Semalam seramai 479 penumpang menggunakan lapangan terbang berkenaan,” katanya.

Ismail berkata, individu yang menggunakan pengangkutan udara tetap terikat dengan SOP kawalan pergerakan dan perlu mendapat kebenaran polis.

“Polisi kerajaan berhubung pergerakan antara negeri masih kekal sama, iaitu ia tidak dibenarkan kecuali mendapat surat kebenaran daripada pihak polis.

“Pergerakan antara negeri hanya dibenarkan untuk kecemasan sahaja seperti kematian ahli keluarga atau isu kesihatan. Surat kebenaran ini boleh diminta di balai polis.

“Semua perjalanan darat atau udara hendaklah mendapat kebenaran polis,” katanya sambil memaklumkan, pergerakan orang ramai tidak boleh melebihi jarak 10 km dari rumah masing-masing.

SUBHEAD: Majikan paksa pekerja pulang ke bandar dikenakan tindakan

Ismail berkata, mana-mana majikan yang memaksa pekerja pulang dari kampung untuk bekerja akan dikenakan tindakan kerana melanggar PKP.

“Mereka tahu perjalanan merentasi negeri tidak dibenarkan. Kita akan ambil tindakan ke atas majikan jika ini berlaku,”katanya.

Tiada ulasan: